Showing posts with label petikan. Show all posts
Showing posts with label petikan. Show all posts

Tuesday, July 23, 2013

Pelajar Tingkatan 2,SMK Klian Pauh,Taiping mati dibunuh.


IPOH – “Rasa pilu ketika melihat anak tidak bernyawa dengan baju sekolahnya dipenuhi darah selain luka di leher dan kedua-dua tangannya. Tidak dapat bayang penderitaan yang dihadapinya,” demikian kata bapa mangsa bunuh, M Nathaniel, 14, yang di temui dalam semak berhampiran Taman Mewah, Kamunting, kelmarin.

A Manimaran, 46, berkata, dia dimaklum oleh rakannya mengenai penemuan mayat tersebut.

“Kami sekeluarga memang terkejut dengan keadaan dia ditemui dengan banyak kesan luka. Siapa yang sanggup membunuh dia kerana setahu saya, dia tidak pernah bergaduh dengan sesiapa. Dia anak baik dan periang,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam.  

Katanya, dia diberitahu oleh salah seorang rakan anaknya yang ternampak mangsa berbual dengan tiga lelaki tidak dikenali pada hari dia didapati hilang.

“Dia ingatkan rakan anak saya jadi dia terus pulang tanpa mengesyaki apa-apa. Lagipun, tiada sebarang pergaduhan atau jeritan ketika itu,” katanya  yang kali terakhir bertemu ketika keluar bekerja pada pagi hari kejadian.

Namun, Manimaran berkata, mangsa ada perselisihan faham dengan tiga lelaki selepas terlibat dalam satu kemalangan motosikal, Isnin minggu lalu.

“Hanya itu sahaja masalah yang dihadapinya sebelum kejadian dan tidak menolak kemungkinan kejadian ini berlaku mungkin disebabkan perselisihan faham itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah ketika dihubungi berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan terhadap kes tersebut.

Katanya, hasil laporan bedah siasat yang dibuat ke atas mangsa akan diserahkan kepada mahkamah untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian semalam melaporkan remaja malang berkenaan ditemui mati di kawasan semak berhampiran Taman Mewah, Kamunting, kelmarin.

Mangsa dipercayai dibunuh dengan kesan kelar di beberapa bahagian di badan dan siasatan pihak polis dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.sumber

Tuesday, March 26, 2013

Pinggan itu yang kotor-Bob Lokman


SHAH ALAM - Bob Lokman menarik perhatian audien dengan analogi 'pinggan kotor' yang mengaitkan dengan penghijrahannya menyertai parti pembangkang.

Beliau ditanya moderator Wacana Sinar Siri ke-18, Profesor Madya A Razak Mohideen, adakah pendapatan sebagai seorang artis itu haram di sisi Islam.

Bob Lokman berkata, umpama makan dalam sebuah pinggan, makanan yang disuap ke dalam mulut itu tidak haram tetapi pinggannya yang kotor.

“Bukan saya kata mengambil duit daripada lakonan itu berdosa, saya kata, pinggan yang buat kita makan itu 'kotor’, bukan perbuatan makan itu yang kotor. Pinggan itu yang kotor,” katanya pada wacana yang diadakan semalam.

Ketika ditanya mengapa beliau 'tidak membersihkan pinggan yang kotor' itu, Bob Lokman menjawab, kerajaan yang memerintah bertanggungjawab untuk memastikan ‘pinggan yang dimakan’ oleh rakyatnya itu bersih.

Beliau berkata, untuk membersihkan pinggan itu memerlukan tiga perkara iaitu: “Pertama dengan cara ‘mari kita bersihkan’, tetapi siapa saya?

“Kedua, ‘menyuruh kepada benda baik’. Menyuruh itu bukan sebarang orang boleh buat, kalau tiba-tiba saya suruh orang, ‘kau budak pergi sembahyang, budak itu kata kau siapa?’

“Yang ketiga judi itu haram, kononnya sewa bas ke Genting Highlands untuk menghalang judi tetapi di sana judi dihalalkan sebab berlesen. Jadi kerajaan bertanggungjawab untuk membersihkan 'pinggan' itu, bukan saya yang akan membersihkannya," katanya.

 Menurutnya, apa yang boleh beliau lakukan ialah memberitahu bahawa jangan gunakan pinggan itu kerana ia kotor.SH

"Kalau itu menimbulkan ketakutan, perkara itu bagus. Sebab setiap hari Jumaat kita pergi masjid kita suruh orang takut. Ketakutan itu penting supaya beritahu kita itu hamba. Kalau kita tidak takut, kita ini Tuhan.        

"Kita besar kita gagah, sebab itu rosak sebab ramai yang rasa dia Tuhan,” katanya.

Sementara itu, penulis lirik Isabella itu turut menegaskan yang beliau tidak menyesal pernah bergelar sebagai artis.

Bob Lokman mengumumkan persaraannya secara rasmi daripada bidang seni dan menyertai Pas pada 19 Februari 2011

Thursday, April 5, 2012

PTPTN RM7000 setahun ,biaya seorang pelatih PLKN RM6,931 untuk 3 bulan.

SEREMBAN, 6 April: Kerajaan lebih besar membelanjakan wang rakyat untuk menampung kos melatih pelajar di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) berbanding dengan kos memberikan pinjaman melalui PTPTN.


Ini kerana kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM6,931 bagi seorang pelatih untuk menamatkan kursus yang mengambil masa 3 bulan di PLKN.


Sedangkan untuk ijazah pertama, PTPTN hanya memberikan pinjaman RM7,000 setahun manakala diploma hanya RM5,000 setahun.


Demikian kata Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Taufek Abdul Ghani yang mengulas kenyataan kerajaan baru-baru ini.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi baru-baru ini memaklumkan, seramai 629,052 pelatih PLKN direkodkan sehingga 29 Februari lepas.


Beliau menambah sebanyak RM4.36 bilion telah dibelanjakan untuk PLKN sejak dilaksanakan.


Berdasarkan angka itu, kata Taufek, kos untuk seorang pelatih PLKN selama 3 bulan yang diberi percuma adalah bersamaan dengan kos pembiayaan pinjaman PTPTN seorang mahasiswa peringkat ijazah selama 1 tahun.


Jumlah RM4.36 bilion itu pula, katanya, boleh menampung kos pembiayaan pinjaman PTPTN untuk seramai 622,857 orang mahasiswa serta mahasiswi ijazah pertama di IPTA selama setahun.


Kenyataan beliau dipercayai untuk mewajarkan cadangan Pakatan Rakyat untuk memansuhkan PTPTN dan memberikan pendidikan percuma kepada rakyat negara ini.


Antara tunggak utama perbelanjaan pelajar IPTA adalah yuran pelajaran, asrama dan makan.

Monday, April 12, 2010

Kes Osman Jailu dan Jamaluddin Radzi 23 April Keputusan Kes Rasuah.

IPOH: Mahkamah Sesyen di sini diberitahu sama ada pakatan DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR)-PAS di Perak jatuh atau tidak, ia tiada berkaitan dengan kes rasuah berkaitan projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar yang membabitkan dua bekas Exco kerajaan Perak dan tiga yang lain, kata Peguam Kanan Persekutuan Datuk Abdul Razak Musa ketika sesi penghujahan hari ini.

Beliau berkata tidak ada sebarang keterangan dalam perbicaraan sebelum ini bahawa saksi pihak pendakwaan berkomplot dengan parti politik.

Katanya mahkamah perlu mempunyai fikiran tentang apa yang ada dalam pemikiran tertuduh-tertuduh semasa mereka menerima wang suapan dan habuan perempuan kerana ia berkaitan dengan lawatan tapak projek terbabit.

Lawatan ke tapak projek pembangunan itu menjelaskan memang ada sesuatu di belakang pemberian wang itu, katanya ketika sesi penghujahan kes pendakwaan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Abdul Razak berkata elemen penyerahan wang adalah lengkap dan tertuduh masing-masing mengetahui bahawa ia bukan semata-mata sumbangan untuk pilihan raya kecil yang diadakan di Parlimen Permatang Pauh tetapi adalah untuk cadangan berhubung projek berkenaan.

Terdahulu, peguam Surjan Singh memberitahu mahkamah bahawa kes berkenaan merupakan satu rancangan untuk menjatuhkan kerajaan pakatan DAP-PKR-PAS di Perak dan ia bertujuan memalukan pakatan kerana pada masa itu Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Beliau berkata tidak ada bukti bahawa tertuduh Zul Hasan dan Fairul Azrim Ismail mengetahui mengenai lawatan tapak berkenaan dan tidak ada sebarang bukti sama ada kawasan tapak tanah yang ditunjukkan itu milik Majlis Daerah Perak Tengah atau hak persendirian.

Wang yang diterima tertuduh-tertuduh bukanlah rasuah sebaliknya untuk disumbangkan kepada parti pakatan bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh, katanya.

Sementara itu, peguam M. Saravanan berkata sewajarnya pihak pendakwaan memanggil perempuan yang ditawarkan kepada tertuduh kerana hanya perempuan terbabit boleh mengesahkan tuduhan berkenaan.

"Orang yang penting untuk tuduhan (habuan seks) dibuktikan adalah perempuan terbabit. Sama ada anak guaman saya ada (melakukan) hubungan seks, hanya perempuan itu boleh mengesahkannya. Kenapa dia tidak dipanggil (memberi keterangan)? Adakah dia masih hidup? Adakah masih berada atau keluar dari negara ini? Sekurang-kurangnya apakah namanya?," katanya.

Hakim Azhaniz Teh yang selesai mendengar penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan kemudiannya menetapkan 23 April ini untuk keputusan kes berkenaan.

Dua bekas Exco kerajaan negeri Kapten (B) Mohd Osman Mohd Jailu, 58, dan Jamaluddin Mohd Radzi, 53, bersama-sama Usaili Alias, 57; dan Zul, 46, didakwa melakukan kesalahan rasuah berkaitan projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar itu di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan di Restoran Kluang Station Cafe di Medan Istana, Bandar Ipoh Raya di sini, dan di Aquarias Restaurant & Bar, Tingkat 4, Summit Hotel, Bukit Mertajam, Pulau Pinang antara 14 hingga 19 Ogos 2008.

Zul juga didakwa menerima rasuah seorang perempuan bagi tujuan mengadakan hubungan seks pada pukul 8.10 malam, 14 Ogos 2008 di Sri Sayang Apartment di Pulau Pinang.

Tertuduh keenam, ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail, 30, yang dituduh menerima habuan rasuah seks di Sri Sayang Apartment pada 14 Ogos 2008 untuk membantu seorang bernama Mohamad Imran Abdullah memperoleh projek pembangunan bersama di Bandar Baru Seri Iskandar melibatkan Majlis Daerah Perak Tengah turut dibicarakan secara bersama dengan empat tertuduh berkenaan.

Peguam Surjan Singh mewakili Usaili, Mohd Asri Othman mewakili Fairul Azrim, M. Saravanan mewakili Zul dan Abdul Roni Rahman mewakili Mohd Osman dan Jamaluddin. - BERNAMA

Thursday, April 8, 2010

Pemuda PAS Perak Persoal UMNO tidak ikut peraturan lantik Pegawai Masjid


Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) kecewa dengan tindakan Umno untuk terus menguasai Institusi Masjid apabila memastikan tindakan mereka dengan menyusun semua perlantikan Pegawai Penyelaras Masjid Daerah (PPMD) yang telah diberikan tauliah tempohari sebenarnya telah melanggari peraturan amalan yang telah dilakukan selama ini terutama perlu melalui proses temuduga telah diketepikan.

Panduan yang selama ini diikuti mengikut garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diketepikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Sedangkan JAKIM yang memberikan peruntukan selama ini telah dinafikan peranan yang sepatutnya diberikan keutamaan. Yang lebih parah ialah agen-agen Umno yang berada di dalam Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) merealisasikan sepertimana yang dikehendaki oleh Umno.

DPPN Pk mencabar agen-agen Umno yang berada di dalam JAIPk agar meletak jawatan kerana mereka telah merosakkan Institusi Masjid yang sepatutnya menjadi tempat penyatuan Umat Islam dan bukannya pepecahan kerana idelogi politik kepartian. Kemusnahan Institusi Masjid akan bertambah parah dengan tindakan semua yang melibatkan tanggungjawab yang sepatutnya diberikan kepada yang lebih layak tidak diberikan.

Umno yang bertanggungjawab memusnahkan dan merosakkan Institusi Masjid selama ini. Rakyat dan ahli kariah yang sepatutnya yang menentukan siapakah yang layak diberikan tanggungjawab dinafikan hak. Malah perlantikan Ahli Jawatankuasa Masjid telah dikuasai oleh Umno, dan lebih malang apabila sesiapa yang tidak menyokong Umno diketepikan untuk bersama membangunkan Institusi Masjid.

SALMAN HAJI SALEH
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Saturday, April 3, 2010

Jamaluddin yang terliur mahu jadi MB Perak-Misbahul Munir

Saya tidak fikir rakyat Perak boleh percaya Jamaluddin ditawarkan menjadi Menteri Besar Perak oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pimpinan PKR Perak dan Pusat sangat tahu latar belakang Jamaluddin. Usahkan Menteri Besar, menjadi wakil rakyat dan EXCO yang baik pun tidak ada pada batang tubuh Jamaluddin.

Peringkat awal semua parti ada calon MB Negeri Perak, DAP pun ada calonnya. Tetapi Undang-undang Tubuh Negeri Perak tidak membolehkan orang bukan Melayu dilantik MB Perak. DAP akur dengan peruntukan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak. Nama Jamaluddin juga disebut bakal MB Perak dari PKR kerana dalam PKR dialah yang agak senior dalam parti berbanding adun yang lain.

Saya masih ingat lagi, malam menyambut kemenangan di Ipoh, semua pimpinan tertinggi ketiga-ketiga parti berkumpul di Ipoh, mesyuarat diadakan di pejabat PAS, beberapa nama dikemukakan oleh parti untuk dipilih sebagai Menteri Besar. 6 orang Adun PAS yang menang masing-masing menuding orang lain menjadi Menteri Besar, bermula dengan nama Hj Nizar, beliau tolak kepada YB Zainuddin, YB Zainuddin menuding pula orang lain sehinggalah pusingan itu sampai pula ke YB Hj Nizar. Akhirnya mesyuarat Harian PAS pagi itu bersetuju Hj Nizar adalah calon MB dari PAS berdasarkan hiraki kepimpinan. Beliau Setiausaha Perhubungan PAS Perak ketika itu. Walau bagaimanapun PAS menyerahkan kepada DAP dan PKR untuk membuat keputusan.

Dalam mesyuarat bersama DAP dan PKR, DAP sendiri bersetuju MB Perak dipilih dari kalangan Adun PAS. Pimpinan PKR negeri tidak nampak adanya wakil rakyat mereka yang menang mempunyai kelayakan memegang jawatan no 1 di Perak. Akhirnya subuh 8hb Feb semua setuju Hj Nizar adalah MB Perak kerajaan baru Perak.

Di DUN Behrang, saya mendapat maklumat kononnya rakyat Behrang mahukan adun Behrang dari PKR menjadi MB atas dasar kerusi PKR lebih banyak berbanding dengan PAS. Dan yang terbaik dari PKR tidak lain melainkan Jamaluddin berbanding dengan dua adun Melayu yang lain. Sayangnya pimpinan PR negeri sendiri tidak mencalonkan namanya. Pimpinan PR Perak tentu sangat tahu sebabnya mengapa Jamaluddin tidak ada kelayakan untuk dicalonkan sebagai MB.

Apabila nama Hj Nizar dicadangkan sebagai MB , Jamaluddin dan beberapa rakannya dari PKR sangat tidak puas hati. Ada juga kebimbangan di kalangan pimpinan PR pusat penerimaan kaum masyarakat Cina terhadap MB dari PAS, gambarannya sudah tentulah imej Islam yang akan dibawa oleh MB Perak nanti. Tidak kurang juga ada yang berpandangan, kemungkinan Jamaluddin tidak puas hati yang memungkinkan beliau akan keluar parti dan menyokong BN.

Saya teringat ada pimpinan tertinggi PR menghubungi Ust Ahmad Awang melalui telepon agar jawatan MB diberi kepada PKR atas alasan penerimaan orang Cina lebih selesa sekiranya PKR yang menjadi MB , tidak nampak imej Islam yang dibawa oleh PAS yang boleh merenggangkan hubungan. PJ Perak bertegas keputusan telah dibuat dan dipersetujui, beliau tidak berganjak dengan keputusan.

Proses pemilihan MB Perak di peringkat ketiga-tiga parti selesai. Nama Hj Nizar diangkat kepada Tuanku untuk diperkenan sebagai MB Perak. Tuanku tiada halangan memperkenan Nizar sebagai MB Perak yang ke 10. Pada hari angkat sumpah di Istana Kuala Kangsar, semua pimpinan PAS sudah berada di Kuala Kangsar. Sejam sebelum berlangsung upacara angkat sumpah diadakan, kami dapat panggilan telepon dari Istana Kinta Ipoh. Hj Nizar dan pimpinan utama parti DAP dan PKR dipanggil istana.

Hj Nizar terus bergegas ke Istana, di sana Jamaluddin sudah sedia menanti. Kami dapat maklumat, Jamaluddin mengadap Tuanku dan mempertikaikan cara pemilihan Hj Nizar sebagai MB. Tuanku menangguhkan upacara angkat sumpah. Baginda meminta dibuat pemilihan semula supaya semua pihak puas hati. mesti ada persetujuan bertulis dari semua Adun PAS, DAP dan PKR.

Perundingan diadakan semula. Semua parti diminta oleh Tuanku mengemukakan calon MB masing-masing. DAP yang tahu tidak ada calon yang layak turut menamakan adun mereka sebagai calon MB, PKR negeri pun begitu juga, menghormati kehendak Tuanku, turut menamakan Adun Behrang sebagai calon MB, PAS tetap menamakan Hj Nizar sebagi calon MB. Semua adun dan parti menandatangani persetujuan, bahawa mana-mana calon yang akan dipilih oleh Tuanku nanti adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan.

Alhamdulillah, Tuanku Sultan Perak berkenan YB Ir Hj Nizar sebagai MB Perak yang ke 10. Kempunanlah Jamaluddin untuk menjawat jawatan MB Perak.

Jelas sebenarnya yang sangat terliur dan teringin sangat nak menjadi MB Perak adalah Jamaluddin, penyokong-penyokongnya di Behrang sudahpun meraikan yang Jamaluddin bakal MB Perak yang baru. Tetapi apakan daya, pimpinan PKR Perak ketika itu sedikit pun tidak nampak Jamaluddin layak memikul tugas utama kepimpinan negeri Perak. Mereka lebih tahu siapa Jamaluddin yang sebenar.sumber.blog Ustaz Misbah.