Sunday, May 1, 2011

Pas wajib tegakkan keadilan untuk semua.



UCAPAN YANG DIPERTUA PAS KAWASAN BUKIT GANTANG 2011

السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka Dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding Dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela agamanya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepada-Nya. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka Sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, Iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah Engkau berdukacita, Sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah Yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

(Al-Taubah:38-41)

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Alhamdulillah, marilah kita menyusun jari sepuluh menadah tangan bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izin dan inayah-Nya dapat kita berkumpul pada pagi yang hening ini bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pendukung jemaah Islam dalam satu pertemuan persaudaraan untuk membentuk dan membina kekuatan serta jati diri bagi memartabatkan daulah Islamiah di bumi Malaysia khususnya di Kawasan Bukit Gantang. Marilah kita menyatakan kesyukuran kepada Allah SWT, dengan limpah kurnia-Nya, kita semua terus beristiqamah dengan perjuangan yang kita imani kesuciannya, dalam wadah Parti Islam Se-Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Berdasarkan firman Allah SWT yang saya bacakan sebentar tadi jelas menunjukkan bahawa penganut agama Islam yang sebenarnya ialah mereka yang sedia berangkat dan keluar berjuang untuk menegakkan cita-cita Islam dalam segala dimensinya yang mungkin. Mereka tidak dihalang oleh kesempitan hidup atau dilalaikan oleh kesenangan kebendaan. Mereka rela berkorban apa sahaja demi Allah dan Rasul. Mereka sedar bahawa jika mereka tidak bingkas berjuang keimanan mereka akan dipersoalkan oleh Allah dan amalan mereka menjadi sia-sia.

Pada zaman Rasulullah dahulu, orang yang enggan berjihad dan enggan pergi berhijrah bersama Rasulullah dihukum dengan hukuman yang berat. Golongan mukmin pada zaman dahulu yang telah mengaku beriman tetapi enggan ikut serta berjuang mendaulatkan Islam telah dihukum sebagai munafik dan kufur oleh Allah. Allah melarang Nabi mendoakan mereka dengan berdiri di tepi kubur mereka, Allah melarang Nabi menyembahyangkan jenazah mereka. Perkara ini kerana perbuatan tidak ikut serta berjuang menegakkan kedaulatan Islam sebagai suatu dosa besar yang menghapuskan kekuasaan dan kemegahan Islam.

Hal ini bermaksud apabila kita telah mengaku sebagai Muslim bermakna kita mesti ikut serta berusaha mengukuhkan gerakan Islam , meramaikan bilangan dalam gerakan Islam agar kita berjaya di dunia dan di akhirat.

Justeru, kita sebagai pendukung jemaah Islam PAS, sewajarnya bersyukur kerana dipilih oleh Allah SWT berada dalam perjuangan yang disarankan oleh Rasulullah SAW. PAS secara jelas merupakan sebuah Harakah Islamiah yang asas penubuhannya dinyatakan dalam perlembagaan Fasal 5 bertujuan untuk “memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Islam” serta “ mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara”. Tujuan PAS ini jelas amat sinonim dengan kehendak Rasulullah SAW sebagai sebuah Harakah Islamiah. Penglibatan PAS dalam harakah Islamiyyah juga mewajibkan kita untuk meneruskan ukhuwah dengan semua kumpulan Islam dengan penuh tasamuh, sehingga PAS terus diterima menjadi satu sahaja parti yang berwadah Islam yang syumul berada dalam gelanggang politik dalam negara kita ini. Inilah yang mewajibkan semua kumpulan Islam berada dalam saf perjuangan Islam bersama PAS. Ukhuwah yang dibina ini pula, wajar untuk digerakkan ke arah melaksanakan tanggungjawab ‘amal Islami yang syumul di segenap pelosok negara.

Namun sebagai mana yang kita ketahui, dalam keadaan negara ini yang dijajah oleh kolonial Inggeris ratusan tahun lamanya dan diwarisi tampuk pemerintahan oleh umat Islam yang berkiblatkan pemikiran dan nafsu penjajah, sudah tentulah kefahaman dan kesedaran umat Islam tentang kepentingan berada dan berjuang dalam perjuangan Islam amat kritikal. Malah ada sebahagian daripada umat Islam hari ini walaupun telah mendapat pendidikan dalam bidang keagamaan amat berat untuk berada bersama-sama kita mengharungi pelbagai kepayahan untuk menegakkan Islam di bumi Malaysia ini. Jadi, inilah tugas besar yang harus dimainkan oleh setiap ahli PAS untuk memasarkan PAS di tengah-tengah masyarakat dengan tawaran yang boleh memikat hati orang di luar PAS untuk bersama-sama dengan PAS. Kita mesti menunjukkan kepada masyarakat bahawa PAS memang sebenar-benarnya berjuang untuk Islam dan dengan memilih PAS sebagai wadah perjuangan, hasrat untuk mendaulat sebuah negara Islam akan tercapai, seterusnya semua ahli masyarakat akan hidup aman dan bahagia di bawah keadilan yang dibawa oleh Islam tanpa mengira kaum dan kepercayaan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Perkara ini menjadi satu cabaran kepada kita pendukung perjuangan Islam untuk memastikan hasrat menegakkan daulah Islamiah terlaksana. Kita mesti mempersiapkan diri dan jemaah dengan kekuatan yang lebih hebat lagi, agar digeruni oleh musuh dan seterusnya merealisasikan perintah Allah SWT yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Saya ingin memetik kata-kata Al-syahid Imam Hasan Al Banna tentang persiapan Harakah Islamiah iaitu:

“Persediaan kita adalah persediaan orang-orang yang terdahulu dari kita dan senjata yang digunakan oleh pemimpin besar kita dan ikutan kita, Rasulullah SAW dan para sahabatnya dalam memerangi alam ini dengan bilangan yang kecil dan harta kekayaan yang sedikit tetapi dengan pengorbanan yang besar. Itulah yang akan menjadi senjata kita untuk memerangi alam ini sekali lagi”.

Berdasarkan kata-kata oleh Al-syahid Imam Hasan Al Banna di atas, jelas menunjukkan bahawa dalam usaha menegakkan Islam, kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT tidak terletak kepada kehebatan jemaah berdasarkan bilangan ahlinya sahaja ataupun dana yang berjuta-juta tetapi kesemuanya itu mestilah diiringi oleh keikhlasan ahli jemaah untuk berkorban sama ada dari segi tenaga dan wang ringgit.

Selain itu, sebagai pendukung jemaah Islam kita juga perlu memenuhi ciri-ciri sebagai Muslim yang sejati. Para pejuang mesti mempunyai akidah yang mantap. Para pejuang mesti meningkatkan mutu dan nilai tambah dalam melakukan ibadah dari semasa ke semasa. Para pejuang juga perlu mempunyai akhlak yang mulia dan sentiasa disegani oleh rakan dan lawan. Para pejuang juga perlu membina sebuah keluarga yang memenuhi ketetapan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam. Adalah menjadi kesalahan yang besar apabila kita yang bercakap tentang perjuangan Islam tetapi masih gagal melaksanakan perkara-perkara yang menjadi kewajipan kepada kita. Amalan solat terutama solat berjemaah mesti sentiasa kita pelihara walaupun dalam keadaan yang sibuk bekerja terutama ketika menghadapi pilihan raya. Amalan ibadah malam, bermunajat kepada Allah mesti diterapkan dalam kehidupan para pejuang kerana inilah kekuatan dalaman yang perlu ada kepada setiap ahli PAS untuk berhadapan dengan musuh. Di samping itu kita juga perlu memelihara akhlak kita dari fitnah musuh. Jangan ada di antara kita dilabel sebagai kaki belit atau pemiutang tegar yang tentu sahaja mengaibkan jemaah dan merencatkan usaha dakwah kita.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Hari ini pelbagai krisis dan masalah timbul dalam masyarakat di negara ini adalah berlaku akibat dari kegagalan dasar dan cara hidup dengan pendekatan ciptaan manusia yang mengandungi pelbagai kelemahan. Isu pembuangan bayi, mat rempit, rasuah dan pelbagai lagi masalah gagal diatasi walaupun kerajaan telah membelanjakan berbilion-bilion ringgit. Bukti ini jelas menunjukkan bahawa Islam yang kita anuti sebenarnya telah menawarkan pakej penyelesaian masalah yang cukup efisien. Islam akan memberi keadilan dan kesejahteraan kepada semua umat manusia. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 8:

Wahai orang-orang Yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan.

PAS wajib menegakkan keadilan untuk semua tanpa mengira batas agama dan kaum, kerana Islam dalam cara hidupnya adalah untuk seluruh manusia sejagat. Lihatlah bagaimana keperibadian pimpinan Rasulullah SAW dan generasi kegemilangan Islam yang mencipta tamadun untuk seluruh umat manusia, bermula dengan membina modal insan dengan memenuhi ciri-ciri fitrah manusia secara menyeluruh, bukan sahaja berpegang dengan Al-Quran dan Al-Sunah yang tidak boleh dipertikaikan, tetapi dalam masa yang sama melaksanakan perintah Allah dan Rasul Nya supaya menerima kebijaksanaan ciptaan akal manusia yang datang dari seluruh pelosok dunia tanpa mengira dari mana puncanya. Islam mengajar orang yang beriman, bukan sahaja menerima yang terbaik daripada Al-Quran dan Sunah, tetapi juga menerima pandangan manusia. Hal ini di huraikan lagi oleh sabda Rasulullah SAW :



(Kebijaksanaan itu laksana barang berharga yang jatuh tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, di mana sahaja dia menemuinya, maka dialah yang berhak memungutnya)

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Kebencian rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional kini kian meningkat. Rakyat sudah semakin bosan dengan corak pemerintahan yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional yang rasuah, pilih kasih, membazir dan pelbagai pengkhianatan yang dilakukan kepada rakyat. Memetik kata-kata Tuan Guru Mursyidul Am ketika merasmikan Muktamar Dewan-dewan yang lalu, beliau menyeru agar kita hendaklah berani menawarkan alternatif dan sedia berikrar kepada semua rakyat termasuk Cina, India, Siam dan seumpamanya bahawa kita akan membuang semua unsur-unsur kerosakan yang ada di dalam kerajaan Umno pada hari ini dan menggantikannya dengan amalan pentadbiran bersifat good governence iaitu berintegriti, adil, bermoral, cekap, telus, dan bertanggungjawab. Semua ini memang terkandung ajaran Islam, dan itulah kelebihan kita bergerak di atas landasan Islam yang diturunkan daripada Allah SWT.

Prestasi yang memberangsangkan dalam pilihan raya Negeri Sarawak baru-baru ini membuktikan bahawa populariti Barisan Nasional semakin menurun. Kesempatan ini perlu diambil oleh kita sebaik mungkin. Gabungan PAS melalui Pakatan Rakyat perlu dieratkan dan digembeleng secara maksimum oleh setiap parti dalam Pakatan Rakyat khususnya di Parlimen Bukit Gantang. Kita perlu memastikan kerusi yang kita menangi dalam Pilihan raya Umum ke-12 lalu akan terus kekal berada di pihak kita di samping menawan kerusi yang masih gagal kita menangi iaitu di DUN Trong.

Calar yang menghantui kita akibat peristiwa pengkhianatan Osman Jailu sehingga meruntuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan YB Dato’ Seri Nizar perlu dibaluti dan diubati. Kita mesti memastikan kerusi N14 akan diwakili kembali oleh wakil dari Pakatan Rakyat. Kehendak dan kemahuan pemilih DUN Changkat Jering perlu dikaji agar tawaran yang kita berikan nanti memenuhi hasrat dan selera mereka. Kekecewaan pemilih akibat pengkhianatan tersebut perlu dirawat dengan ubat yang paling mujarab.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Dalam usaha kita bekerja untuk memenangi kerusi yang kita tandingi khususnya di Bukit Gantang, cabaran utama yang perlu kita sedari ialah usaha menawan hati pengundi Melayu. Dapatan daripada siri pilihan raya kecil yang ditandingi oleh PAS atau Pakatan Rakyat menunjukkan bahawa terdapat penurunan sokongan orang-orang Melayu kepada Pakatan Rakyat berbanding dengan kaum lain terutamanya kaum Tionghoa. Perkara ini perlu diteliti dan dipandang serius oleh semua pendukung PAS termasuk Dewan-dewan dengan mengatur pelan strategik untuk menawan hati pengundi Melayu. Ramuan dan resipi perlu diadun sebaik mungkin bersesuaian dengan cita rasa dan kehendak orang Melayu asal sahaja tidak bercanggah dengan kehendak syarak. Di Kelantan umpamanya formula yang diguna pakai oleh Tok Guru Mursyidul Am ialah mendidik jiwa rakyat dengan agama, suburkan sanubari mereka dengan takwa kepada Allah agar hati mereka tidak mati, tidak keras untuk menerima siraman hujan kebenaran.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada pimpinan baharu Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat di samping amat berterima kasih kepada pimpinan lalu yang telah menunaikan tanggungjawab dengan baik. Saya menaruh keyakinan yang tinggi bahawa pimpinan yang baharu dilantik akan mampu memegang amanah untuk memacu jentera menuju kemenangan berteraskan Al-Quran dan Sunah. Elemen utama kekuatan jemaah Islamiah seperti tarbiah dan ukhuwah perlu menjadi landasan utama dalam usaha mengatur strategi dan gerak kerja. Dewan-dewan sebagai sayap utama parti perlu berperanan untuk memperkasa dan mengukuhkan parti dengan apa cara sekalipun. Dewan-dewan perlu bergerak senada dan seiring dengan pimpinan Kawasan. Umpama seekor burung, alunan sayap perlu serentak agar kekuatan untuk bergerak lebih laju dan jitu dan seterusnya menepati haluan dan destinasi yang dituju.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Sebelum saya mengakhiri ucapan pada pagi ini, marilah kita renungi pesanan Tuan Guru Presiden dalam Ucapan Dasar Muktamar PAS kali ke-56 lalu kepada semua ahli dan pimpinan PAS iaitu:

1. Memantapkan akidah perjuangan dan tarbiah, mengilmukan diri, memahami fiqh siyasah, ikhlas, istiqamah dan sabar, memurnikan tindakan dan sahsiah, menerusi pelbagai program yang akan diatur oleh Lajnah yang berkenaan dalam parti.

2. Menunjukkan teladan dan bertindak dengan penuh keadilan Islam, bergerak ke dalam masyarakat di serata ceruk lorong dan penempatan, bagi membawa syiar Islam yang syumul untuk menyelamatkan ummah daripada kegelapan. Bawa dan pimpinlah mereka, didiklah dengan penuh hikmah, sehingga terbuktilah keadilan Islam yang menyeluruh itu kepada mad’u kita.

3. Menggerakkan cawangan, kawasan, dan negeri dengan berbagai-bagai-bagai pengisian serta aktiviti, supaya akhirnya kehadiran PAS dalam masyarakat akan dapat dirasai peranannya. Penubuhan cawangan-cawangan baru, bersama kepimpinannya yang memiliki iltizam yang tinggi,haruslah menjadi keutamaan setiap kawasan PAS dalam negara kita ini.

4. Memperkemaskan tanzim parti, bersiap sedia menggerakkan jentera dan aktiviti pilihan raya parti, memanfaatkan Institut Latihan Pilihan raya PAS (ILPAS) sebagai institusi pilihan raya parti yang mampu melahirkan petugas yang profesional dan bersedia menghadapi cabaran semasa yang kompleks.

5. Memantapkan keserasian serta memperkukuhkan kebersamaan kita dalam Pakatan Rakyat, sebagai satu persiapan bagi menggantikan kepimpinan negara yang ada pada saat ini. Semuanya dilaksanakan dengan prinsip Tahaluf Siyasi yang menjadi pegangan PAS, tanpa menjejaskan prinsip perjuangan yang digariskan dalam undang-undang tubuh PAS selama ini.

Akhirnya, saya sekali lagi bagi pihak PAS Kawasan Bukit Gantang mengambil kesempatan merakamkan jutaan terima kasih kepada para dermawan yang sudi menyumbangkan derma bagi menjayakan aktiviti kita sepanjang tahun ini. Kepada tetamu yang hadir pada pagi ini dan para perwakilan serta pemerhati, saya merakamkan ucapan terima kasih. Sebelum saya mengundur diri marilah kita hayati firman Allah ini:



Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh.

Sekian, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.

MOHD NORDIN B. JAAFAR

Yang Dipertua

PAS Kawasan Bukit Gantang

No comments:

Post a Comment