"PAS akan terus memberikan segala bentuk sokongan kepada beliau dan ahli-ahli PKR, serta seluruh penyokong Pakatan Rakyat dalam meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan sehingga keadilan dapat ditegakkan dan kezaliman dapat diruntuhkan."Haji Hadi(klik) |
Friday, March 7, 2014
Haji Hadi:Anwar akan disokong ,sehingga keadilan dapat ditegakkan dan kezaliman dapat diruntuhkan.
Sunday, February 23, 2014
Peguam PAS akan failkan ketepi saman RM 2 juta Mahkamah Tinggi ke atas Haji Hadi.
Saturday, January 25, 2014
Kembalinya Ustaz Harun Taib,kehilangan tokoh ilmuan-Haji Hadi
Menurutnya beliau tidak jemu mendidik dan berjuang kepada parti walaupun dalam keadaan uzur sebelum menghembuskan nafas terakhir semalam.
"Sesungguhnya almarhum telah pergi dahulu bertemu Tuhan Rabbul Jalil di saat Pas dan ummah masih memerlukan bimbingan dan ilmu beliau.
"Almarhum sudah tidak bersama kita, tetapi peninggalan ilmu Almarhum amat berbekas di hati para ahli Pas serta pendokongnya yang tidak jemu mendidik dan berjuang walaupun beliau keuzuran di akhir hayat beliau," katanya memetik ucapan takziahnya, hari ini.
Harun yang juga Ketua Ulama Pas meninggal dunia pada jam 12.10 awal pagi Sabtu dan beliau menghembuskan nafas terakhirnya di sisi isteri dan anak-anaknya di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Jenazah Almarhum Ustaz Harun telah disolatkan kira-kira jam 10 pagi tadi di Markas Tarbiyah Kubang Lembik, Manir, Kuala Terengganu.
Sementara, Timbalan Pesuruhjaya Pas III Selangor, Khalid Samad pula berkata, beliau yang mengenali Almarhum sejak 1983 itu menyifatkannya sebagai aktif dalam dewan ulama meskipun ketika itu tidak memegang apa-apa jawatan tinggi.
"Saya kenal beliau sejak 1983 ketika mula-mula masuk Pas, selalu bersembang dengannya di Rusila dan bermalam di rumahnya di Hulu Terengganu.
"Beliau merupakan seorang yang cukup komited dalam perjuangan Pas dan merupakan kehilangan besar dari segi ilmu dan pengalaman yang ada pada dirinya," katanya.
Bagi anak kepada bekas Presiden Pas, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, pemergian Harun tiada tolok gantinya, meskipun anak muridnya mampu meneruskan usaha dakwah dan legasi perjuangannya, namun ilmu dan pengalamannya sukar dicari ganti.
"Beliau merupakan seorang tokoh yang punyai pemikiran, ilmu dan sejarah yang bagus, pengorbanannya sebagai ulama yang masuk politik secara langsung umpama permata buat kita.
"Kita bukan menyambung peranan individu tetapi menyambung pemikiran dan legasi seseorang tokoh sukar dicari ganti," katanya.
Tidak ketinggalan mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang berharap keluarga dan sanak saudara beliau tabah menghadapi pemergiannya.
"PKR merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulama Pas yang telah meninggal dunia awal hari ini.
"Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, dan menempatkan beliau di kalangan orang-orang yang beriman," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.
Sunday, November 24, 2013
"Saya nak tengok Datuk Seri Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri"-Husam
Friday, November 22, 2013
PBS di sekolah kerana makhluk asing.
Ulama jadilah jurubicara jamaah ,rujuk al-Quran,as Sunnah,ijma dan qiyas
Wednesday, May 1, 2013
Pentaksiran Berasaskan Sekolah(PBS) akan dinilai semula- Haji Hadi.
Saturday, April 6, 2013
Haji Hadi bernazar puasa 76 hari,Najib macamana.....
| Foto Tuan Guru Haji Hadi sewaktu berucap kepada para ulamak,NGO dan almala' dalam Parlimen Bukit Gantang baru-baru ini. |
Wednesday, March 27, 2013
Tak ikhlas,sebab itu Cikgu Non tak mati syahid.
| Tok Guru memimpin doa untuk kesejahteraan untuk pengantin ,keluarga dan penduduk Bukit Gantang.Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang berada di Kampung Larut Tin dalam Majlis Walimatulurus pada 24 Mac lalu..Tokoh inilah yang sekarang sedang difitnah C.N Afghani atau Cikgu Non.Dia yang mahu bunuh Dr Mahathir.Polis patut siasat kenyataan Cikgu Non yang sudah jadi alat UMNO. Allah s.w.t lebih tahu siapa itu Cikgu Non atau Zainon Ismail,justeru itu beliau tidak mati syahid dekat Afghanistan.Mereka yang mati syahid ,mereka yang ikhlas dalam perjuangan mendaulatkan Islam. |
Sunday, January 13, 2013
Anwar pemimpin ramai,Tok Guru Hj Hadi pemimpin bertaqwa.
| Foto Pandang sisi dari penulis. TG Haji dalam ucapannya menyatakan PR bersikap terbuka ,meraikan perbezaan pendapat dan boleh bersama dalam isu rakyat yang ditindas. |
Friday, November 16, 2012
Pegawai kerajaan tidak akan dizalimi dan didendami- TG Hj Hadi
![]() |
| TG Hj Hadi memberi jaminan, Pegawai Kerajaan tidak akan dizalimi dan membalas dendam kepada pegawai kerajaan yang mengikut dasar kerajaan yang memerintah(BN). |
Thursday, November 15, 2012
PRU ini ,perang siber- Hj Hadi
![]() |
| Tok Guru Hj Hadi sedang berucap. Pru kali ini libatkan Perang Siber. |
Tuesday, June 26, 2012
Pilihanraya di musim haji terlalu kecil bagi Umno, kerana pilihanraya dianggap tidak ada hubungan dengan dosa dan pahala -TG Haji Hadi
Wednesday, May 12, 2010
Tip Dari Tok Guru-Khasiat Bunga Cengkih
Tuan Guru sewaktu ziarah Sdr Lutfi Othman ,Ketua Pengarang Harakah memberi tips. Antara tips yang disebut oleh Tuan Guru ialah amalan memakan bunga cengkih sebagai amalan kesihatan untuk menjaga jantung . Ilmu ini beliau perolehi dari Tuan Guru Hj Hashim Pondok Pasir Tumboh . Sementara bawang putih pula baik untuk mencair dan melancarkan perjalanan darah .(sumber)
Antara kelebihan makan bunga cengkih ialah :
1. Paru-paru dapat berfungsi dengan baik yang membolehkan suara sentiasa lantang
2. Jantung berdegup dengan baik yang menjamin kesihatan
3. Mata dapat melihat dengan baik walau pun telah berusia
4. Gigi dapat tahan daripada gangguan ulat sehingga tahan lama
5. Otak sentiasa berkembang yang menguatkan ingatan berbanding suka minum ais atau pulut yang membawa kepada tertutupnya otak yang melemahkan ingatan
Cara makan
Sebaiknya 10 kuntum bunga cengkih sehari
Buat macam coklat dengan digigit dan dihisap airnya
Friday, February 19, 2010
Utusan Malaysia putar belit kenyataan Presiden PAS
Jelas ia semacam bertujuan untuk melagakan Abdul Hadi dengan para pemimpin PAS yang lain kononnya Abdul Hadi bersedia untuk bekerjasama dengan Umno termasuk dalam isu perkongsian kuasa dan kerajaan perpaduan.
Jelas, apa yang dimaksudkan oleh Abdul Hadi adalah berbeza.
Berikut adalah kandungan penuh wawancara yang disiarkan dalam akhbar Harakah pada bil 1514, 15-18 Februari 2010 di muka surat N10 yang bertajuk 'Tiada percanggahan dengan MB Kelantan - Presiden PAS'.
S: Datuk Seri, boleh perjelaskan sedikit apa yang dikatakan percanggahan pendapat antara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz dengan Presiden PAS dalam isu perbincangan PAS dengan Umno?
J: Sebenarnya, tidak ada percanggahan antara saya dengan Tuan Dato’ Nik Abdul Aziz dan tidak ada pemisahan antara agama dengan cara hidup dalam Islam. Agama dengan politik dengan sosial dan sebagainya. Apa sahaja masalah dalam dunia ada kaitan dengan agama. Di mana, Tuan Guru Nik Aziz bercakap dalam konteks ‘ad-deen’ (agama dengan cara yang menyeluruh) dan saya mungkin menyentuh aspek-aspek tertentu. Sebenarnya, tidak ada percanggahan antara saya dengan Tuan Guru Nik Aziz.
S: Ini bermakna, apa yang diperkatakan orang tentang berlaku percanggahan itu jauh sekali berlakunya?
J: Tidak…kita mesti memahami agama mengikut definisi Islam dari perkataan ‘ad-deen’ yang disebut al-Quran oleh Tuhan. Berbeza dengan agama yang diterjemahkan ‘religion’ dalam bahasa Inggeris atau agama dalam bahasa ‘Sanskrit’. Di mana, Islam adalah ‘ad-deen’ bukan sahaja agama, bukan sahaja ‘religion’ termasuk di dalamnya cara hidup ‘way of life’ yang termasuk di dalamnya politik, ekonomi, sosial dan segala perkara yang berkait dalam urusan kehidupan manusia secara individu dan masyarakat, secara bangsa dan antarabangsa, secara globalisasi.
Berkait dengan segala aspek yang menjadi tanggungjawab manusia di atas muka bumi ini. Apa yang disebut oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz ialah tentang surat yang dihantar kepada Perdana Menteri. Surat itu menyatakan PAS sedia berbincang dengan Umno dalam aspek Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini sebagai satu penyelesaian cara hidup bagi negara kita. Setelah kita melihat kegagalan-kegagalan yang dialami dalam negara kita talu-bertalu.
Kita mengalami masalah politik yang belum selesai. Masalah ekonomi, masalah sosial yang makin hari makin parah. Sepatutnya, dibincang apakah penyelesaiannya. PAS boleh mengemukakan cadangan-cadangan penyelesaian secara Islam. Dalam hal ini, kita mengambil sikap yang terbuka dan boleh berbincang dengan semua pihak termasuk dengan kerajaan sendiri. PAS pernah melibatkan diri dengan forum Islam. Bukan sahaja melalui Parlimen, melalui Dewan Undangan Negeri (Dun).
Bahkan, PAS pernah menyertai Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen). PAS pernah menyertai apa sahaja forum secara khusus yang diatur oleh kerajaan. Termasuklah yang terkini dalam isu kalimah Allah. Di mana, PAS telah menghantar wakil dalam perbincangan dengan IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia) dan kita mengemukakan pandangan kita sebagaimana dalam al-Quran dan Hadis Nabi SAW. Sebagaimana yang dinyatakan oleh ulama-ulama dalam kitab yang banyak yang dikarang oleh mereka.
S: Tuan Guru, adakah kaedah bagi penyatuan tersebut kerana isu perbincangan antara Umno-PAS telah lama tetapi tidak pernah menjadi kenyataan?
J: Masalah penyatuan ini kita hendaklah faham. Di sana ada perkara yang manusia wajib bersatu, ada perkara yang harus bersatu dan ada perkara yang haram bersatu dan tidak boleh bersatu sampai bila-bila. Perkara yang haram bersatu antara benar dan salah, adil dan zalim, antara haram dan halal, antara iman dan kufur, antara Islam dan jahiliah.
Perkara yang prinsipal, perkara yang konsep, yang diputuskan oleh al-Quran, yang ada nas. Di mana, dalam hal ini tidak boleh disatukan sama sekali antara perbezaan yang berlaku dengan manusia. Ini tidak boleh kita satu, perkara yang ‘tabie’, perkara yang naluri. Dan di sana, ada perkara yang boleh disatukan. Perkara yang menjadi kepentingan bersama, yang menjadi tujuan bersama, keadilan untuk semua. Hak kebaikan untuk semua, menolak keburukan untuk semua. Walau pun persepsinya berbeza itu boleh dibincangkan. Perkara yang boleh disatukan ada, perkara yang boleh diraikan antara satu sama lain, tolak ansur itu ada dan ini perlu dilihat.
Kita tidak boleh melihat secara menyeluruh sebagai satu prinsip yang beku, yang jumud, yang tidak boleh rungkai. Oleh sebab itu, PAS bersdia untuk mengadakan perbincangan dalam perkara yang boleh dirungkai, yang boleh diselesaikan secara ‘ijtihad’, secara kebijaksanaan yang berpandukan kepada prinsip-prinsip ‘fleksibel’ yang ada dalam al-Quran, yang diajar oleh Nabi kita Muhamad SAW.
S: Dahulunya, PAS pernah kata Umno kafir. Dalam isu penyatuan ini macam mana hendak betulkan keadaannya?
J: Kita (PAS) tidak pernah menentukan si anu bin si anu kafir. Kita (PAS) menyataka batas-batas iman dan kufur. Saya sendiri mengarang sebuah buku tentang Aqidah Muslim. Dan Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan kitab Mustika Hadis. Jilid yang pertama yang menyatakan batas-batas Iman dan Kufur.
Di sana, ada dinyatakan ada perkara-perkara yang boleh membatalkan iman seseorang, yang membatalkan Islam seseorang dan mungkin mereka yang melakukan secara jahil adalah berdosa. Dan kita (PAS) tidak boleh menentukan siapa-siapa jadi kafir melainkan melalui Badan Kehakiman secara Islam yang sah. Dalam Islam ada hukum dan undang-undang orang yang murtad. Dengan sebab itulah, mesti melalui Badan Kehakiman Islam yang kita (umat Islam) kena faham. Apa yang kita (PAS) sampaikan adalah secara ilmu.
Kita (PAS) tidak menafikan ada di kalangan masyarakat kita yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, yang menghina hukum hudud, yang menghina hukum qisas. Dan ada di kalangan pemimpin kerajaan yang tidak perlu saya sebut namanya yang mengatakan sekiranya dilaksanakan hukum hudud akan jadi huru-hara.
Jika laksanakan hukum Islam ramai orang Islam yang kudung (potong tangan). Ini hukum yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran. Mungkin mereka mengatakan demikian kerana jahil dan jika kerana jahil dia berdosa kerana tidak belajar. Tetapi, jika dia kata dengan pengetahuan dia, dengan tahu dia sebagai seorang Islam dan tiba-tiba dia menafikan hukum Allah. Ini boleh merosakkan aqidah (Islam) dia. Dan menjadi tanggungjawab kitalah (PAS) menyampaikan. Alhamdulillah, kita (PAS) telah berjaya menyampaikan mesej kita (Islam) sehingga hari ini Umno tidak boleh mendedahkan kesilapan kita dalam masalah ini.
Apa yang berlaku ialah anjakan paradigma dalam Umno sendiri yang tidak lagi mengatakan politik suku agama suku. Dan tidak lagi menghina hukum-hukum Islam, tidak ada lagi budaya dalam Umno. Ini kejayaan yang dapat kita (PAS) laksanakan. Ini kejayaan dakwah yang kita (PAS) sampaikan bagi menyedarkan umat kita, bangsa kita dalam perkara (batas iman dan kufur) ini. Sepatutnya, kita tidak boleh bertelingkah dalam masalah ini dan PAS sendiri pernah minta diadakan muzakarah secara ilmu.
Dalam PAS ada Majlis Syura Ulama’ PAS dan dalam Umno ada Biro Agama Umno. Dan kerajaan sendiri mempunyai Majlis Fatwa, ada mufti-mufti dalam kerajaan, ada IKIM ada macam-macam. Jika dalam Umno ada mereka yang membawa ijazah PhD dalam bidang Islam. Dalam PAS juga ada dan dengan sebab itu perbincangan secara ilmu adalah penting.
Walau pun demikian, saya melihat telah berlaku anjakan paradigma dalam Umno tidak lagi mengatakan agama berpisah dari politik. Ini satu perubahan yang positif dan apa yang penting kita terjemahkan secara praktikal dan dilaksanakan dengan cara yang baik. Antaranya, sekurang-kurangnya memberi ruang kepada negeri-negeri yang dipimpin oleh PAS dan Pakatan Rakyat.Tidak ada gangguan-gangguan dari segi semangat federalisma.
Apa yang berlaku ialah mereka (Umno-BN) telah melanggar semangat dan konsep federalisma yang diamalkan, tidak menghormati keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) termasuk pilihan raya di Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat.
Bila pakatan Rakyat telah menubuhkan kerajaan, mereka (Umno-BN) mesti menghormati keputusan ini tetapi seolah-olah tidak berlaku penghormatan terhadap keputusan ini. Ini suatu hal yang lain dari prinsip Islam. Dengan sebab itu, perbincangan Islam secara ‘usuli’ secara asas perlu antara PAS dengan Umno yang merupakan ada di kalangan Islam disemua pihak.
Jadi perbincangan secara ilmu sangat penting. Dan PAS telah meneroka, apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menjemput kami (PAS) menghadiri perjumpaan dengan IKIM dan saya sendiri hadir dalam majlis itu bersama dengan wakil PAS dalam persidangan itu dan kita (PAS) telah mengemukakan pandangan- pandangan kita (PAS). Ini suatu perkembangan yang sangat positif dan kita (PAS) bersedia untuk hadir jika dibuka ruang untuk kita (PAS) menghadirinya.sumber harakahdaily.
Saturday, December 19, 2009
TEKS UCAPAN PRESIDEN PAS DALAM KONVENSYEN PAKATAN RAKYAT
Wujudnya Pakatan Rakyat bertujuan Islah dengan berasaskan masyarakat majmuk , ianya lahir daripada kesedaran bersama di kalangan parti-parti yang bersatu untuk menangani masalah negara dan masyarakat, yang membebani seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan bangsa, agama, ideologi politik, semuanya hasil dari kegagalan Barisan Nasional (BN) yang berterusan dan terus berkuasa dalam tempoh yang begitu panjang , setelah setengah abad negara mencapai kemerdekaan.
Walaupun sistem Demokrasi Berparlimen mengizinkan rakyat membuat perubahan, namun perubahan tidak berlaku, seolah-olah negara di kongkong oleh sistem satu parti, iaitu konsep yang sangat bercanggah dengan amalan demokrasi yang dilaksana dalam masyarakat yang berpendidikan diseluruh dunia. Keadaan ini tidak harus di biarkan berterusan, kerana menimbulkan berbagai-bagai masalah yang lebih menyusahkan.
Masalah-masalah itu termasuklah perkara-perkara yang asas dalam perlembagaan seperti Islam agama persekutuan, hak-hak kepada penganut agama-agama lain di kalangan penduduk berbagai etnik, bahasa melayu menjadi bahasa kebangsaan, pentadbiran yang saksama dan bijak, kedaulatan undang-undang yang adil, raja berpelembagaan, konsep federalisma yang saksama dan lain-lainnya, semuanya tidak terlaksana dengan cara yang tepat.
Akibatnya, perubahan menyeluruh tidak dapat dilaksanakan, tanpa pakatan semua pihak, yang menyatukan tujuan melakukan perubahan, sehingga membebaskan diri majoriti rakyat lemah. Mereka yang merupakan majoriti masyarakat yang menjadi mangsa kecuaian tersebut adalah majoriti pengundi. Tanpa menggerakkan mereka sendiri, tidak berlansung kepada perubahan menyeluruh, sebabnya kerana mereka di perbodoh, ditipu dan dirasuah . Al Quran memaparkan kisah iktibar daripada kerajaan Fir’aun yang memerintah Mesir yang bermaksud:
Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: "Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini - Akulah Yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah arahan ku? tidakkah kamu melihatnya?
"Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?
"(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin berpangkat besar), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?"
(Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik (jahat).
Tamaddun Mesir yang terdiri daripada Piramid yang dijaga oleh UNESCO itu adalah bangunan bagi perkuburan Raja Mesir, satu pyramid untuk seorang raja, adalah merupakan suatu projek mega di zaman itu, dibangunkan dengan hasil memaksa rakyat dan merampas hasil negara untuk faedah golongan pemerintah sahaja. Projek seperti ini ada dikeseluruhan negara yang dianggap bertamadun awal, rakyat diperhamba dan perbodohkan. Amalan ini tetap berulang di zaman masing-masing termasuk zaman kita sekarang.
Tsunami politik pilihanraya kedua belas menunjukkan konsep pakatan Rakyat mampu melakukan perubahan, sekiranya diolah dengan cara yang lebih baik boleh berlaku perubahan yang lebih besar walaupun ada kepencangan dalam amalan Demokrasi.
DEMOKRASI
Parti Islam Se Malaysia (PAS) yang berasaskan Islam terus memilih pendekatan secara saluran demokrasi pilihanraya, walau pun banyaknya berlaku kepincangan dalam negara kita , kerana perubahan kepada demokrasi moden banyak menimba dari Tamadun Islam hasil hubungan barat dengan tamadun Islam dan hubungan Islam dengan Tamadun umat lain dari timur dan barat, kerana pesanan Nabi Muhammad S.A.W. : “Kebijaksanaan laksana barang berharga yang tercicir mesti dipungut walau dari mana datangnya”. Di samping hukum yang telah sedia ada dalam Islam, maka Islam menerima sistem dan hukum daripada masyarakat berbagai bangsa, agama dan budaya.
PAS yang berlandaskan Islam , yang tidak bersifat sekularisma seperti yang didokong oleh parti yang memerintah sekarang , terbuka kepada pakatan dengan semua pihak yang berhasrat baik dan berniat murni untuk menyelamat negara dan rakyat daripada gejala negatif seperti kezaliman, penyelewengan dan kelemahan yang menular dalam pentadbiran negara kita sekarang, melalui konsep demokrasi yang sebenarnya.
Demokrasi bukan hanya hari mengundi , ataupun sekadar memberi hak mengundi kepada mereka yang di senaraikan dalam daftar pemilih, tetapi hendaklah juga diambil kira cara pendaftaran berlaku dengan adil, pemikiran mereka membuat pilihan dengan maklumat media yang demokratik, suasana hidup yang tidak memaksa mereka dalam menentukan hak membuat pilihan, serta pengurusan pilihanraya yang adil.
Sebenarnya kita mengalami demokrasi yang sakit tenat , dengan kongkongan yang menghalang rakyat menjadi hakim yang adil melalui mahkamah pilihan raya, kerana saksi daripada media yang tidak memberi keterangan yang adil dan telus bagi semua pihak. Parti yang memerintah terus memerintah di masa pilihanraya , sehingga menyalahgunakan alat-alat kerajaan melalui kementerian dan jabatan, jentera kerajaan dan pasukan keselamatan, sehingga undang-undang pilihanraya menjadikan padang lapangan pilihanraya itu tidak sama rata.
Umat Islam sedang menyambut tahun baru hijrah bagi memperingati penubuhan negara masyarakat majmuk di kota Madinah 1430 tahun lalu, yang lahir daripadanya perkataan masyarakat madani yang dicetuskan oleh Ibnu Khaldun dalam buku tulisannya yang telah diterjemah ke dalam berbagai bahasa . Umat Islam memperingati penubuhan negara masyakat majmuk, dalam keadaan jumlah penganut agama Islam adalah minoriti dibandingkan dengan jumlah keseluruhan penganut berbagai agama yang terlibat dalam penubuhannya di peringkat awal dan negara itu berlansung sehingga lebih empat belas abad, sehingga tamat dengan kejatuhannya, apabila umat Islam sendiri tidak berpegang dengan ajaran mereka, maka PAS berharap rakan-rakan yang bukan Islam jangan mengambil contoh daripada Islam UMNO. Dengan ini PAS ingin membuktikan kita boleh berpakat dan setia dengan perjanjian dalam pakatan kerana inilah ajaran agama.
PERPADUAN
Alhamdulillah kita bersama-sama tinggal dalam negara Malaysia yang dibentuk di atasnya masyarakat majmuk, di mana semua kaum besar di Asia berada di sini. Sepatutnya kita membuka mata dengan realiti yang ada sehingga kita tidak boleh menganggap rakannya adalah pendatang , bukan penduduk asal, kerana kita semua tidak berasa asing disini, bahkan bila kita bertemu di luar negara kita terasa bersama daripada satu negara.
PAS yang berlandaskan Islam menganggap semua manusia adalah sama, kerana realiti mereka percaya kepada Tuhan yang satu, walau pun selepas itu adanya penganut agama yang melantik tuhan-tuhan yang banyak yang sangat bercanggah dengan Islam, tetapi semuanya mengaku kepada Tuhan yang satu sahaja iaitu pencipta alam yang Maha Berkuasa, maka di atas perinsip aqidah ini Islam mewajibkan kerajaan berlaku adil kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama yang berlainan. Islam menganggap semua manusia daripada keturunan Adam dan Hawa, ada pun bangsa dan bahasa yang berbeza, warna kulit yang berlainan, taraf hidup yang tidak sama, semuanya berlaku kemudian.
Semua perbezaan itu terbentuk selepas proses masa yang panjang , Islam menjadikan perbezaan itu tanda kebesaran Allah :
ومن آياته خلق السموات والأرض واختلاف ألسنتكم وألوانكم . إن في ذلك لآيات للعالمين
.(Dan di antara tanda –tanda ketuhanan Allah Yang Maha Esa ialah Dia mencipta langit dan bumi dan Dia mencipta kamu berbagai-bagai bahasa dan warna kulit).
Maka mewajibkan adil kepada semua manusia :
وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل
(Dan apabila kamu memerintah di kalangan manusia hendaklah berlaku adil).
Haram berlaku zalim sesama manusia dalam segala aspek, hatta diperingkat antara bangsa, di masa aman dan perang. Apa lagi kalau kita semua dalam satu negara maka lebih haram lagi kalau berlaku zalim.
Perpaduan di kalangan manusia tidak berlaku dengan aspek ekonomi sahaja, atau aspek politik sahaja, dalam perbatasan negeri dan serantau sahaja, keturunan bangsa sahaja, tetapi perpaduan itu pernah berlaku dengan kosep adil untuk semua dengan maksud menyeluruh, tanpa mengira hanya satu aspek sahaja, bahkan merangkumi aspek ruhani dan jasmani, individu, keluarga, masyarkat, negara dan antarabangsa dan negara. Kerana naluri manusia yang hidup bermasyarakat tidak menjadikan satu bangsa itu menghasilkan segala keperluan hidup, berlakunya kepelbagaian kebolehan dan kepunyaan, selepas itu hendaklah adanya pertukaran keperluan yang mewajibkan percampuran yang berkongsepkan adil dan menghapus segala bentuk kezaliman di antara satu sama lain, di atas semangat persaudaraan kemanusiaan, walaupun berbeza dalam perkara yang banyak.
Adanya negara, perlembagaan, undang-undang dan pentadbirannya adalah bagi menjamin sifat adil yang memupuk perpaduan yang sebenar, dan kita mestilah bersama menentang kezaliman yang mejadi penyakit dalam kehidupan manusia.
Zalim boleh memecah-belahakan satu keluarga, maka lebih lagi memecahkan satu negara, kerana zalim itu menghilangkan kasih sayang di antara satu sama lain. Perpecahan dalam tiap-tiap satu parti BN yang sedang memerintah sepatutnya menjadi iktibar kepada Pakatan Rakyat, dan kita sendiri mestilah menunjukkan perpaduan walaupun berbeza pendapat dalam beberapa perkara. Dahulukan perkara yang disepakati dan mengambil masa dengan sabar dalam perkara yang masih berbeza.
MENGISI KEMENANGAN DI NEGERI DAN KAWASAN
Hari ini kita berbincang bagi merangka masa depan menghadapi pilihanraya ke 13, dalam masa yang sama kita perlu menjadi model di negeri yang telah kita kuasai, di mana lawan kita mencari setiap kelemahan kita. Media arus perdana yang masih tidak banyak memberi ruang yang adil kepada kita, sudah pasti membesarkan kesilapan yang kecil daripada kita dan memperkecilkan kejayaan yang besar daripada kita. Mereka juga akan mengambil setiap kelemahan parti dan individu. Peristiwa Perak perlu menjadi contoh, perlu dilihat bukan sahaja kezaliman dalam amalan demokrasi merampas kuasa di Perak, tetapi juga perlu dilihat ruang kelemahan kita sendiri yang memberi peluang kepada lawan mengambil kesempatan.
Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri-yang telah kita kuasai adalah hujah terdekat bagi menghasilkan sokongan rakyat untuk Pilihanraya Ke13. Sekurang-kurangnya kita dapat mebebaskan diri daripada penyakit yang sedang menular dalam parti dan kerajaan BN disemua peringkat.
JENTERA PARTI
Perubahan kepada segala aspek sangat bergantung dengan peranan politik, di sinilah besarnya peranan kita bagi menyelamatkan negara kita. Maka setiap parti hendaklah mengukuhkan jentera parti masing-masing di semua peringkat, sehingga menjadi ukuran untuk meletakkan calon, dan bukan sekadar meletakkan calon secara berangan-angan tanpa berpijak di atas bumi kenyataan melalui kekuatan parti yang sebenar, kemudian berkrisis dalam masalah menentukan calon. Hendaklah berusaha mencari seberapa banyak ahli yang ada untuk menjadi petugas parti dan cawangan yang ditubuhkan untuk menjadi jentera parti. Jangan berpijak diatas kehadiran dalam majlis ceramah dan hanya penyokong yang berpaut dengan isu sementara waktu dan boleh menjadi mangsa politik wang yang masih menjadi wabak penyakit kepada demokrasi di negara kita. Kita tidak boleh berpaut di atas perancangan jangka pendek, kerana perjuangan politik wajib mengharungi jangka panjang, bukan sahaja untuk mencapai kemenangan, tetapi juga merancang untuk mengisi kemenangan dan percayalah bahawa mengisi kemenangan itu sebenarnya lebih sukar daripada mencapai kemenangan . Saya percaya bahawa perbincangan kita hari ini lebih tertumpu kepada mengisi kemenangan.
PERKUKUH PAKATAN RAKYAT
Hari ini kita berbahas dengan sehangat-hangatnya, bagi mendatangkan natijah terbaik ke arah megukuhkan parti, dan di sana sudah tentu ada perbezaan pendapat, dan pendapat yang terkuat hujahnya adalah pengukuhan kepada resolusi yang dicapai. Pendapat yang lemah juga tetap dihormati, kadang-kadang yang lemah hari ini menjadi kenyataan yang kuat di masa akan datang, oleh kerana itu dalam budaya ilmu Islam kami bukan sahaja mencatit pendapat yang menjadi keputusan muktamad, pendapat yang lemah juga dijadikan ingatan, dan tidak ada yang diperkecilkan. Kita juga menjadikan majlis ini sebagai medan persaudaraan yang menemukan kita semua di atas semangat persaudaraan dalam satu bahtera negara tercinta, kalau selamat bahtera ini, selamatlah kita semua dan sampai ke destinasi yang dituju untuk pilihanraya ke 13.
Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang hadir dan selamat berkonvensyen.
YB. Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
19 Disember 2009
Auditorium MBSA, Shah Alam,
Selangor
Saturday, September 19, 2009
Perutusan Hari Raya Presiden PAS ;Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w panduan kita
| | |
|
Ramadhan Al Mubarak telah pergi meninggalkan kita, setelah kita berpuasa sebulan dalam bulan yang diberkati ini. Moga-moga Ramadhan yang baru sahaja berlalu itu telah mendidik diri kita menjadi orang-orang yang bertaqwa sebagaimana natijah serta hikmat puasa itu sendiri. Tanda orang bertaqwa pula ialah kita menjadikan Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. sebagai panduan yang hakiki dalam kita melayari bahtera kehidupan yang penuh dengan cabaran ini. Ianya merangkumi pelbagai cabang kehidupan kita : bukan setakat makan-minum-pakaian yang halal semata-mata, tetapi juga cara untuk menguruskan rumahtangga, berhubung sesama manusia sebagai rumpun jiran tetangga dalam sebuah masyarakat, bahkan hinggalah kepada cara bernegara. Bersempena dengan kedatangan bulan Syawal ini, marilah sama-sama kita membuktikan tarbiyah Ramadhan dengan kita terus istiqamah kepada panduan Al Quran dan Sunnah, marilah kita menguatkan persaudaraan di kalangan umat Islam, bermaafan dan berkasih sayang di antara satu sama lain, kunjung mengunjung dengan penuh tawadhuk dan berpandukan kepada akhlak Islam yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Dengan buah taqwa ini jugalah ianya mengajar kita untuk menyelesaikan semua masalah dan perkara yang menjadi perbalahan di kalangan umat Islam khususnya dalam perkara politik yang menentukan dasar dan halatuju negara dengan panduan Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan �Eid Mubarak� kepada seluruh ahli dan penyokong serta saf kepimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS), dan juga seluruh rakyat beragama Islam di dalam negara kita ini tanpa mengira fahaman politik mereka. Marilah kita sama-sama bermaaf-maafan dan menjadikan Syawal ini sebagai titik tolak kepada keyakinan kita bahawa Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. adalah panduan kita yang hakiki dalam kehidupan kita ini. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
Ikhlas, Presiden PAS |




