Tuesday, April 24, 2012

Dua PIBG digantung ,kerana BN dan PR rebut jawatan.



Hanya kerana perebutan jawa­tan, dua barisan jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari dua sekolah di negeri ini digantung.


Kedua-dua PIBG masing-masing di daerah Kuala Kangsar itu dikatakan menjadi medan perebutan jawatan dari dua kumpulan yang mewakili parti politik berbeza.


Perebutan jawatan yang dianggap menjejaskan prestasi sekolah itu menyebabkan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) selaku pendaftar PIBG me­ngambil tindakan menggantung semua jawatan penyandang, bagaimanapun mereka masih menjadi ahli PIBG.


Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Mohd Idris Ramli berkata, keadaan itu berlaku apabila dua kumpulan terbabit terlalu ghairah merebut jawatan sehingga berlaku konflik yang menjejaskan prestasi PIBG.


Menurutnya, JPN telah menerima aduan daripada ibu bapa yang bimbang perkara itu boleh menggugat prestasi pelajaran anak-anak mereka selain menjatuhkan imej PIBG.


“Kita mengambil tindakan­ membatalkan semua jawatan kerana mereka telah melanggar etika yang dibenarkan pendaftar.


“Namun kini kedua-dua PIBG itu telah dibenarkan bergerak semula melalui proses mesyuarat agung tahunannya yang dilakukan oleh ibu bapa untuk memilih individu yang mereka kehendaki,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis anugerah PIBG cemerlang peringkat negeri, di sini.


Katanya, JPN tidak menghalang pemilihan jawatan penyandang yang terbabit kerana mereka telah pun berjanji akan mematuhi etika dan peraturan yang ditetapkan.

No comments:

Post a Comment