Saturday, March 1, 2014

Zahid Hamidi , jangan jadikan hologram untuk kaut untung jual Al-Quran.


KUALA LUMPUR:  Dewan Pemuda PAS Malaysia (PPM) menasihatkan kerajaan agar jangan mengambil kesempatan mengaut keuntungan melalui penguatkuasaan pelekat hologram pada setiap naskhah Al-Quran. 

Persatuan Penerbit al-Quran Malaysia (PQM) telah tampil membantah tindakan kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu dengan sebab-sebab yang munasabah. 

“Kami dimaklumkan, pelekat hologram yang diselaraskan oleh kerajaan itu dikenakan caj yang tinggi,” ujar Bendahari DPPM, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (gambar) .

Katanya, pengeluar mendakwa, harga yang dikenakan itu sangat tidak munasabah sedangkan kos serta kualiti pencetakan pelekat hologram itu tidaklah tinggi.

Bagi PPM, ujar beliau kerajaan mungkin mempunyai alasan tersendiri untuk melaksanakannya namun kerajaan seharusnya berbincang secara terperinci dengan mengambil kira pandangan semua pihak terutama pengeluar bagi mengenalpasti pro dan kontra penggunaan pelekat hologram itu sebelum ianya dikuatkuasaan. 

Namun, katanya Pemuda PAS melihat tiada kewajarannya untuk melaksanakan sistem pelekat hologram ini oleh kerana Kementerian Dalam Negeri mempunyai ahli panel penilai dan penyemak yang bertauliah. 

“Ramai pengeluar mengadukan pelbagai rungutan kepada pihak kami tentang pengeluaran hologram yang telah menjejaskan perniagaan mereka apabila mengalami kemerosotan kadar jualan kira-kira 30 peratus dan peniaga juga menanggung kerugian kerana terpaksa memulangkan semula naskhah yang tiada hologram kepada penerbit selepas diberi surat amaran oleh penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri,” katanya lagi.

Justeru, tambahnya DPPM berpendapat, kerajaan tidak seharusnya membebankan lagi pengeluar Al-Quran yang terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk pelekat hologram itu ditambah lagi kos pengurusan dan perusahaan semakin tinggi ketika ini disebabkan pelbagai kenaikan yang dibuat oleh kerajaan termasuklah harga minyak petrol dan tarif elektrik. 

Justeru, ujar beliau kerajaan jangan mengambil satu tindakan yang tidak wajar hingga menjejaskan pengeluaran Al-Quran dalam kalangan rakyat dengan meluas. 

Katanya, kerajaan perlu tahu, Al-Quran bukanlah satu benda yang boleh dijual demi meraih keuntungan yang tinggi sebaliknya ianya perlu dijual dengan kadar munasabah dan penjual sangat mematuhi perkara tersebut. 

“Kami menggesa kerajaan memansuhkan penguatkuasaan hologram sebaliknya memantapkan dan menambah baik sistem yang ada,” katanya lagi.(sumber)

No comments:

Post a Comment