Tuesday, February 7, 2012

Akhirnya mati ,mimpi dikejar pokok sawit .

PONTIAN- “Sejak dua hari lalu, arwah menceritakan mimpinya dikejar pokok kelapa sawit sebanyak dua kali ketika menebang pokok itu di kebunnya.


“Saya tidak sangka, ia sebenarnya petanda apabila diberitahu arwah maut dihempap pokok kelapa sawit pagi tadi (semalam) di kebunnya,” kata Nordin Abd Rahman, 40, rakan kepada pekebun yang meninggal dunia dihempap pokok kelapa sawit, Mohd Noor Ali, 31, semalam.


Dalam kejadian di Kampung Parit Haji Ali Ayer Baloi di sini, jam 10 pagi itu, mangsa yang juga kakitangan Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) Johor Bahru, mati dihempap pokok kelapa sawit, apabila gagal mengelak batang pokok ber selepas menebangnya.


Mangsa dikatakan pulang ke kampungnya di Kampung Tengah Ayer Baloi di sini, sempena cuti Maulidur Rasul dan Thaipusam untuk membersihkan kebunnya dan menanam semula kelapa sawit.


Nordin berkata, dia diberitahu selepas menebang pokok berkenaan, arwah cuba melarikan diri malangnya batang pokok itu dikatakan tumbang lalu menghempapnya.


Katanya, dia tidak menyangka mimpi arwah dikejar pokok kelapa sebanyak dua kali ketika menebang pokok berakhir dengan tragedi berkenaan.


“Malam semalam (kelmarin), saya bersembang dengan arwah di kedai kopi hingga jam 3 pagi dan keadaannya seperti biasa serta ceria.


“Ketika itu, arwah bercerita mimpinya dikejar pokok kelapa sawit sebanyak dua kali namun kami tidak menyangka apa-apa,” katanya yang mendapat tahu mengenai kejadian itu apabila dihubungi salah seorang rakannya pada kira-kira jam 10.30 pagi semalam.


Arwah meninggalkan isteri, Azreeniza Abdullah, 30, yang juga kakitangan SAJH Johor Bahru dan seorang anak perempuan, Ain Afrina, 3 tahun.


Sementara itu, isterinya ketika ditemui di Hospital Pontian berkata, ketika kejadian dia berada di kampungnya di Batu Pahat dan mendapat tahu apabila saudaranya menelefon jam 10.30 pagi.


Katanya, arwah seorang yang suka berkebun dan setiap kali pulang ke kampung dia akan membersihkan kebun kelapa sawitnya seluas empat ekar.


“Cuti kali ini, arwah tidak mengikut saya ke Batu Pahat sebaliknya pulang ke kampungnya di Kampung Tengah Ayer Baloi untuk membersihkan kebunnya.


“Malam semalam (kelmarin), kami berbual panjang menerusi telefon dan dia berbual seperti biasa tanpa sebarang perubahan mahu pun pesanan terakhir,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin berkata, kematian tiada unsur jenayah dan jenazah dihantar ke Hospital Pontian untuk bedah siasat.


Menurutnya, pihaknya menerima panggilan orang ramai mengenai kejadian itu dan sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan terperinci.


Katanya, jenazah mangsa dihantar ke Hospital Pontian untuk bedah siasat.

-MyMetro

No comments:

Post a Comment