Monday, September 26, 2011

41 IPTS didenda,,mungkinkah IPTS itu kroni UMNO

Sebanyak 41 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dikenakan kompaun berjumlah hampir RM1 juta oleh Kementerian Pengajian Tinggi kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta IPTS 1996 (Akta 555) sehingga September tahun ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Hou Kok Chung berkata, jumlah berkenaan dicatatkan sehingga September lalu, membabitkan kompaun dengan jumlah keseluruhan RM900,000, selain denda di mahkamah berjumlah RM185,000 mengikut Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta 555].


Menurutnya, kesalahan yang dilakukan oleh IPTS terbabit antaranya mengeluarkan iklan yang mengelirukan bakal penuntut, mengendalikan kursus tanpa kelulusan dan memindahkan premis tanpa sebarang notis.


Tindakan tegas itu katanya, dilakukan bagi memastikan setiap IPTS sama ada berstatus universiti atau kolej mematuhi peruntukan di bawah Akta 555.

“Kementerian memandang serius kesalahan yang dilakukan dan mengambil tindakan tegas termasuk mendakwa IPTS terbabit di mahkamah.


“Ibu bapa dan bakal penuntut juga dinasihatkan supaya melawat dan menilai sendiri sesebuah IPTS sebelum menerima sesuatu tawaran selain meneliti terma dan syarat yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama IPTS Zon Selatan, di sini, semalam.


Menurut Kok Chung, kementerian juga mengeluarkan arahan meminta IPTS mengemas kini semua bentuk iklan sehingga April lalu.


“Jika mereka gagal mematuhi Seksyen 72 hingga 75 dan 83 Akta 555 berhubung perkara Pengiklanan serta Garis Panduan Pengiklanan, kementerian boleh mengambil tindakan perundangan di bawah Seksyen 72(2), 73(4) dan 83 (mengikut mana yang bersesuaian).


“Kementerian juga tidak teragak-agak untuk menghebahkan nama IPTS terlibat di laman web jika disabitkan kesalahan,” katanya.


Dalam pada itu, Kok Chung berkata, bagi memastikan bakal penuntut dan ibu bapa tidak tertipu dengan tawaran yang mengelirukan, kementerian akan mengeluarkan iklan mengenai pemilihan IPTS bermula Julai lalu hingga bulan ini di akhbar-akhbar terpilih.


“Kementerian memperuntukkan hampir RM200,000 bagi tujuan tersebut sebagai langkah kesedaran kepada orang ramai mengenai pemilihan IPTS.


“Pelaksanaan program kesedaran ini mempunyai matlamat yang besar khususnya dalam usaha meningkatkan kualiti sektor pengajian tinggi swasta serta membantu bakal penuntut dan ibu bapa membuat pemilihan yang bijak,” katanya.

No comments:

Post a Comment