Monday, February 3, 2014

Polemik Kajang,jangan heret PR bincang isu Menteri Besar-Suhaizan Kaiat


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia akan turun membantu PKR dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) N25 Kajang atas semangat kebersamaan dalam Pakatan Rakyat.

Ketuanya Suhaizan Kaiat berkata demikian pada satu sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut pagi ini.

Tegasnya dalam hal ini, Pemuda PAS tidak akan memberi kemenangan percuma kepada BN dalam PRK itu nanti.

"Kita menghormati muafakat Pakatan Rakyat yang memberi hak mengurus Dun kepada parti yang menang dalam pilihan raya lepas. Justeru kami meminta agar mana-mana komponen Pakatan Rakyat tidak mengulangi kesilapan serupa pada masa akan datang," katanya.

Bagaimanapun, Pemuda PAS Malaysia mendesak agar isu Menteri Besar Selangor dihentikan segera kerana rakyat Malaysia sudah muak dengan polemik politik yang tidak berkesudahan.

"Polemik Kajang ini tidak perlu mengheret Pakatan Rakyat membincangkan isu Menteri Besar Selangor yang baru, kerana ia akan menjejaskan isu kebajikan rakyat," tegas Suhaizan.

Jelasnya, kesediaan Pemuda PAS untuk bersama-sama turun di Kajang tidak bermakna ianya turut menyokong sebarang perubahan di dalam kepimpinan kerajaan negeri Selangor khususnya kerusi menteri besar.

Pemuda PAS Malaysia juga katanya telah bersetuju untuk melantik Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Selangor Hairul Nizam Tohar sebagai Ketua Penyelaras Pilihan Raya Kecil N25 Kajang.

Suhaizan turut mendesak agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan pilihan raya dengan bersih, adil dan saksama.

"Mana-mana pihak yang bertanding hendaklah mengelakkan pembaziran berlaku. Kerajaan Pusat dan Selangor perlu mengelakkan projek-projek 'mee segera' yang akan mengorbankan wang rakyat," katanya.

Beliau juga percaya rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga barang akan menghukum mana-mana pihak yang dilihat membazir. 

No comments:

Post a Comment