Thursday, May 3, 2012

Orang awam boleh jadi saksi kes Nizar tuduh PM jumpa askar.

IPOH - Dua individu telah dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung kenyataan yang didakwa berbaur hasutan dan fitnah oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap Perdana Menteri dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini.


Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahalan yang ditemui pada sidang media selepas melawat pesara polis yang parah dibelasah empat penjenayah di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.


Menurutnya, dua individu terbabit terdiri daripada seorang pegawai ATM dan seorang pegawai PDRM dan siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 500 dan 505 Kanun Keseksaan.


“Melalui pasukan khas yang ditubuhkan kita akan merakamkan percakapan saksi terutamanya yang hadir pada ceramah malam tersebut.


“Kita akan mengenal pasti berapa ramai yang hadir pada ceramah malam itu dan akan memanggil semua pihak sama ada pegawai ATM, polis mahupun orang awam untuk memberi keterangan berhubung perkara terbabit,” katanya.


Mohd Shukri berkata, jika semua pihak memberi kerjasama ia akan memudahkan pihak polis menyelesaikan segera kes berkenaan dalam tempoh terdekat.


“Beliau (Mohammad Nizar) akan dipanggil untuk memberi keterangan namun masih tidak menetapkan bila kerana kita masih dalam usaha mengumpul segala maklumat terlebih dahulu sebelum berganjak ke langkah seterusnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment