Mungkinkah stress  kerana PBS markah tahun sudah pun belum key-in,guru belasah 4 pelajar termasuk budak perempuan..
SITIAWAN - Empat pelajar tingkatan satu, termasuk dua pepelajar perempuan sebuah sekolah menengah jenis kebangsaan Cina (SMJKC), di sini, mendakwa dipukul seorang guru lelaki sehingga cedera, Rabu lalu.

Seorang mangsa mendakwa tidak mengetahui punca guru terbabit bertindak sedemikian.
Katanya, ketika itu dia berada di luar makmal komputer dan guru terbabit datang secara tiba-tiba dan menumbuknya, lima kali di muka.
“Cermin mata saya patah, mata dan hidung saya bengkak selain bibir berdarah akibat tumbukan guru itu,” katanya.
Pelajar perempuan itu berkata, selepas dipukul, dia segera ke bilik guru dan melaporkan kejadian tersebut.

"Keluarga saya datang ke sekolah selepas diberitahu mengenai insiden itu dan turut membuat laporan polis mengenainya," katanya.
Seorang lagi mangsa memberitahu, dia ditendang guru terbabit kerana tidak membawa buku latihan.
Menurutnya, kesalahannya hanya tidak membawa buku latihan, namun guru terbabit berang dan menendangnya hingga dagunya berdarah.
“Saya turut melaporkan tindakan tersebut kepada guru lain dan selepas itu keluarga datang seterusnya membuat laporan polis,” katanya.
Difahamkan, guru berkenaan turut memukul dua lagi pelajar hingga cedera.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan berkata, laporan polis berhubung kejadian tersebut sudah dibuat dan dua anggota polis dibawa ke sekolah terbabit bagi tujuan keselamatan.

“Kami bersama-sama ahli lembaga sekolah dan pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) telah membuat perbincangan mengenai perkara ini bagi mencari penyelesaiannya.
“Hasil perbincangan dan atas cadangan ibu bapa, mereka memutuskan tidak mahu guru berkenaan terus berada di sekolah itu kerana dikhuatiri mengancam keselamatan pelajar,” katanya.
Menurutnya, guru terbabit diberi cuti untuk melakukan pemeriksaan kesihatan sementara jalan penyelesaian terbaik diambil bagi menyelesaikan masalah itu.
“Kita sarankan supaya guru berkenaan diberi cuti selama beberapa bulan untuk menjalani rawatan dan kita harap dia tidak lagi mengajar tetapi mungkin boleh melakukan tugas- tugas pejabat.

“Kami, ibu bapa bimbang jika guru berkenaan terus mengajar dan mengalami tekanan menyebabkan dia bertindak agresif terhadap pelajar,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian itu dan siasatan akan dibuat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.(sumber)