Showing posts with label pj perak. Show all posts
Showing posts with label pj perak. Show all posts

Saturday, June 8, 2013

YB Ustaz Abu Bakar Hussain,wakil rakyat yang berkesan.

Kenyataan Adun Titi Serong,Ustaz Abu Bakar Hussain wakil rakyat baru yang bernas.Pandangan beliau tentang kilang terbakar di Bagan Tiang,Parit Buntar.


YB Ustaz Abu Bakar,Adun Titi Serong, meminta pihak berkenaan meneliti soal keselamatan serta piawaian kilang tersebut sama ada ciri keselamatan yang ditetapkan mengikut undang-undang dan berharap kejadian seumpama itu dapat dielakkan pada masa akan datang..
  

Sunday, May 12, 2013

Pesuruhjaya Pas Perak ,sanggup telefon untuk dapat jadual DS Nizar.

YB Ustaz Abu Bakar Hussein ,ADUN Titi Serong ,seorang Pesuruhjaya PAS Perak yang cukup merendah diri.Sewaktu  kempen PRU 13 dua kali menelefon penulis. Kali pertama untuk meminta tarikh DS Nizar berceramah di Titi Serong dan pada kali kedua meminta tarikh DS Nizar berceramah di Dun Sungai Rapat.Sebagai pengurus kempen DS Nizar,jadual DS Nizar penulis yang buat.YB Ustaz Abu Bakar Hussein ,sebagai PJ tahu peranan Pengurus Kempen dalam PRU 13.Beliau menghormati tugas masing-masing .Sikap tawaduk PJ ini harus dicontohi pimpinan lain.Hormat kawasan,bukannya kawasan yang kena hormat.

Monday, August 1, 2011

Hukum dan perlembagaan tertinggi diturunkan- Ustaz Abu Bakar Husain

Umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia menyambut kedatangan bulan yang paling mulia dalam kalendar Islam, Ramadan al-Mubarak dengan penuh kegembiraan dan keinsafan.

Ia bukan sekadar bulan diwajibkan berpuasa tetapi lebih penting pada bulan ini hukum dan perlembagaan tertinggi buat umat manusia, al-Quran, diturunkan Allah SWT.


“Bulan Ramadhan, yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah).” (maksud al Baqarah: 185)


Melalui al-Quran, maka Allah SWT menyelesaikan segala kemelut dan permasalahan manusia khasnya bagi mereka yang mahu menjunjung dan melaksanakannya.


Oleh itu bulan Ramadan ini bukan sekadar bulan ruhiyah (spiritual) bagi mereka yang tekun menghayatinya tetapi ia sebenarnya bulan siyasiyah (politik) kerana di bulan inilah hukum dan peraturan lengkap bagi manusia diperturunkan Allah SWT kepada Rasul-Nya SAW.


Di samping kita mengejar manfaat dan kelebihan Ramadan sebagai bulan ruhiyah kita juga wajar menghayatinya sebagai bulan siyasiah bagi mengembelengkan seluruh tenaga dalam meyakinkan segenap lapisan masyarakat bahawa formula untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara kita hanyalah apabila kita kembali kepada al-Quran yang diturunkan pada bulan ini di samping berpegang teguh kepada Sunnah Rasul-Nya.


Di bulan penuh barakah ini jangan sekali-kali kita lupa nasib saudara-saudara kita di bumi Islam yang sedang bergolak khasnya di Palestin, Iraq dan Afghanistan, di samping mereka yang sedang bertarung nyawa di Chechnya, Selatan Filipina, Selatan Thai dan seluruh bumi umat Islam di dunia ini.


Titipkanlah doa di bulan yang penuh rahmat ini, mudah-mudahan Allah SWT memberikan kemenangan dan kejayaan kepada mereka setelah sekian lama hidup dan menderita dalam kesengsaraan, darah dan air mata.


Semoga Ramadan tahun ini mampu membangkitkan kesedaran kita untuk mempertingkatkan amal ibadat menuju keredaan Allah di samping menyedarkan kita bahawa hanya Islam penyelamat kita di dunia dan di akhirat, lantas marilah kita sama-sama kembali kepadanya, InsyAAllah dengan bantuan Allah SWT, PAS Perak akan memimpin rakyat Perak kearah keredhaan Allah SWT


Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “Ramadan Kareem” kepada semua umat Islam, mudah-mudahan kekuatan dan semangat yang terbentuk sepanjang Ramadan ini akan terus memperteguhkan iltizam kita untuk sama-sama membela, mempertahan dan memperjuangkan Islam hingga ke akhir hayat.


Ustaz Abu Bakar Hussain

(Pesuruhjaya PAS Perak)

Monday, July 11, 2011

Siasat kes Baharuddin Ahmad -Ustaz Abu Bakar Hussain

IPOH, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyeru kepada semua muslimin dan muslimat agar sama-sama menghadiahkan Al-Fatehah kepada Allahyarham Baharuddin Ahmad yang telah tekorban sewaktu himpunan Besrsih 2.0. Baharuddin yang mengalami sesak nafas setelah terhidu gas pemedih mata, pengsan dan kemudiannya meninngal di perkarangan KLCC.


Beliau juga menyifatkan tindakan ganas beberapa anggota polis yang disiarkan di laman web Malaysiakini dan Al Jazeera sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan. Justeru itu, Pesuruhjaya PAS Perak itu menggesa pihak berkuasa agar menyiasat kes tersebut dan mengadili dengan sebaiknya. Menurut beliau lagi, komitmen yang ditunjukkan oleh semua peserta Bersih 2.0 yang sanggup datang dari jauh sebagai bukti bahawa rakyat mahukan perubahan.


Sebelum mengakhiri ucapan beliau, beliau membacakan sepotong ayat Al-Quran yang berbunyi :

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

(Al-Baqarah: 214)

Sebagai pengakhir bicara, beliau menuntut supaya semua ahli PAS di seluruh Malaysia memperhebatkan lagi gerak kerja tarbiah, dakwah dan siasah agar momentum Bersih 2.0 ini dapat dimanifestasikan ke segenap rakyat Malaysia dan menjadi pemangkin kemenangan pada Pilihanraya Umum ke 13.

Saturday, February 5, 2011

Pesan Ustaz Jika Hendak Infaq! -infaq penebus dosa.

Pesurujaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Husein Jumaat lalu berpesan kepada kita semua."Berhenti merokok dan jangan jadikan kedai kopi sebagai budaya"

Kita semua boleh memberi infaq kepada PAS ,jika kita tidak duduk kedai kopi tanpa mengira masa."Jangan duduk kedai kopi,pagi,petang malam,sehingga kita pula bayar makan orang lain"

Kemudian Ustaz Abu Bakar juga berpesan berhenti merokok.Dengan duit rokok kita boleh infaq dengan PAS.

Merokok jangan ,duduk kedai kopi tanpa sebab pun jangan.Jadikan budaya infaq kepada PAS dan kita berasa ketagih untuk terus menumbang kepada PAS.Bertambah pula kita hendak lawan UMNO.

Friday, February 4, 2011

Infaq penghapus dosa jadikan satu budaya .


TAIPING, 4 Februari - Demi menyuburkan budaya menginfaq atau bersedekah dalam kalangan ahli PAS maka PAS negeri Perak telah melancarkan Kempen Infaq Penghapus Dosa (IPD). Pelancaran kempen telah dilakukan oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar bin Hussein. Pelancaran telah diadakan di Markaz Tarbiyyah PAS Negeri di Air Kuning dekat sini bersempena program bulanan Liqa Fikri negeri.

Di dalam ucapan pelancaran, Ustaz Abu Bakar telah menekankan aspek infaq yang perlu menjadi budaya ddalam kalangan ahli PAS di mana budaya tersebut perlu diamalkan sebagai satu cara menghapus dosa iaitu bertaubat, sedekah dan istighfar. Hal ini juga adalah berdasarkan kepada sebuah hadith riwayat Ahmad, Al Tarmizi yang bermaksud : "Sedekah menghapus dosa seperti air memadamkan api."

Menurut beliau lagi, selain menanamkan sikap suka bersedekah, kempen ini juga bertujuan untuk menampung kos pengurusan PAS Perak di mana kos operasi semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Beliau juga berharap, kempen yang dilaksanaka secara "one-off" ini akan mendapat sambutan baik dalam kalangan ahli PAS seluruh negeri. Kempen tersebut akan berlangsung selama sebulan iaitu di sepanjang bulan Februari. PAS Perak mensasarkan kutipan sebanyak RM100 000 bagi kempen selama sebulan ini.

Antara kaedah pelaksanaan kempen ini ialah setiap kawasan melantik ejen-ejen yang berfungsi menyelaras aktiviti penerimaan sumbangan di cawangan-cawangan. Setiap sumbangan adalah bernilai RM2, RM5 dan RM10 di mana setiap sumbangan akan diberikan sebuah penanda buku yang menarik dan berkualiti.



"Budayakan sikap suka bersedekah kerana inilah peluang untuk kita mencari pahala dan menghapus dosa. Tanamkan sikap 'hidup mesti bersedekah' di dalam diri masing-masing," tambah beliau lagi. sumber blog intanhijau

Friday, December 18, 2009

Penyerahan sahaja tanpa ikhtiar tidak akan membawa kemenangan. -Ustaz Abu Bakar Husein


ASSALAMU 'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.Saudara-saudari muslimin-muslimat yang dihormati sekelian, Pada hari ini maka genaplah 1431 tahun sejak Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah dari Mekah ke Madinah.Demikianlah pentingnya penghijrahan ini sehingga tarikhnya dijadikan tarikh permulaan bagi perkiraan zaman Islam.Sebenarnya Nabi Muhammad s.a.w menerima wahyu yang pertama 13 tahun lebih awal dari penghijrahan ke Madinah. Penentuan penghijrahan sebagai tarikh permulaan zaman Islam tentulah mempunyai erti yang istimewa.

2. Jika kita kaji sejarah Islam dan sejarah dunia kita akan dapati bahawa penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. pada 1hb. Muharam tahun pertama Islam adalah satu peristiwa yang bukan sahaja membawa kesan kepada umat Islam pada ketika itu dan pada zaman ini tetapi bagi seluruh umat manusia. Dari tarikh itulah bermula perkembangan Islam dengan pesatnya ke seluruh dunia sehingga berlakulah perubahan-perubahan yang kekal hingga sekarang. Penghijrahan juga menjadi satu tauladan bagi umat Islam tentang kesabaran dan ketabahan hati dalam menghadapi penindasan dan cabaran yang mana inilah yang akhirnya membawa kejayaan.

3. Penghijrahan merupakan satu ikhtiar dan penyerahan kepada Allah Subhanahuwataala. Penyerahan sahaja tanpa ikhtiar tidak akan membawa kemenangan. Perjalanan dari Mekah ke Madinah yang jauh melalui padang pasir, dengan dikejar oleh musuh dan perompak adalah juga satu ujian terhadap keteguhan iman mereka yang menyertai kumpulan ini.Dan tidak syak lagi pengalaman penghijrahan telah mengukuhkan semangat pengikut-pengikut Nabi serta mengkagumkan orang-orang Madinah.

4. Dari peristiwa ini umat Islam di zaman-zaman yang mereka ditindas bolehlah mencari inspirasi bagi mengukuhkan semangat. Sebenarnya apa yang dihadapi oleh umat Islam sekarang tidak sebegitu berat dan teruk seperti cabaran yang dihadapi oleh Nabi Muhammad s.a.w. Umat Islam di zaman ini amat ramai. Sebahagian daripada mereka kaya-raya. Mereka memerintah wilayah-wilayah yang besar. Sudah sepatutnyalah mereka mencapai kejayaan. Tetapi mereka tidak mencapainya.Sebaliknya mereka di usir dari satu wilayah ke satu wilayah, ditakluk oleh kuasa-kuasa asing, disiksa dan dibunuh tanpa mereka boleh membuat apa-apa. Mereka cuma meraung dan merayu kepada orang lain. Di Palestin dan Lubnan mereka diserang, dibunuh beramai-ramai dan diusir dengan sewenang-wenang oleh Yahudi dan kawan-kawan mereka. Dengan pemindahan orang Palestin, kita sekali lagi melihat peristiwa penghijrahan.

5. Memang benar nasib buruk orang Islam sekarang disebabkan oleh perbuatan orang Yahudi dan penyokong-penyokong mereka. Kita patut salahkan mereka ini dan kita patut kutukkan mereka. Tetapi kita patut juga periksa diri kita sendiri. Apakah semangat dan ketabahan hati yang terdapat pada Nabi Besar kita dan sahabat-sahabat Baginda ada pada kita.yang penting sekali tidak sanggup berusaha atau berikhtiar untuk menuju ke arah kejayaan. Yang jelas ialah kalau kita lemah, maka kita perlu kuatkan diri kita, jika kita kurang cekap maka kita perlu berlatih untuk menguasai kecekapan, dan jika kita kekurangan ilmu maka kita mengejar ilmu. Ini semua jelas dan dituntut oleh Islam tetapi kita masih asyik berpoya-poya, masih suka mencari alasan dan sebab kenapa kita tidak mungkin buat itu dan ini, masih hendak menyalahkan orang semata-mata. Selagi kita tidak sanggup bertindak secara positif, selama itulah kita akan dipermainkan orang dan ditindas.

7. Memperingati detik-detik sejarah dan pengalaman tidak berguna melainkan ianya menjadi pengajaran kepada kita.Pada awal Muharam ini kita patut ingatkan balik peristiwa penghijrahan supaya kita dapat manfaat dari satu peristiwa dalam sejarah Islam yang penting ini. Awal Muharam bukan untuk berehat dari kerja atau bercuti atau perayaan tetapi adalah untuk kita memperkukuhkan nilai-nilai dan keazaman kita, mempertingkatkan keupayaan kita dalam semua bidang.Jika kita pelajar maka kita perlu belajar dengan bersungguh-sungguh. Jika kita pekerja maka kita perlu kerja dengan jujur dan dedikasi. Jika kita peniaga kita perlu menjaya dan mempertingkatkan perniagaan dan perusahaan kita.Jika kita pemimpin kita perlu menumpukan lebih banyak tenaga dan usaha dalam membentuk satu masyarakat Islam yang dihormati oleh semua pihak. Pendek kata Awal Muharam adalah satu hari untuk memperbaharui azam dan tekad sebagai orang Islam yang committed kepada kebesaran agama Allah SWT dan kesejahteraan penganut-penganutnya.

8. Di Mekah dan di Madinah di zaman Nabi Muhammad s.a.w Islam antara sebab utama Islam berkembang ialah kerana keadilan dan timbangrasa Islam. Kerana ini jugalah Islam dihormati dan disegani. Pada satu haribulan Muharam ini kita perlu ingatkan diri kita bahawa keangkuhan kuasa tidak ada tempat dalam pemerintahan yang berlandaskan Islam. Sementara hak orang Islam kita pelihara, hak orang lain kita jaminkan mengikut ajaran Islam. Dengan ini bukan sahaja Islam akan dihormati tetapi penindasan terhadap orang Islam yang menjadi minoriti di negara lain dapat dikurangkan.

10. Satu haribulan Muharam patutlah dijadikan satu tarikh untuk kita semua merenung dan mengkaji sejarah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. terutama penghijrahan dari Mekah ke Madinah. Dengan ini saya mengucap selamat mencontohi semangat penghijrahan dalam semua perjuangan hidup dan mati kita. Mudah-mudahan kita akan mendapat nikmat daripadanya; Insyaallah.

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu 'alaikum warahmatulahi wabarakatuh.

Al fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain

Pesuruhjaya PAS Perak

Saturday, November 28, 2009

Keikhlasan dalam amalan:Pesuruhjaya Pas Perak

Assalamualaikum wbt

Saya mewakili saf kepimpinan PAS Perak, ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya penduduk negeri Perak Darul Ridzuan.

Marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari semangat pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S beserta anaknya Nabi Ismail A.S dalam meneruskan perjuangan menegakkan perintah ALLAH SWT. Hari Raya Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban yang mengingatkan kita kenangan ribuan tahun sebelum ini, bagaimana Nabi Ibrahim A.S, menunjukkan kepatuhan,ketaatan, pengorbanan dan kesabaran dalam menerima perintah ALLAH SWT.

Atas nama sunah ini maka seluruh umat Islam di pelusuk dunia bagi yang berkemampuan telah menyembelih binatang ternakan sebagai tanda mengikut jejak langkah Nabi Ibrahim A.S. Kisah Nabi Ibrahim A.S baik ketika meninggalkan anak kecil dan isteri yang lelah di tengah padang pasir juga ketika menerima perintah ALLAH SWT menyembelih anak kesayangannya.

Kesemua kisah itu dapat kita simpulkan kepada tiga;Pertama, asasnya adalah ketaatan yang kental kepada ALLAH SWT, Kedua, ‘Millah’ Nabi Ibrahim A.S ialah ALLAH SWT akan memberi hidayah kepadanya kerana semata-mata mentaati ALLAH SWT, Ketiga ialah keikhlasan dalam amalan. ALLAH SWT tidak menerima sesuatu amalan melainkan yang dikerjakan dengan penuh ikhlas dan semata-mata ditujukan kepada-Nya. Oleh sebab itu, penghayatan yang mendalam atas pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S wajar dicerna dalam segenap ruang hidup kita.

Justeru, saya menyeru kepada seluruh umat Islam agar sentiasa membiasakan diri untuk mengamalkan sikap suka berkorban sepanjang masa dari segi wang, tenaga, masa, dan buah fikiran untuk kepentingan Islam itu sendiri.

Semoga kita semua diberi kerahmatan dari ALLAH SWT, dalam mengharungi cabaran dan dugaan ketika hidup diatas muka bumi ini, gunakan lah kesempatan yang ada untuk kita berkorban untuk ALLAH SWT.



Allahu akbar ! Allahu akbar ! Allahu akbar !


Ustaz Abu Bakar Husein.

Monday, November 2, 2009

PESURUHJAYA PAS PERAK : RAKYAT LEBIH MEMAHAMI ISLAM DI BAWAH KERAJAAN PAKATAN RAKYAT.



Melayu dan Islam sememangnya suatu yang sinonim di Malaysia. KeIslaman bangsa Melayu di Tanah Melayu dapat dilihat melalui peristiwa keIslaman Parameswara. Malah, penemuan batu bersurat di Tanah Melayu menunjukkan Islam telah lebih awal sampai di Tanah Melayu.Justeru itu Negeri Perak juga pada suatu ketika dahulu pernah mengamalkan
undang-undang Islam iaitu Undang-undang 99 Perak. Jelas Ustaz Abu Bakar Hussain Pesuruhjaya PAS Perak, Menurut beliau lagi, Islam sebenarnya telah lama bertapak hasil daripada kerja dakwah berterusan para pendakwah Islam di seluruh dunia.

Menurut beliau lagi, PAS ialah gerakan Islam tunggal di Malaysia yang menggerakkan jihad siyasi (politik) dengan menggunakan wadah berpolitik untuk berdakwah. Gerakan memperjuangkan Islam yang tidak pernah putus sejak sebelum merdeka ini, telah didaftarkan secara rasmi menggunakan medium sebuah parti iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengikuti kehendak kerajaan untuk memberikan lebih ruang untuk menggerakkan dakwah Islam di Malaysia. Selain itu Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menyatakan bahawa segala hasil daripada gerak kerja Islam yang dilakukan oleh PAS selama ini, rakyat dapat melihat dan mengenali ajaran Islam yang sebenar yang dianjurkan oleh Islam. Sebaliknya rakyat semakin keliru melihat model Islam yang dianjurkan oleh UMNO dan hasil daripada itu telah menyebabkan rakyat semakin jauh ari memahami Islam yang sebenar. Menurut beliau lagi Hasil daripada dakwah yang dibuat oleh gerakan Islam PAS ini, kita dapat melihat bagaimana bukan sahaja masyarakat Melayu yang dapat memahami kebaikan dan kehebatan Islam, malah masyarakat bukan Melayu yang bukan Islam juga dapat memahami Islam yang sebenar.

Menurutnya lagi, di Perak khususnya, kita dapat melihat bagaimana sepanjang pemerintahan Pakatan Rakyat selama 10 bulan, ADUN PR yang bukan Islam dapat memetik beberapa terjemahan ayat al-Quran yang mana ada di kalangan orang Islam yang belum pernah terfikir menggunakan ayat itu dalam kehidupan. Malah, ada di kalangan ADUN PR yang bukan Islam mampu membaca ayat al-Quran, selain itu kita juga dapat melihat bagaimana kaum bukan Islam semakin memahami ajaran Islam sebenar yang diterjemahkan dalam perjuangan PAS, kaum bukan Islam juga dapat mempelajari sedikit sebanyak ajran-ajaran Islam bahkan jiwa mereka semakin tertarik untuk memahami ajaran islam .

Memetik ucapan beliau ” PAS melihat perkara ini sebagai peluang untuk melebarkan dakwah Islam, yang menjadi asas pergerakan PAS. ”Kita melihat ini perkembangan yang baik buat Islam, dan kita tidak menghalang masyarakat mengenali Islam secara lebih dekat”, katanya.

Mengulas mengenai perjuangan UMNO, Pesuruhjaya PAS Perak itu menyatakan bahawa, masyarakat kini semakin keliru dengan Islam bawaan UMNO. Asas pergerakan yang tidak berpaksikan Islam dan hanya berdasarkan materialistik semata-mata, menyebabkan rakyat semakin tidak berminat kepada Islam. Doktrinasi yang dibawa mereka seperti Islam Hadhari, 1 Malaysia menyebabkan rakyat keliru dan mempersoalkan kredibiliti kepimpinan tertinggi UMNO yang dilihat tidak konsisten kesefahaman di antara seorang pemimpin dengan yang lain. Menurut beliau lagi, masyarakat Melayu yang suatu ketika dahulu kuat pegangan Islamnya, kini semakin ramai yang tidak memahami Islam secara sempurna di bawah pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional, Sebenarnya UMNO hanya mementingkan pembangunan semata-mata tanpa mempedulikan agama lagi,”

Selain itu, beliau juga menyelar kerajaan UMNO dan Barisan Nasional kerana sudah 52 tahun memerintah, tetapi rakyat semakin fobia dengan ajaran Islam. Mereka hanya menggunakan Islam untuk mengekalkan kuasa politik, sedangkan PAS menggunakan kuasa politik untuk mengekalkan Islam”, katanya lagi menerangkan mengenai perbezaan Islam bawaan UMNO dan PAS.
sumber blog Dewan Pemuda Pas Perak

Thursday, September 17, 2009

PERUTUSAN HARI RAYA PESURUHJAYA PAS PERAK:kitalah contoh terbaik.


BAGI pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Perak, saya mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, hari kebesaran kurnia daripada Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa dalam masa sebulan, berjihad dan bermujahadah dengan mengerjakan ibadat dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Ibadat yang melatih kita untuk menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah Taala. Hanya orang yang bertakwa sahaja yang menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dan Allah SWT melakukan nuzul Al-Quran pada bulan Ramadan. Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa.

Dalam masa yang sama, bagi menegakkan petunjuk ini, kita berdepan dengan cabaran. Al-Quran menjadi furqan, yang membezakan di antara hak dan batil, benar dan salah. Dengan petunjuk Al-Quran, kita menegakkan yang benar, menentang perkara yang bercanggah dengan Al-Quran.

Dengan semangat tarbiah melalui Ramadan, menjadikan diri kita orang yang beriman, yang bertakwa, yang kuat, yang sanggup menghadapi cabaran selepas Ramadan dengan mendapat pertolongan daripada Allah SWT, walaupun kita dikelilingi oleh musuh-musuh yang ramai yang tidak akan memberi kesempatan kepada Islam untuk tegak semula di bumi Allah SWT ini.

Dengan takwa dan iman yang yang kuat, kita yakin semua musuh itu adalah kecil apabila kita bersama dengan Allah SWT dan Allah SWT memilih pula di bulan Ramadan berlakunya kemenangan kepada umat Islam.

Dalam peristiwa Badar, Fathul Makkah, Ain Jalut dan penawanan Kota Belgrade di Balkan pada zaman Kerajaan Othmaniah dalam keadaan orang Islam dianggap lemah tetapi hati mereka ikhlas menyumbangkan pengorbanan harta benda dan jiwa raga disertakan dengan iman yang kuat, percaya kepada Allah SWT dan percaya kepada janji Allah SWT, dunia dan akhirat. Berbekalkan perkara-perkarta itu, Allah SWT memberikan kemenangan kepada generasi awal Islam.

Saya yakin dan percaya sekiranya umat Islam di zaman kini melaksanakan contoh dan teladan tersebut, mereka juga akan diberikan kemenangan sekali lagi oleh Allah SWT.

Marilah pada kesempatan ini, kita membaharukan semangat untuk meningkatkan lagi kerja dan amal kita dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT dan meningkatkan pengorbanan kita dalam perjuangan kita untuk meninggikan agama Allah SWT supaya agama ini tegak sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT, dalam Al Quran Karim.

Dalam masa yang sama, pada kesempatan ini, marilah kita menguatkan ukhuwah, persaudaraan di kalangan kita dengan ukhuwah iman dan Islam yang menyatukan umat Islam sehingga mereka tidak ada beza di antara satu sama lain. Mereka adalah satu ummah, laksana satu jasad yang bersambung di antara satu sama lain, sama-sama memikul tanggungjawab, bertolong menolong sama ada yang berkait dengan urusan agama dan dunia.

Dalam masa yang sama, membolehkan kita menyampaikan mesej kita kepada seluruh manusia untuk menyatakan bahawa kitalah yang menyelamatkan manusia yang sebenar di dunia dan di akhirat.

Mudah-mudahan dengan semangat ini, kita berjaya menjadi seorang Islam yang diterima oleh Allah SWT dan merealisasikan apa yang diperintahkan oleh Allah, firman-Nya yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam." (Surah Ali Imran: 102)

Sekian, terima kasih.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillah il-hamd.
Al Fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain
( Pesuruhjaya PAS Perak Darul Ridzuan)