Guru Besar sekolah berkenaan, Azizul Rahim Mulkan.
Guru Besar sekolah berkenaan,  Ustaz Azizul Rahim Mulkan.
TAIPING - “Denda memakan cili bukan ketetapan yang dibuat pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah ini. Ia adalah denda alternatif kepada murid yang mengeluarkan kata-kata kesat itu pun setelah diberi amaran beberapa kali,” kata Guru Besar sekolah berkenaan, Azizul Rahim Mulkan.


Azizul berkata, guru yang terlibat itu baru sahaja tiga bulan bertugas di sekolah berkenaan mungkin tersalah anggap dengan setiap denda yang diberikan.


Menurutnya, guru berkenaan dan dua lagi pentadbir sekolah telah menziarahi murid tersebut selepas dimaklumkan ibunya mengenai keadaan anaknya, bagaimanapun dalam lawatan itu guru terbabit telah meminta maaf atas kesalahannya.(berita terdahulu)


“Saya anggap perkara itu telah selesai tapi tidak sangka perkara ini akan berlarutan. Guru yang terlibat telah dikenakan hukuman gantung kerja selama tiga hari bermu­la 2 hingga 4 Mei ini sebagai pengajaran kepadanya dan guru-guru lain,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.


Beliau berkata, tidak adil bagi pihak sekolah dipersalahkan gara-gara tidak memberikan rawatan dan membiarkan murid itu terlantar selama dua hari seperti dalam kenyataan akhbar yang dibuat oleh ibunya kerana anaknya tidak memaklumkan bahawa dia sakit.


Katanya, pihak sekolah tidak pernah mengabaikan atau menyisihkan murid di sekolah berkenaan sekiranya mereka sakit, walaupun mereka mengalami demam atau kudis sekali pun, pihaknya tetap membawa pelajar ke klinik untuk rawatan.


“Pelajar yang didenda memakan cili tidak dipaksa untuk berbuat demikian sekiranya mereka tidak mahu. Itu hanya untuk menggertak sahaja dan bersifat mendidik. Dalam kes ini, pelajar itu sendiri yang makan dan kebetulan dalam keadaan perut kosong.


“Kita juga akan mendapatkan laporan doktor untuk memastikan pelajar terbabit sememangnya mempunyai sakit gastrik atau selepas insiden memakan cili tersebut,” katanya.


Jelasnya, pelajar berkenaan baru sahaja memasuki sekolah itu hujung bulan Mac lalu dan masih dalam tempoh percubaan untuk menyesuaikan diri.


“Kami menerima pelajar itu kerana keluarganya mahu dia belajar dan mendapat pendidikan agama di sini,” katanya.


Kelmarin, Sinar Harian telah menyiarkan berita mengenai seorang murid 10 tahun yang didenda memakan cili padi gara-gara mengoyak buku tanda protes kerana dihalang menghubungi ibunya.sumber sinar