Tuesday, February 28, 2012

Suruh Jamaluddin Radzi debat dengan DS Nizar,Zambry Kadir kurang matang.

IPOH - Badan Perhubungan Pas Negeri menyifatkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mencadangkan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi berdebat dengan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai janggal dan tidak masuk akal.


Ketua Penerangan, Badan Perhubungan Pas Negeri, Ahmad Nuri Al-Amin berkata, kenyataan itu seolah-olah menunjukkan Zambry tidak mempunyai wawasan dan kurang matang dalam memberi respons berkaitan cadangan Dewan Pemuda Pas dalam usaha menemukan kedua-dua individu itu di pentas debat.


“Tujuan asalnya untuk membolehkan kedua-dua pemimpin itu melontarkan idea bagi memimpin pentadbiran Kerajaan Negeri Perak ke tahap yang lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian.


Bagaimanapun katanya, pelantikan Jamaluddin untuk menyertai debat itu tidak bersesuaian kerana Adun Bebas berkenaan bukan ketua bagi parti Barisan Nasional Perak.


“Debat atau forum adalah pentas bagi kedua-dua tokoh yang mengetuai BN dan PR Perak. Di mana rasionalnya Zambry menyerahkan wawasan mentadbir Kerajaan Negeri kepada Adun yang lompat parti,” katanya.


Ahmad Nuri berkata, penolakan Zamry itu sekali gus membuktikan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 BN mengamalkan penyelewengan dan kronisme.


“Jika BN Perak benar-benar bersih dan bekerja untuk rakyat dan bukan menindas rakyat, beliau tak perlu takut.


“Malah Zambry perlu menyahut peluang dan ruang ini bagi membuktikan usaha yang telah dilakukan oleh BN benar-benar berkesan,” katanya.

No comments:

Post a Comment