Tuesday, March 19, 2013

Pegawai Pemerintah FRU dituduh buat tuntutan palsu.


GEORGETOWN - Seorang Pegawai Pemerintah Unit No. 3 Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berhubung pembekalan makanan dan minuman pada Mac tahun lepas.
   
Mohamad Mokhtar Abdul Majid, 58, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
   
Dia didakwa memberikan satu dokumen pesanan kerajaan bertarikh 2 Mac 2012 yang mengandungi butiran matan yang palsu kepada Pembantu Tadbir Kewangan Unit No. 3 PSP Pulau Pinang Noor Aliza Razali dengan mengesahkan Hafez Enterprise menyediakan makanan dan minuman untuk Troop 3A bagi Latihan Ulangkaji PSP pada 20 Februari hingga 3 Mac 2012 bernilai RM36,824 sedangkan syarikat itu telah menyerahkan wang tunai RM24,950 kepada tertuduh bagi maksud pembekalan itu.
   
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Unit No. 3 PSP Pulau Pinang pada 7 Mac tahun lepas.
   
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memberikan satu dokumen pesanan kerajaan bertarikh 16 Mac 2012 yang mengandungi butiran matan yang palsu kepada Noor Aliza dengan mengesahkan Hafez Enterprise menyediakan makanan dan minuman untuk Troop 3B bagi Latihan Ulangkaji PSP pada 4 Mac hingga 18 Mac 2012 bernilai RM39,736 sedangkan syarikat itu telah menyerahkan wang tunai RM27,000 kepada tertuduh bagi maksud pembekalan itu, di tempat yang sama pada 27 Mac 2012.

Dia juga didakwa memberikan satu dokumen pesanan kerajaan bertarikh 27 Mac 2012 yang mengandungi butiran matan yang palsu kepada Noor Aliza dengan mengesahkan Hafez Enterprise menyediakan makanan dan minuman untuk Troop 3C bagi Latihan Ulangkaji PSP pada 18 Mac hingga 31 Mac 2012 bernilai RM38,644 sedangkan syarikat itu telah menyerahkan wang tunai RM26,000 kepada tertuduh bagi maksud pembekalan itu, di tempat yang sama pada 2 April 2012.
   
Untuk ketiga-tiga pertuduhan itu, Mohamad Mokhtar didakwa mengikut Seksyen 1 , Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai butiran matan yang palsu atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
   
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Janariah Abdul Mutalib menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
   
Peguam Zarina Zahur Hussian yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan kes itu.
  
  Zulhazmi membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga ke
selesai.
    Mahkamah menetapkan 18 April depan untuk pengurusan kes.  - Bernama

No comments:

Post a Comment