Showing posts with label ucapan YDP. Show all posts
Showing posts with label ucapan YDP. Show all posts

Friday, October 4, 2013

Datuk Rosli Husein setengah jam dengar khutbah Ustaz Nordin Jaafar.



Inilah sebahagian khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Al-fadhil Ustaz Mohd Nordin Jaafar,imam bertugas pada 4 Oktober 2013 di Masjid Jame'Bukit Gantang.Antara jemaah yang mendengar khutbah Jumaat itu ,Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang Datuk Rosli Husein.

SAUDARA JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH!
Anjuran supaya banyak mengingati mati bukan bertujuan melemahkan umat serta meninggalkan terus urusan keduniaan.  Begitu juga galakan supaya mengingati mati bukan bertujuan menyaran umat supaya minta cepat mati.  Islam tidak menyuruh umatnya bercita-cita supaya cepat mati, malah perbuatan sedemikian sangat dilarang.

Sebaliknya, memikirkan tentang kematian merupakan saranan untuk mendorong setiap Muslim mempunyai wawasan hidup duniawi dan ukhrawi yang jelas, mempunyai semangat yang kuat dan beristiqamah menelusuri perjalanan hidup penuh pancaroba dengan sentiasa bergantung harap kepada Allah SWT. Ini kerana kehidupan di dunia ibarat kebun tempat kita bercucuk tanam yang hasilnya akan kita tuai di akhirat nanti. 

Dengan itu, perbuatan mengingati mati diharap mendorong kita sentiasa mempertingkat amal ibadat, sama ada yang fardu mahupun sunat demi memperhambakan diri kepada Allah dengan penuh ikhlas dan istiqamah.

Dengan kata lain, mengingati mati juga akan mendorong kita untuk sentiasa berusaha sedaya upaya menjauhkan diri daripada melakukan dosa atau perkara dilarang Allah SWT. Tindakan ini kita lakukan sebagai menzahirkan rasa takut kepada azab yang Allah sediakan di akhirat nanti untuk orang berdosa.

Tambahan pula, setiap manusia pernah berbuat kesalahan atau dosa dan sebaik-baik amalan orang yang berbuat dosa adalah segera memohon ampun dan bertaubat kepada Allah SWT.Jika tidak segera bertaubat, adalah dikhuatiri matinya sebelum sempat bertaubat. Ini kerana mati itu rahsia Allah. Tiada sesiapa yang tahu bila dan di mana dia akan mati.Maka, kita diperintahkan supaya segera bertaubat sebagaimana firman Allah:
   
Yang bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan (mendapat) syurga yang 
bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” (S. Ali-Imraan: 
133).

SAUDARA JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH!

Sebaik-baik manusia menurut pandangan Islam adalah orang yang panjang umurnya dan baik perbuatannya, sedangkan sejahat-jahat manusia ialah orang yang panjang umurnya tetapi jahat kelakuannya. Bersesuaian dengan ketentuan itu, adalah diharapkan agar setiap Muslim dapat mengambil pengajaran daripada kematian  yang satu persatu dialami oleh orang yang terdahulu sebelum kita. Betapa hidup ini hanya sejenak saja, terlalu sayang untuk disia-siakan dengan perbuatan yang tidak bermanfaat. 

Oleh sebab itu, marilah  kita sama-sama mengisi hidup ini dengan melaksanakan perkara-perkara yang diperintahkan dan diredai Allah SWT, dan pada masa yang sama sentiasa mengingati mati dengan diiringi istighfar dan taubat. Ini adalah usaha memastikan diri mencapai darjat takwa serta mati dalam keadaan Islam sebagaimana dianjurkan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya:

Yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, 
dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." (S. Ali Imraan: 102). 

Petikan Khutbah Jumaat yang disampaikan Ustaz Nordin Jaafar,Imam Masjid Jame'Bukit Gantang,pada 4 Okt  2013 lalu.

Sunday, September 29, 2013

Ustaz Nordin Jaafar:Perjuangan bukan sekadar berlandaskan ijazah


UCAPAN YANG DIPERTUA PAS KAWASAN BUKIT GANTANG 2013

Assalamulaikum warahmatullahi wabarokatuh dan salam sejahtera

الحمد  لله حمدا الحامدين , وحمدا الشاكرين , وحمدا يوافي نعمه ويكافي مزيده , يا ربنا لك الحمد كما ينبغي لجلال وجھك وعظيم سلطانك . 
أشھد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له , له الملك وله الحمد وھو على كل شيء قدير . وأشھد أن محمدا عبده ورسوله , البدر الدجى والسراج المنير .
اللھم وصل وسلم وبارك على محمد أشرف الأنبياء والمرسلين , وعلى آله وصحبه أجمعين , ومن سار على نهجه الى يوم الدين. 



Saya ucapkan ahlan wa sahlan wa marhaban bi kum, selamat datang dan selamat bermesyuarat, kepada semua para perwakilan, pemerhati dan tetamu yang memeriahkan Mesyuarat Agong  Tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kawasan Bukit Gantang kali ke 46 pada tahun ini.

Marilah dengan penuh yakin kita memohon kepada Allah SWT akan keberkatan dan fadilat, serta pahala yang berlipat ganda daripada kelebihan ribat fi sabilillah, kerana keyakinan terhadap dasar dan matlamat perjuangan kita.

Firman Allah SWT

{Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka tidak ragu (dalam keimanan itu) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka serta diri mereka pada jalan Allah. Merekalah orang-orang yang benar (dalam menghayati keimanan/aqidah)}

(al-Hujurat : 15)

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Ayat di atas memperlihatkan kepada kita bahawa keimanan menghasilkan keyakinan kepada Allah dan Rasul serta mencetuskan jihad dan perjuangan dalam kehidupan seseorang yang beriman itu. 

Orang yang tinggi imannya mempunyai kesanggupan dan kesungguhan untuk berjuang atas nama jhad dengan tahap kesungguhan yang tinggi kerana mempunyai keyakinan bahawa segala pengorbanan yang dilakukan akan dibalas dengan ganjaran yang amat besar di akhirat nanti.

​Banyak orang yang boleh bercakap tentang perjuangan dan kewajipan berjemaah tetapi hakikatnya tidak banyak yang sanggup menempuh pelbagai halangan dan cabaran dalam mengharungi cabaran yang dihadapi oleh jemaah. 

Perjuangan bukan sekadar berlandaskan ijazah atau kelulusan yang tinggi tetapi perlu disertakan dengan keyakinan, kesanggupan, ketahanan, kesungguhan, kepatuhan, ketaatan, keikhlasan dan pelbagai lagi resepi yang perlu dimiliki oleh pejuang.          

Firman Allah SWT:

Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?"

 Mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!" (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.
(as-Saff 14) 

 Para hadirin dan hadirat sekalian,

Berdasarkan keterangan di atas, kita seharusnya amat bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dipilih untuk berada dalam jemaah PAS yang secara prinsip dan pelaksanaannya adalah untuk berjuang dan menegakkan agama Allah di bumi Malaysia yang kita cintai ini. 

Keberadaan kita dalam perjuangan suci ini perlu dihayati dan diterjemahkan dalam bentuk perlakuan dan tindakan kita. 

Kita perlu memastikan kefahaman dan penghayatan kita terhadap perjuangan ini sentiasa ditingkatkan melalui peningkatan ilmu dan pengetahuan.

 Pendukung PAS semestinya sentiasa kasih dan cinta akan ilmu agama dan sentiasa berusaha untuk mendalami pengetahuan mereka kerana dengan adanya kefahaman dan pengetahuan, segala tindak-tanduk yang diambil akan berdasarkan panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui ktab suci-Nya Al-Quran Nur Karim.

Selain itu, pejuang PAS juga perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti kerja dan sumbangan kita kepada perjuangan PAS dalam apa juga kedudukan dan keadaan. 

Kita seharusnya sentiasa membuat koreksi diri untuk menilai tahap dan kualiti sumbangan kita untuk menguatkan PAS di semua peringkat yang kita diamanahkan. 

Refleksi diri yang kita lakukan akan memberi kesan positif kepada kualiti amalan kita dan secara tidak langsung akan membina kekuatan dan keupayaan PAS untuk berhadapan dengan cabaran yang berada di luar. 

Kita perlu faham dan sedar bahawa segala kerja keras dan kesungguhan yang kita lakukan adalah untuk bekalan kita sendiri apabila berhadapan dengan Maha Pencipta. 
Refleksi dan koreksi diri ini akan mengurangkan sikap negatif yang sentiasa melihat dan mencari kelemahan orang lain tetapi akan menerima kelemahan dan kekurangan rakan sebagai suatu proses lengkap-melengkapi.

Perkara paling penting sebagai pejuang ialah keikhlasan dan keupayaan kita meletakkan segala penat lelah dan pengorbanan kita dalam perjuangan hanya sesungguhnya kerana Allah SWT. 
Kita perlu sentiasa dalam keadaan sedar untuk menilai bahawa landasan yang kita pilih merupakan laluan yang betul dan tidak tidak terbabas daripada tujuan dan matlamat asalnya. Amatlah malang sekiranya segala cabaran dan susah payah kita dalam perjuangan ini tidak dapat kita persembahkan kepada Allah SWT hanya semata-mata kerana hilangnya keikhlasan kita dalam perjuangan suci ini. 

Aspek populariti, keagungan, kehebatan dan kelebihan yang dianugerahkan kepada kita sekiranya tidak diatur dengan baik akan menegelamkan kita ke jurang kebinasaan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan tahniah, syabas dan terima kasih kepada semua jentera pilihan raya di semua peringkat kerana telah berjaya mempertahankan kemenangan kita di Parlimen Bukit Gantang, DUN Changkat Jering dan DUN Kuala Sapetang. Namun Allah SWT masih menangguh kemenangan kita di DUN Trong.

Kejayaan yang diraih ini merupakan kejayaan kita bersama-sama. Kejayaan ini hasil daripada keikhlasan semua jentera yang bekerja dengan penuh sistematik dan berstrategi di samping doa dan munajat. 

Hal ini kerana kerja-kerja pilihan raya merupakan suatu seni yang memerlukan kepakaran dan kemahiran yang tinggi untuk mengatur strategi bagi mengalahkan musuh yang juga dilatih dan dibentuk oleh tenaga pakar mereka.

 Malah dengan keupayaan kewangan dan kuasa yang ada, sudah tentu mereka jauh lebih berkemampuan untuk mendapatkan khidmat pakar dari dalam dan luar negara. 

Namun yakinlah bahawa Allah SWT akan bersama-sama dengan perjuangan yang berteraskan perintah-Nya asal sahaja kita memenuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan dalam perjuangan agama Allah SWT ini. Penangguhan kemenangan juga merupakan hikmah yang Allah SWT berikan kepada kita bagi membuka lebih ruang dan peluang untuk kita bekerja. 

Kekalahan ini perlu diterima dengan berlapang dada tetapi perlu mencari jalan untuk meningkat keupayaan kita dan mengurangkan kelemahan kita agar tiada ruang dibuka untuk membolehkan musuh mengekalkan kemenangan mereka. Paling penting diharapkan semua kita ada saham yang dilaburkan dalam PRU-13 lalu.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Dunia Islam hari ni dikejutkan dengan peristiwa rampasan kuasa di Mesir dan kekejaman yang dilakukan oleh Barsha As Saad di Libya. Kekejaman dan keganasan ini menunjukkan bahawa musuh Islam tidak pernah redha untuk melihat kejayaan yang dimiliki oleh perjuangan yang berlandaskan Islam.

Selain peristiwa di atas, pembongkaran tentang Syiah terutama di negara ini pelu ditangani dengan baik. Sebagai pejuang PAS yang berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita perlu memastikan tiada unsur luar menyerap masuk ke dalam jemaah kita. Kepatuhan kita hanya kepada ketetapan yang telah diputuskan dalam PAS.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Dalam kesempatan ini saya memohon daripada semua untuk meneruskan kerja kita terutamanya untuk mengisi kemenangan yang dianugerah oleh Allah SWT. 

Kemenangan bukan sekadar kayu ukur untuk menilai kekuatan dan kelemahan musuh tetapi suatu amanah yang perlu ditanggung oleh kita. Kemenangan yang tidak dipenuhi dengan tanggungjawab akan mengundang kita ke jurang kehancuran pada masa depan. 

Lantaran itu, mengisi kemenangan di Parlimen Bukit Gantang merupakan tanggungjawab kita bersama agar kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada kita dalam PRU ke-13 merupakan suatu pelaburan yang berbaloi. 

Jawatan wakil rakyat bukan jawatan eksekutif tetapi merupakan institusi yang dianggotai oleh semua dalam kalangan kita.

Saya juga ingin menyeru kepada Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat yang merupakan sayap kepada pentadbiran PAS Kawasan agar dapat bergerak sederap dan seiring dengan pimpinan PAS Kawasan menuju matlamat dan tujuan yang sama.

Generasi muda adalah harapan umat menjadi pewaris kesinambungan perjuangan dan tenaga terpenting, mereka juga menjadi sasaran musuh. UMNO/BN lebih suka kalau generasi ini dalam kedaan leka, jahil, miskin dan menganggur, supaya mudah menjadi penyokong mereka, sekurang-kurangnya sekadar menjadi tukang sorak walau pun kampung tergadai.

Oleh itu, Dewan Pemuda perlu sentiasa proaktif sesuai dengan
keanggotaannya. Dewan Pemuda perlu mempunyai aspirasi untuk memimpin dan memandu sebahagian besar anak muda di luar yang masih lagi hanyut dibuai dengan keseronokan dunia yang menjerat mereka. 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Golongan wanita lebih mudah menjadi mangsa media yang datang dan masuk ke rumah mempengaruhi keluarga, mereka adalah benteng di rumah dan tenaga penting di luar rumah bersama masyarakat. 

Kepada Dewan Muslimat pula yang terkenal dengan kecekalan dan ketabahan menghadapi segala liku perjuangan ini ,perlu mengorak lebih jauh untuk memenuhi kehendak wanita di luar yang sebahagian besarnya masih lagi buta dari hakikat kebenaran. Selama ini pun Dewan Muslimat telah turun ke rumah pengundi sasaran, dengan penuh menghadapi cabaran yang tidak pernah dihadapi oleh muslimin.
Saya menaruh keyakinan dengan keupayaan kedua-dua Dewan ini untuk memenuhi hasrat tersebut.

Kita juga amat berbangga kerana mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS Kawasan Bukit Gantang yang sentiasa bersama-sama kita sama ada ketika kita susah ataupun senang. Persepakatan yang dijalin merupakan suatu anugerah yang Allah SWT berikan kepada kita untuk hidup dalam suasana harmoni dan aman. 

Sebagai sayap parti yang baharu, DHPP perlu terus berusaha meningkatkan kefahaman masyarakat bukan Islam tentang perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat yang akan membawa kehidupan rakyat lebih selesa dengan pemerintahan yang adil dan amanah. Hidup rakyat akan lebih terbela dan masa depan anak-anak kita lebih terjamin.

 Para hadirin dan hadirat sekalian,

Mesyuarat Agong ini dilangsungkan bersama pemilihan kepimpanan tertinggi parti, maka seluruh perwakilan hendaklah meletakkan perkara kepimpinan di atas tanggungjawab amanah yang besar dalam ajaran Islam, yang menjadi dasar dan matlamat perjuangan kita.

Maka hendaklah berpandukan kepada amanah yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW :

  "يا عبد الرحمن بن سمرة، لا تسأل الإمارة، فإنك إن أوتيتها عن مسألة وكِّلت إليها، وإن أوتيتها عن غير مسألة أُعِنْتَ عليها. 

Wahai Abdul Rahman bin Samurah !, jangan sekali-kali meminta jawatan menjadi ketua (pemimpin) . Maka sesungguhnya jika sekiranya kamu diberi jawatan dengan memintanya nescaya dibiarkan memikulnya (tanpa pertolongan Allah), sekiranya diberi jawatan itu tanpa memintanya nescaya kamu diberi pertolongan melaksanakannya. 


إَِّنا والله لا ُنَولِّي َعلَى َھَذا العمل احدا َسأَلَُه َوَلاأََحًدا َحَر َص َعلَْيِه

Sesungguhnya kami, demi Allah tidak melantik memegang jawatan dalam melaksanakan tugas ini ,kepada seseorang apabila dia memintanya dan tidak juga kepada seseorang terlalu ingin menjawatnya.

 Para hadirin dan hadirat sekalian,

Pemilihan dalam Islam mempunyai nilai moral keluhuran dan kemuliaan yang tersendiri, bukan sahaja kelayakan pemimpin yang berteraskan Islam dari aspek iman, akhlak, ilmu, pengalaman dan pengaruh, kemampuan melaksanakan amanah, komited dengan gerakerja, termasuklah cara penonjolan yang berakhlak. 

Ingatlah bahawa kita memimpin bukan untuk menjadi popular, atau supaya digelar orang sebagai pahlawan, tetapi adalah untuk melaksanakan amanah Allah SWT, kerana amanah khilafah ini tidak akan surut hinggalah ke hari kiamat.

Inilah pendekatan yang dihayati oleh PAS di sepanjang jalan, sehingga kita mampu menghadapi ranjau dan gelombang perjuangan yang suci ini. 
Maka tunaikan amanah ini dengan cara dan sifat Islam yang kita junjung selama ini, supaya PAS terus menjadi bahtera penyelamat di dunia dan akhirat.
Akhirnya, saya sekali lagi bagi pihak PAS Kawasan Bukit Gantang mengambil kesempatan merakamkan jutaan terima kasih kepada para dermawan yang sudi menyumbangkan derma bagi menjayakan aktiviti kita sepanjang tahun ini. 
Kepada tetamu yang hadir pada pagi ini dan para perwakilan serta pemerhati, saya merakamkan ucapan terima kasih.  
Sebelum saya mengundur diri marilah kita hayati firman Allah ini:

ان الله يحب الذين يقاتلون في سبيله صفا   كانه بنيان مرصوص.
 Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berjuang dijalanNya dalam saf yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh (daripada bata yang disusun dengan rapi dan diikat dengan teguh)

Sekian, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.

MOHD NORDIN B. JAAFAR
Yang Dipertua
PAS Kawasan Bukit Gantang

Monday, September 23, 2013

Pertandingan jalan meraih pahala- Ustaz Nordin Jaafar.



Saya ingin mulakan ucapan ini dengan mengingatkan kita semua bahawa perjuangan kita Parti Islam Semalaysia (PAS) ini merupakan satu ibadah di medan siasah dan dakwah pasti akan diganjari oleh Allah SWT dengan kebaikan insya-allah. Perlulah diingatkan PAS adalah Gerakan Islam yang menyertai pilihanraya dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Biarpun ruang demokrasi itu kian sempit namun perjuangan untuk membebaskan umat Islam dari kepungan jahiliyah moden ini berpndukan syara' mesti diteruskan walau dengan apa cara sekalipun.

Saya mengajak seluruh pimpinan pemuda pas Bukit Gantang supaya berlapang dada dengan teguran dan kritikan yang mungkin akan bergema sepanjang mesyuarat ini, kerana saya penuh percaya tidak ada perwakilan yang menegur kerana cemburu atau dengki, melainkan kerana keikhlasan mereka ingin melihat Dewan Pemuda Pas Bukit Gantang dan qqgerakan Islam PAS ini bangun dan berdiri untuk memenuhi aspirasi mengejar keredhaan Allah SWT. Ahli-ahli juga, dalam membuat teguran dan kritikan, gunakanlah cara yang paling berhikmah dan ’mauizatul hasanah’ supaya pandangan saudara semua diterima tanpa ada yang terluka. Saya memperakui bahawa mesyuarat ini adalah medan terbaik untuk tuan2 bermuhasabah dan menjadikan ia satu forum tarbiyyah operasional dan pemikiran. Marilah Sama- sama kita manfaatkan mesyuarat agong  ini untuk membolehkan Dewan Pemuda PAS Bukit Gantang terus melangkah gagah dalam arena jihad ini.

Para Muktamirin sekalian, Allah SWT berfirman:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ 

تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ  كُنْتُمْ تَعْلَمُون
     
                                                                            

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan satu perniagaan yang boleh menyelamatkanmu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang menegakkan agama Allah dengan hartabenda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; serta ditempatkan kamu di tempat- tempat tinggal yang baik dalam Syurga 'Adn. Itulah kemenangan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang kamu sukai iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman."
(Surah As-Saff: Ayat 10-13)

PAS  pernah bangun, bangkit dan berada di puncak kejayaan, kita juga pernah rebah, jatuh dan tersungkur dalam meniti perjuangan. Tersungkur kita mencium pasir, terlentang kita minum embun, tetapi direndam kita tidak reput, dibakar kita tidak hangus, patah sayap kita bertongkatkan paruh, namun mengalah sama sekali tidak. Kita mewarisi jiwa perjuangan kepemudaan yang dirintis oleh tokoh- tokoh yang dahulunya mereka bangkit menyatakan kebenaran dan menolak kezaliman. Allah SWT telah merakamkan bagaimana pemuda Ashabul Kahfi yang mempertahankan iman dan kebenaran, sanggup menegaskan tauhid di hadapan pemerintah yang menjuarai kezalim. Firman Allah SWT,

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣﴾ وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا 

رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَـٰهًا ۖ لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا ﴿١٤﴾

"Kami kisahkan kepadamu (wahai Muhammad SAW) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu adalah pemuda- pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami teguhkan hati (dengan kesabaran dan keberanian) semasa mereka bangun (menegaskan tauhid di hadapan pemerintah yang zalim) lalu berkata, "Tuhan kami adalah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi; kami sekali- kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran."(Surah Al-Kahfi: Ayat 13-14)


Kita juga ditunjukkan bagaimana pemuda Ashabul Ukhdud sanggup menggadaikan kepentingan dunia, bahkan nyawa semata-mata kerana mahu orang lain mengimani ketuhanan Allah SWT. Dan akhirnya mereka yang dibakar dalam parit api ini diisytihar oleh Allah SWT sebagai,

ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْكَبِيرُ 
”Itulah kemenangan yang besar”.(Surah Al-Buruj: Ayat 11)

Allah SWT telah menggariskan satu panduan yang amat bermakna kepada   pemuda-pemuda yang beriman bahawa orang yang berusaha untuk memastikan hanya Allah SWT sahaja yang berhak disembah, kemudian mereka berusaha melaksanakan syariat Allah SWT serta membina sistem sosial berasaskan akhlak Islam, jika mereka gagal memperolehi sebarang habuan dunia, pasti mereka bakal beroleh kemenangan terbesar disisi Allah SWT. Kita hanya ada dua pilihan dalam perjuangan, sama ada menang atau syahid! Tetapi apalah ertinya kita memperoleh kemenangan di dunia tetapi gagal memastikan kita mendapat keredhaan Allah SWT. Kejayaan kita memenangi kerusi yang banyak atau memperoleh majoriti yang tinggi dalam pilihan raya, tidak mempunyai nilai disisi Allah SWT jika kita gagal mempertahankan dasar aqidah kita, sekali gus kita mengabaikan tujuan sebenar kita untuk menegakkan di dalam negara ini "sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah."

Kita tentu berasa hairan yang amat sangat apabila Allah SWT memproklamasikan bahawa orang-orang yang mati dibakar dalam tragedi 'parit berisi api' itu sebagai mencapai kemenangan yang besar, kerana kita sering berfikir bahawa kemenangan yang besar itu ialah mendapat habuan kekuasaan dan kekayaan di dunia. Sebenarnya, mereka dianggap 'menang besar' oleh Allah SWT adalah lantaran mereka berjaya mempertahankan iman daripada godaan kuasa dan harta dunia. Marilah kita renungkan pesanan Allah SWT kepada kita,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّـهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ ﴿٩﴾

"Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) hartabenda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang berbuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi." (Surah al-Munafiqun: Ayat 9)

Saya mengajak para muktamirin sekalian supaya tidak leka dengan limpahan nikmat Allah SWT, kerana saya bimbang jika kita alpa, nikmat ini akan bertukar menjadi bala.

Saya mengingatkan diri saya dan pemuda2 sekelian ,supaya mempelajari pengalaman Jaafar bin Abi Talib di Habsyah dan Rubaie bin Umair di Parsi ketika membawa misi politik dan dakwah. Sebagai diplomat yang pintar, mereka bukan sahaja tidak menggadai dasar perjuangan tetapi langsung tidak tersilau oleh tawaran-tawaran keduniaan yang disogokkan. Inilah contoh terbaik yang harus kita jadikan rujukan dalam kita mewakili kepentingan Islam ketika berdialog dengan mana-mana pihak supaya kepentingan kita terjamin dan jerat musuh tidak mengena. Sesiapa yang bertindak bagi pihak PAS dalam misi dakwah dan politik seperi ini hendaklah mestilah mengutamakan kepentingan parti, bukannya kepentingan peribadi. Saya percaya bahawa pimpinan PAS telah melakukan yang terbaik untuk kepentingan jamaah, dan kerana itu saya menyeru pemda-pemuda PAS supaya terus memberikan wala’ dan thiqah mereka tanpa berbelah-bahagi. Yakinlah, hanya dengan kepercayaan yang penuh daripada ahli-ahli dan kejujuran pimpinan akan dapat memperteguh kemenangan ini.

Kita baru sahaja menyambut ulang tahun ke 56 kemerdekaan negara. Rakyat umumnya mengetahui bagaimana kemerdekaan kita ini diperjuangkan dengan keringat, airmata dan darah perwira-perwira negara. Kita membangun setapak demi setapak sehingga apa yang kita telah capai pada hari ini. Sebagai generasi muda satu persoalan yang amat penting ialah bagaimana kita akan menghadapi cabaran mengisi 56 tahun telah di capai.

Dalam proses pembinaan negara bangsa (Nation Building) pengelibatan generasi muda amat penting dan bermakna. Golongan muda bukan hanya bakal mewarasi tanahair mereka malah akan menentukan masa depan bangsa dan negara.

Generasi muda sepatutnya bukan hanya disogok dengan pembangunan tetapi mesti dilibat sama dalam merancang, mengatur dan membangunkan negara sehingga mereka berupaya menjadi peneraju dunia. Isunya sekarang apakah suasana, sistem dan budaya yang ada hari ini menghasilkan generasi pelapis yang berwibawa.

Pegangan hidup yang kukuh berteraskan agama, membina jatidiri, kebijaksanaan dalam meneraju kehidupan, meliliki kezaman politik dan kuasa politik, menegakkan perpaduan dan memperjuangkan kebebasan dan ketenteraman mestilah menjadi visi yang jelas kepada generasi muda yang bertanggungjawab kepada negara.

Terima kasih saya ucapkan kepada Dewan Pemuda yang merupakan salah satu sayap Pas Bukit Gantang 

Akhir kata, saya berharap agar muktamar pada kali ini dapat berjalan dengan lancar dan membuahkan hasil yang terbaik untuk perjuangan PAS. Saya juga dimaklumkan bahawa akan berlaku pertandingan untuk jawatan-jawatan utama di dalam Dewan Pemuda pada kali ini. Harapan saya agar pertandingan berlaku secara adik beradik dan penuh harmoni dan semangat ukhuwwah. Bagi saya, pertandingan sebagai jalan meraih pahala dan rahmat Allah SWT. Semoga para perwakilan dapat membuat pilihan yang paling tepat untuk memilih  pemimpin yang dapat menjalankan amanah sebaik yang mungkin di dalam mengemudi Dewan Pemuda PAS Pusat ini terus maju ke hadapan dalam arena politik tanah air.

Demikianlah amanah yang dapat saya sampaikan di dalam majlis ini. Saya berdoa agar kita semua dapat mengambil manfaat daripada apa yang telah saya sampaikan. Apa yang paling penting, ikhlaskanlah usaha kita kerana Allah. Semoga setiap usaha yang kita lakukan kesemuanya dikira amalan yang baik dan menndapat ganjaran di sisi Allah SWT. Saya sudahi dengan :

أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
teks ucapan YDP Bukit Gantang semasa berucap di Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Bukit Gantang.

Sunday, May 1, 2011

Pas wajib tegakkan keadilan untuk semua.



UCAPAN YANG DIPERTUA PAS KAWASAN BUKIT GANTANG 2011

السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka Dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding Dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela agamanya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepada-Nya. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka Sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, Iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah Engkau berdukacita, Sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah Yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

(Al-Taubah:38-41)

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Alhamdulillah, marilah kita menyusun jari sepuluh menadah tangan bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izin dan inayah-Nya dapat kita berkumpul pada pagi yang hening ini bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pendukung jemaah Islam dalam satu pertemuan persaudaraan untuk membentuk dan membina kekuatan serta jati diri bagi memartabatkan daulah Islamiah di bumi Malaysia khususnya di Kawasan Bukit Gantang. Marilah kita menyatakan kesyukuran kepada Allah SWT, dengan limpah kurnia-Nya, kita semua terus beristiqamah dengan perjuangan yang kita imani kesuciannya, dalam wadah Parti Islam Se-Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Berdasarkan firman Allah SWT yang saya bacakan sebentar tadi jelas menunjukkan bahawa penganut agama Islam yang sebenarnya ialah mereka yang sedia berangkat dan keluar berjuang untuk menegakkan cita-cita Islam dalam segala dimensinya yang mungkin. Mereka tidak dihalang oleh kesempitan hidup atau dilalaikan oleh kesenangan kebendaan. Mereka rela berkorban apa sahaja demi Allah dan Rasul. Mereka sedar bahawa jika mereka tidak bingkas berjuang keimanan mereka akan dipersoalkan oleh Allah dan amalan mereka menjadi sia-sia.

Pada zaman Rasulullah dahulu, orang yang enggan berjihad dan enggan pergi berhijrah bersama Rasulullah dihukum dengan hukuman yang berat. Golongan mukmin pada zaman dahulu yang telah mengaku beriman tetapi enggan ikut serta berjuang mendaulatkan Islam telah dihukum sebagai munafik dan kufur oleh Allah. Allah melarang Nabi mendoakan mereka dengan berdiri di tepi kubur mereka, Allah melarang Nabi menyembahyangkan jenazah mereka. Perkara ini kerana perbuatan tidak ikut serta berjuang menegakkan kedaulatan Islam sebagai suatu dosa besar yang menghapuskan kekuasaan dan kemegahan Islam.

Hal ini bermaksud apabila kita telah mengaku sebagai Muslim bermakna kita mesti ikut serta berusaha mengukuhkan gerakan Islam , meramaikan bilangan dalam gerakan Islam agar kita berjaya di dunia dan di akhirat.

Justeru, kita sebagai pendukung jemaah Islam PAS, sewajarnya bersyukur kerana dipilih oleh Allah SWT berada dalam perjuangan yang disarankan oleh Rasulullah SAW. PAS secara jelas merupakan sebuah Harakah Islamiah yang asas penubuhannya dinyatakan dalam perlembagaan Fasal 5 bertujuan untuk “memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Islam” serta “ mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara”. Tujuan PAS ini jelas amat sinonim dengan kehendak Rasulullah SAW sebagai sebuah Harakah Islamiah. Penglibatan PAS dalam harakah Islamiyyah juga mewajibkan kita untuk meneruskan ukhuwah dengan semua kumpulan Islam dengan penuh tasamuh, sehingga PAS terus diterima menjadi satu sahaja parti yang berwadah Islam yang syumul berada dalam gelanggang politik dalam negara kita ini. Inilah yang mewajibkan semua kumpulan Islam berada dalam saf perjuangan Islam bersama PAS. Ukhuwah yang dibina ini pula, wajar untuk digerakkan ke arah melaksanakan tanggungjawab ‘amal Islami yang syumul di segenap pelosok negara.

Namun sebagai mana yang kita ketahui, dalam keadaan negara ini yang dijajah oleh kolonial Inggeris ratusan tahun lamanya dan diwarisi tampuk pemerintahan oleh umat Islam yang berkiblatkan pemikiran dan nafsu penjajah, sudah tentulah kefahaman dan kesedaran umat Islam tentang kepentingan berada dan berjuang dalam perjuangan Islam amat kritikal. Malah ada sebahagian daripada umat Islam hari ini walaupun telah mendapat pendidikan dalam bidang keagamaan amat berat untuk berada bersama-sama kita mengharungi pelbagai kepayahan untuk menegakkan Islam di bumi Malaysia ini. Jadi, inilah tugas besar yang harus dimainkan oleh setiap ahli PAS untuk memasarkan PAS di tengah-tengah masyarakat dengan tawaran yang boleh memikat hati orang di luar PAS untuk bersama-sama dengan PAS. Kita mesti menunjukkan kepada masyarakat bahawa PAS memang sebenar-benarnya berjuang untuk Islam dan dengan memilih PAS sebagai wadah perjuangan, hasrat untuk mendaulat sebuah negara Islam akan tercapai, seterusnya semua ahli masyarakat akan hidup aman dan bahagia di bawah keadilan yang dibawa oleh Islam tanpa mengira kaum dan kepercayaan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Perkara ini menjadi satu cabaran kepada kita pendukung perjuangan Islam untuk memastikan hasrat menegakkan daulah Islamiah terlaksana. Kita mesti mempersiapkan diri dan jemaah dengan kekuatan yang lebih hebat lagi, agar digeruni oleh musuh dan seterusnya merealisasikan perintah Allah SWT yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Saya ingin memetik kata-kata Al-syahid Imam Hasan Al Banna tentang persiapan Harakah Islamiah iaitu:

“Persediaan kita adalah persediaan orang-orang yang terdahulu dari kita dan senjata yang digunakan oleh pemimpin besar kita dan ikutan kita, Rasulullah SAW dan para sahabatnya dalam memerangi alam ini dengan bilangan yang kecil dan harta kekayaan yang sedikit tetapi dengan pengorbanan yang besar. Itulah yang akan menjadi senjata kita untuk memerangi alam ini sekali lagi”.

Berdasarkan kata-kata oleh Al-syahid Imam Hasan Al Banna di atas, jelas menunjukkan bahawa dalam usaha menegakkan Islam, kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT tidak terletak kepada kehebatan jemaah berdasarkan bilangan ahlinya sahaja ataupun dana yang berjuta-juta tetapi kesemuanya itu mestilah diiringi oleh keikhlasan ahli jemaah untuk berkorban sama ada dari segi tenaga dan wang ringgit.

Selain itu, sebagai pendukung jemaah Islam kita juga perlu memenuhi ciri-ciri sebagai Muslim yang sejati. Para pejuang mesti mempunyai akidah yang mantap. Para pejuang mesti meningkatkan mutu dan nilai tambah dalam melakukan ibadah dari semasa ke semasa. Para pejuang juga perlu mempunyai akhlak yang mulia dan sentiasa disegani oleh rakan dan lawan. Para pejuang juga perlu membina sebuah keluarga yang memenuhi ketetapan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam. Adalah menjadi kesalahan yang besar apabila kita yang bercakap tentang perjuangan Islam tetapi masih gagal melaksanakan perkara-perkara yang menjadi kewajipan kepada kita. Amalan solat terutama solat berjemaah mesti sentiasa kita pelihara walaupun dalam keadaan yang sibuk bekerja terutama ketika menghadapi pilihan raya. Amalan ibadah malam, bermunajat kepada Allah mesti diterapkan dalam kehidupan para pejuang kerana inilah kekuatan dalaman yang perlu ada kepada setiap ahli PAS untuk berhadapan dengan musuh. Di samping itu kita juga perlu memelihara akhlak kita dari fitnah musuh. Jangan ada di antara kita dilabel sebagai kaki belit atau pemiutang tegar yang tentu sahaja mengaibkan jemaah dan merencatkan usaha dakwah kita.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Hari ini pelbagai krisis dan masalah timbul dalam masyarakat di negara ini adalah berlaku akibat dari kegagalan dasar dan cara hidup dengan pendekatan ciptaan manusia yang mengandungi pelbagai kelemahan. Isu pembuangan bayi, mat rempit, rasuah dan pelbagai lagi masalah gagal diatasi walaupun kerajaan telah membelanjakan berbilion-bilion ringgit. Bukti ini jelas menunjukkan bahawa Islam yang kita anuti sebenarnya telah menawarkan pakej penyelesaian masalah yang cukup efisien. Islam akan memberi keadilan dan kesejahteraan kepada semua umat manusia. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 8:

Wahai orang-orang Yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan.

PAS wajib menegakkan keadilan untuk semua tanpa mengira batas agama dan kaum, kerana Islam dalam cara hidupnya adalah untuk seluruh manusia sejagat. Lihatlah bagaimana keperibadian pimpinan Rasulullah SAW dan generasi kegemilangan Islam yang mencipta tamadun untuk seluruh umat manusia, bermula dengan membina modal insan dengan memenuhi ciri-ciri fitrah manusia secara menyeluruh, bukan sahaja berpegang dengan Al-Quran dan Al-Sunah yang tidak boleh dipertikaikan, tetapi dalam masa yang sama melaksanakan perintah Allah dan Rasul Nya supaya menerima kebijaksanaan ciptaan akal manusia yang datang dari seluruh pelosok dunia tanpa mengira dari mana puncanya. Islam mengajar orang yang beriman, bukan sahaja menerima yang terbaik daripada Al-Quran dan Sunah, tetapi juga menerima pandangan manusia. Hal ini di huraikan lagi oleh sabda Rasulullah SAW :



(Kebijaksanaan itu laksana barang berharga yang jatuh tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, di mana sahaja dia menemuinya, maka dialah yang berhak memungutnya)

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Kebencian rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional kini kian meningkat. Rakyat sudah semakin bosan dengan corak pemerintahan yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional yang rasuah, pilih kasih, membazir dan pelbagai pengkhianatan yang dilakukan kepada rakyat. Memetik kata-kata Tuan Guru Mursyidul Am ketika merasmikan Muktamar Dewan-dewan yang lalu, beliau menyeru agar kita hendaklah berani menawarkan alternatif dan sedia berikrar kepada semua rakyat termasuk Cina, India, Siam dan seumpamanya bahawa kita akan membuang semua unsur-unsur kerosakan yang ada di dalam kerajaan Umno pada hari ini dan menggantikannya dengan amalan pentadbiran bersifat good governence iaitu berintegriti, adil, bermoral, cekap, telus, dan bertanggungjawab. Semua ini memang terkandung ajaran Islam, dan itulah kelebihan kita bergerak di atas landasan Islam yang diturunkan daripada Allah SWT.

Prestasi yang memberangsangkan dalam pilihan raya Negeri Sarawak baru-baru ini membuktikan bahawa populariti Barisan Nasional semakin menurun. Kesempatan ini perlu diambil oleh kita sebaik mungkin. Gabungan PAS melalui Pakatan Rakyat perlu dieratkan dan digembeleng secara maksimum oleh setiap parti dalam Pakatan Rakyat khususnya di Parlimen Bukit Gantang. Kita perlu memastikan kerusi yang kita menangi dalam Pilihan raya Umum ke-12 lalu akan terus kekal berada di pihak kita di samping menawan kerusi yang masih gagal kita menangi iaitu di DUN Trong.

Calar yang menghantui kita akibat peristiwa pengkhianatan Osman Jailu sehingga meruntuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan YB Dato’ Seri Nizar perlu dibaluti dan diubati. Kita mesti memastikan kerusi N14 akan diwakili kembali oleh wakil dari Pakatan Rakyat. Kehendak dan kemahuan pemilih DUN Changkat Jering perlu dikaji agar tawaran yang kita berikan nanti memenuhi hasrat dan selera mereka. Kekecewaan pemilih akibat pengkhianatan tersebut perlu dirawat dengan ubat yang paling mujarab.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Dalam usaha kita bekerja untuk memenangi kerusi yang kita tandingi khususnya di Bukit Gantang, cabaran utama yang perlu kita sedari ialah usaha menawan hati pengundi Melayu. Dapatan daripada siri pilihan raya kecil yang ditandingi oleh PAS atau Pakatan Rakyat menunjukkan bahawa terdapat penurunan sokongan orang-orang Melayu kepada Pakatan Rakyat berbanding dengan kaum lain terutamanya kaum Tionghoa. Perkara ini perlu diteliti dan dipandang serius oleh semua pendukung PAS termasuk Dewan-dewan dengan mengatur pelan strategik untuk menawan hati pengundi Melayu. Ramuan dan resipi perlu diadun sebaik mungkin bersesuaian dengan cita rasa dan kehendak orang Melayu asal sahaja tidak bercanggah dengan kehendak syarak. Di Kelantan umpamanya formula yang diguna pakai oleh Tok Guru Mursyidul Am ialah mendidik jiwa rakyat dengan agama, suburkan sanubari mereka dengan takwa kepada Allah agar hati mereka tidak mati, tidak keras untuk menerima siraman hujan kebenaran.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada pimpinan baharu Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat di samping amat berterima kasih kepada pimpinan lalu yang telah menunaikan tanggungjawab dengan baik. Saya menaruh keyakinan yang tinggi bahawa pimpinan yang baharu dilantik akan mampu memegang amanah untuk memacu jentera menuju kemenangan berteraskan Al-Quran dan Sunah. Elemen utama kekuatan jemaah Islamiah seperti tarbiah dan ukhuwah perlu menjadi landasan utama dalam usaha mengatur strategi dan gerak kerja. Dewan-dewan sebagai sayap utama parti perlu berperanan untuk memperkasa dan mengukuhkan parti dengan apa cara sekalipun. Dewan-dewan perlu bergerak senada dan seiring dengan pimpinan Kawasan. Umpama seekor burung, alunan sayap perlu serentak agar kekuatan untuk bergerak lebih laju dan jitu dan seterusnya menepati haluan dan destinasi yang dituju.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Sebelum saya mengakhiri ucapan pada pagi ini, marilah kita renungi pesanan Tuan Guru Presiden dalam Ucapan Dasar Muktamar PAS kali ke-56 lalu kepada semua ahli dan pimpinan PAS iaitu:

1. Memantapkan akidah perjuangan dan tarbiah, mengilmukan diri, memahami fiqh siyasah, ikhlas, istiqamah dan sabar, memurnikan tindakan dan sahsiah, menerusi pelbagai program yang akan diatur oleh Lajnah yang berkenaan dalam parti.

2. Menunjukkan teladan dan bertindak dengan penuh keadilan Islam, bergerak ke dalam masyarakat di serata ceruk lorong dan penempatan, bagi membawa syiar Islam yang syumul untuk menyelamatkan ummah daripada kegelapan. Bawa dan pimpinlah mereka, didiklah dengan penuh hikmah, sehingga terbuktilah keadilan Islam yang menyeluruh itu kepada mad’u kita.

3. Menggerakkan cawangan, kawasan, dan negeri dengan berbagai-bagai-bagai pengisian serta aktiviti, supaya akhirnya kehadiran PAS dalam masyarakat akan dapat dirasai peranannya. Penubuhan cawangan-cawangan baru, bersama kepimpinannya yang memiliki iltizam yang tinggi,haruslah menjadi keutamaan setiap kawasan PAS dalam negara kita ini.

4. Memperkemaskan tanzim parti, bersiap sedia menggerakkan jentera dan aktiviti pilihan raya parti, memanfaatkan Institut Latihan Pilihan raya PAS (ILPAS) sebagai institusi pilihan raya parti yang mampu melahirkan petugas yang profesional dan bersedia menghadapi cabaran semasa yang kompleks.

5. Memantapkan keserasian serta memperkukuhkan kebersamaan kita dalam Pakatan Rakyat, sebagai satu persiapan bagi menggantikan kepimpinan negara yang ada pada saat ini. Semuanya dilaksanakan dengan prinsip Tahaluf Siyasi yang menjadi pegangan PAS, tanpa menjejaskan prinsip perjuangan yang digariskan dalam undang-undang tubuh PAS selama ini.

Akhirnya, saya sekali lagi bagi pihak PAS Kawasan Bukit Gantang mengambil kesempatan merakamkan jutaan terima kasih kepada para dermawan yang sudi menyumbangkan derma bagi menjayakan aktiviti kita sepanjang tahun ini. Kepada tetamu yang hadir pada pagi ini dan para perwakilan serta pemerhati, saya merakamkan ucapan terima kasih. Sebelum saya mengundur diri marilah kita hayati firman Allah ini:



Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh.

Sekian, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.

MOHD NORDIN B. JAAFAR

Yang Dipertua

PAS Kawasan Bukit Gantang