Thursday, May 23, 2013

Hanya enam kerusi parlimen,undi rosak melebihi undi majoriti.


ANALISIS berdasarkan 27 senarai kerusi Parlimen yang didakwa meragukan oleh Pakatan Rakyat (PR), mendapati hanya enam kerusi Parlimen sahaja yang mempunyai jumlah undi rosak yang lebih tinggi dari undi majoriti.

Parlimen tersebut adalah Bentong yang mempunyai majoriti 379 undi dan 934 undi rosak; Kuala Selangor (460 majoriti, 934 rosak); Baram (194 majoriti, 242 rosak); Sungai Besar (399 majoriti,
690 rosak); Labis (353 majoriti, 689 rosak) dan Kota Marudu (842 majoriti, 911 rosak).

Kesemua kerusi Parlimen ini ditandingi oleh ketiga-tiga parti komponen PR iaitu DAP di Bentong dan Labis; PKR (Baram, Kota Marudu) manakala Pas (Kuala Selangor, Sungai Besar).

Parlimen Kuala Selangor menyaksikan calon Pas, Dr Dzulkefly Ahmad yang merupakan penyandang Parlimen berkenaan kalah kepada calon BN, Datuk Irmohizam Ibrahim.

Irmohizam mendapat 27,500, manakala Dzulkefly mendapat 27,040 iaitu perbezaan hanya 460 undi.

Walau bagaimanapun, jika dilihat kepada baki 21 Parlimen yang dinyatakan oleh PR, kesemuanya mempunyai jumlah majoriti yang lebih tinggi berbanding undi rosak.

Sebagai contoh Parlimen Saratok yang mempunyai undi majoriti sebanyak 2081 tetapi undi rosak hanya 258.

Namun, masih terdapat beberapa Parlimen yang mempunyai perbezaan yang tipis di antara undi majoriti dan undi rosak.

Ini termasuk, Parlimen Machang yang mempunyai 805 undi majoriti dan 729 undi rosak; Ketereh (974 majoriti, 876 rosak); Tebrau (1,767 majoriti, 1,551 rosak); Bagan Serai (1,140 majoriti, 1,096 rosak); Segamat (1,217 majoriti, 950 rosak dan Beaufort (673 majoriti, 559 rosak).

No comments:

Post a Comment