Thursday, August 6, 2009

Hj Nizar akan pimpin solat hajat mohon lindung daripada HINI

DS Nizar bersama isteri dalam satu program di DUN Kuala Sapetang


Dato Seri Hj Nizar Jamaludin akan bersolat Jumaat di Masjid Pengkalan Aor ,Jln Taman Kaya,Taiping.

Minggu ini, 7 Ogos beliau dalam program bertemu masyarakat dalam parlimen Bukit Gantang,khususnya DUN Changkat Jering.

Dato Seri sendiri akan mengimamkan Solat Hajat untuk memohon kehadrat ALLAH s.w.t agar HINI tidak merebak dan rakyat dalam keadaan sihat serta bersatu padu.

Solat hajat itu berlangsung selepas solat Jumaat.Justeru itu masyarakat sekitar dijemput hadir berama-ramai.Dijangka turut hadir YDP Pas Kawasan Bukit Gantang,Ustaz Mohd Nordin Jaafar.

Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu-Sejarah Tanah Melayu dikhianat UMNO/BN

KUALA LUMPUR, 6 Ogos -- Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah pada Khamis mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Menurut baginda, wasiat yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 ialah :

* Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);

* Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;

* Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;

* Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini;

* Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan;

* Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU;

* Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Saraak).

Raja Nazrin Shah bertitah demikian semasa melancarkan tiga buku Allahyarham Prof Datuk Dr Syed Hussein Alatas, berjudul Mitos Peribumi Malas, Intelektual Masyarakat Membangun, dan Rasuah : Sifat, Sebab dan Fungsi, sempena Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas yang bermula Selasa lepas di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini.

Menurut baginda, wasiat sembilan Raja Melayu terdiri dari empat negeri Melayu bersekutu dan lima yang tidak bersekutu itu, disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat Melayu, yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu.

"Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaultan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu," titah Raja Nazrin Shah, merujuk kepada Perkara 3 (1) (2) (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153 dan Perkara 181 (1).

Menurut Raja Nazrin Shah fasal-fasal ini memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.

"Sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-52 pada 31 Ogos ini, sewajarlah fakta-fakta utama dalam perjalanan menuju kemerdekaan itu dipastikan tidak terpendam dari sejarah," titah baginda.

Mengenai Syed Hussein Alatas, yang meninggal dunia kerana serangan jantung pada 23 Jan 2007, Raja Nazrin Shah bertitah bahawa Allahyarham sering membangkitkan mengenai kejijikan rasuah, dan dihuraikannya dalam buku tulisan beliau "Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi."

"Walaupun ianya kotor dan jijik, ironinya semakin ramai yang berlumba untuk mendapatkan kuasa supaya berpeluang melakukannya, malah melakukannya dengan penuh tipu muslihat untuk terlepas dari undang-undang dan hukum dunia," titah baginda.

Raja Nazrin Shah bertitah bahawa ramai yang bercakap tentang rasuah, malah seruan untuk memeranginya ada kalanya bergema lebih nyaring daripada kalangan mereka yang tidak bebas daripada melakukannya.

"Lalu tenggelamlah kesungguhan usaha untuk memerangi rasuah dalam retorik kepura-puraan. Akibatnya takhta runtuh, pemimpin jatuh, negara lebur dan rakyat melarat," titah baginda.

Baginda bertitah rasuah berlaku di mana-mana termasuk di istana, dalam sektor awam, swasta, organisasi politik, malah dalam badan-badan agama, kerana rasuah merupakan candu yang mengasyikkan dan yang menanggung derita bukan dalam kalangan pengamal dan penerima rasuah.

"Sebenarnya rasuah merendahkan martabat seseorang insan ke taraf abdi, menjadikan insan hamba kepada harta, kepada kekayaaan, kepada kebendaan dan kepada jawatan yang diperoleh secara haram," titah Raja Nazrin Shah.

Menurut baginda, rasuah adalah instrumen yang membunuh jiwa merdeka, pemikiran merdeka, sifat merdeka dan watak merdeka dalam diri seseorang insan yang terjebak dengannya.
petikan bernama-09

Jadual DS Nizar di Dun Changkat Jering-7 0gos

Hj Nizar ziarah seorang pesakit di Hospital Daerah Taiping baru-baru ini.
Hj Nizar dikerumuni pelajar sekolah sewaktu melawat banjir kilat pada musim PRK P059 di sebuah sekolah dalam bandar Taiping.


Jadual Haji Nizar Ahli Parlimen Bukit Gantang
12.45 tengahari- Ke Masjid Pengkalan Aor Solat Jumaat
2.00 petang - Solat Hajat Minta Lindung dari Wabak HINI(dipimpin DS Hj Nizar)
4.30 petang -Ziarah pesakit Hospital Taiping

6.00 petang - Pendaftaran Retreat Pas Perak di Lumut

6 ogos:YDP Bukit Gantang Kesal Polis Panggil Nizam AJK Pas.

Ustaz Nordin Jaafar sewaktu berucap di Mesyuarat Agung Pas Bukit Gantang.Mungkinkah beliau calon kita di Trong ?


Alfadhil Ustaz Nordin Jaafar kesal dengan tindakan Pegawai Polis Taiping yang memanggil Ahmad Nizam pada 2 Ogos lalu.

'Mengapa setelah 4 bulan berlalu pilihanraya kecil Bukit Gantang,baru dipanggil Nizam"soal Ustaz Nordin.

'Nizam hanya menguruskan tempat Dataran Tok Guru Nik Aziz,bukannya menganjur ceramah'tegas Ustaz Nordin Jaafar.

'Mengapa tidak dipanggil Hj Asmuni Awi,Pengarah Pilihanraya Kecil Perak ataupun Salman Salleh Setiausaha JPN untuk disoal siasat' tambah Ustaz Nordin lagi.

YDP Bukit Gantang juga hairan ,bagaimana ingin dicari saksi jikalau perkara ini menjadi kes.'Empat bulan berlalu,mungkin ada saksi yang telah meninggal dunia' ujar Ustaz Nordin.

Ustaz Nordin berharap pihak polis bertindak matang dan bijak untuk berkhidmat kepada negara sewaktu diminta mengulas isu AJK Pas Ahmad Nizam dipanggil polis.

Wednesday, August 5, 2009

Wabak dan penyakit berjangkit menurut pandangan Islam

Muqaddimmah


Seperti yang diketahui penyakit selsema babi atau virus H1N1 telah menjadi wabak yang merbahaya. Negera kita telah menjangkau 58 orang yang disahkan dan Mesir 40 orang. Malahan dalam berita ikhwanonline menyatakan kemungkinan virus selesema babi ini akan bergabung dengan virus selsema burung. Ia akan menjadi lebih merbahaya. Mudah2an Allah menjauhkan kita dari perkara tersebut.

Disini ada 9 perkara berkenaan dengan pandangan Islam terhadap penyakit berjangkit dan wabak ini seperti berikut:

1. Berlakunya jangkitan (infection) penyakit adalah diakui oleh Nabi saw. Nabi saw bersabda:

فر من المجزوم كما تفر من الأسد

“Larilah dari orang yang berpenyakit kusta seperti kamu lari dari singa.” (Hr Bukhari)

Ini adalah suruhan Nabi saw kepada umatnya berhati-hati ketika bermuamalat dengan pesakit yang membawa penyakit yang boleh berjangkit.

2. Penularan dan merebaknya penyakit memerlukan kepada syarat-syarat yang ketat. Oleh itu Nabi saw menafikan penularan ini:

لاَ عَدْوَى

“Tidak ada jangkitan penyakit tanpa sebab.” (Hr Bukhari)

Setiap penyakit yang berjangkit ada cara-cara tertentu, ada yang berjangkit melalui makan dan minum, ada yang melalui darah dengan suntikan, ada yang melalui hubungan jenis dan sebagainya. Hadis menafikan jangkitan penyakit tanpa sebab dan dengan cara jangkitan yang sebenarnya.

3. Dalam keadaan yang diperlukan orang yang sihat boleh bersama pesakit dengan berserah pada Allah swt. Jabir bin Abdullah ra telah meriwayat:

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم أخذ بيد مجذوم فأدخلها معه في القصعة ثم قال : كل بسم الله ثقة بالله وتوكلا عليه

" Sesungguhnya Rasulullah saw mengambil tangan pesakit kusta (leprosy), lalu mengajaknya makan bersama dalam satu bekas. Nabi saw bersabda “Makanlah dengan nama Allah, berpegang teguh kepada Allah dan berserah padaNya.” (Hr Tirmizi)

Oleh itu sesiapa yg bertanggung jawab utk brsama pesakit yg berjangkit ini seperti pegawai dan petugas perubatan hendaklah yakin dgn Allah dan meminta perlindungan kepadaNya.

4. Pengasingan pesakit berjangkit dari orang-orang yg sihat (isolation).

Nabi saw bersabda:

لا يوردن ممرض على مصح

"Pesakit yang berjangkit tidak boleh mendatangi orang yang sihat.” (Hr Bukhari)

Nabi saw bersabda:

كلم المجزوم وبينك وبينه قيد رمح أو رمحين

“Bergaullah bersama pesakit kusta dengan jarak selembing atau dua lembing.” (Hr Abu Nu’aim)

Hadis2 ini menunjukkan bahawa perlunya pengasingan diantara orang yang sihat dengan pesakit yg berjangkit ini. Ini untuk mengelakkan jangkitan penyakit dan penularannya ke dalam masyarakat.

Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali menegah pesakit kusta dari bersama orang yang sihat.

5. Kuarantin (quarantine) dalam Islam.

Kuarantin adalah menghadkan pergerakan orang-orang yang sihat yang pernah bersama dengan pesakit yang berjangkit pada satu tempat dalam masa penyakit itu boleh berjangkit. Tujuan utamanya adalah supaya dapat mengelakkan dari penyakit berjangkit itu menular ke dalam masyarakat yg sihat. Walaupun mereka ini dilihat sihat tetapi ada kemungkinan penyakit sudah berjangkit kepada mereka dan gejala penyakit itu belum timbul kerana masa lagi diperingkat permulaan.

Nabi saw bersabda:

الطاعون أية الرجز ابتلى الله عز وجل به أناسا من عباده فإذا سمعتم به فلا تدخلوا عليه وإذا وقع بأرض وأنتم بها فلا تفروا منه

“Taun (plague) adalah tanda kemurkaan Allah yang mana Allah menguji hamba-hambanya. Apabila kamu mengetahui adanya penyakit itu di sebuah tempat janganlah kamu masuk ke tempat itu. Apabila kamu berada di tempat yang ada penyakit taun (atau penyakit berjangkit lain) janganlah kamu lari keluar darinya.” (Hr muslim)

6. Syahid kepada orang yang mati kerana penyakit wabak (epidemics).

Aisyah ra bertanya berkata:

سألت رسول الله صلى الله عليه وسلم عن الطاعون فأخبرني أنه عذاب يبعثه الله على من يشاء وأن الله جعله رحمة للمؤمنين ليس من أحد يقع الطاعون فيمكث في بلده صابرا محتسبا يعلم أنه لا يصيبه إلا ما كتب الله له إلا كان له مثل أجر الشهيد

“Aku bertanya Rasulullah saw tentang wabak taun. Baginda menjawab itu adalah azab yang Allah turunkan kepada sesiapa yang Allah kehendaki. Allah akan jadikan penyakit itu sebagai rahmat kepada orang-orang beriman. Tidak ada sesiapa yang terkena taun dan duduk tetap di negerinya dalam keadaan sabar, mengharapkan ganjaran Allah dan yakin ia adalah hanya ketetapan ilahi melainkan Allah akan memberinya pahala syahid.” (Hr Bukhari)

7. Islam menggalakkan umatnya berusha mengelakkan dari penyakit. Antara ushanya adalah tidak masuk ke tempat yang ada penyakit berjangkit atau wabak. Ini jelas apa yang berlaku kepada saidina Umar ketika mana beliau hendak masuk ke dalam Syam. Apabila beliau mengetahui di syam berlakunya wabak taun, dia berpatah balik dan tidak jadi masuk ke syam. Lalu Abu Ubaidah al-Jarrah berkata:

أفرارا من قدر الله؟

“Adakah engkau cuba lari dari ketentuan Allah?”

Umar menjawab:

لو غيرك قالها يا أبا عبيدة نعم نفر من قدر الله إلى قدر الله

“Alangkah baik sekiranya kata-kata ini diucapkan oleh orang lain. Ya, kami lari dari ketentuan Allah kepada ketentuan Allah.” (Hr Bukari)

8. Doa Qunut Nazilah kerana wabak.

Mazahab Syafie dan Hanafi berpendapat sunat qunut nazilah dalam solat untuk menghindarkan taun dan penyakit wabak yang lain. Mazhab Maliki mengatakan sunat solat bukannya doa qunut. Mazhab Hambali menyatakan bahwa tidak disyariatkan qunut untuk menghindarkan wabak kerana berlaku wabak taun pada zaman saidina Umar dan beliau tidak qunut dan tidak menyuruh orang lain qunut.

9. Senghaja memindahkan penyakit berjangkit kepada orang lain.

Menyebabkan kemudaratan kepada orang lain adalah perkara yang dilarang. Nabi saw bersabda:

لا ضَرَرَ وَلا ضِرَارَ

“Janganlah menyebabkan kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain.” (Hr Ibnu Majah)

Persidangan Islam yang diadakan di Dubai pada tahun 1415 hijrah telah menyatakan bahwa senghaja memindahkan penyakit yang berjangkit seperti AIDS kepada orang lain adalah dosa besar dan berhak untuk mendapat hukuman yang berat. Perbuatan ini dianggap pembunuhan dengan senghaja yang mewajibkan qisas jika membawa kematian mangsa.

Rujukan: Mausuah Feqhiah Tibbiah oleh Dr Ahmad Kan’an, Fathul Bari oleh Imam Ibnu Hajar dan Jawahir Lukluiyyah oleh ad-Dimyati.
dari blog salman maskuri

6 0gos:Berita panas 4 Bulan PRK Bukit Gantang Berlalu Polis Baru Panggil Ahmad Nizam

Hj Mat Sabu pernah berceramah di Dataran Tok Guru Nik Aziz,di Jln Kuala Kangsar-Simpang

Kita berasa hairan kenapa baru dipanggil Ahmad Nizam Abdullah AJK Pas Kawasan Bukit Gantang ke Balai Polis Taiping Untuk disoal siasat .

29 Mac penamaan calon P 059 Bukit Gantang dan tarikh pengundi 7 april 2009.Kini baru Ahmad Nizam dipanggil polis untuk disoal siasat kononnya menganjur ceramah tanpa permit.Pada hal ceramah urusan Pas Kawasan dan Negeri.

Dari peringkat Pimpinan Pusat Pakatan Rakyat pernah berceramah di situ,Tuan Guru Nik Aziz,Tuan Guru Haji Hadi,YAB Lim Guan Eng,DS Wan Azizah,Hj Mat Sabu , YB Dato' Mahfoz Omar dan Tuan Speaker Perak YB Sivakumar.Tapak ceramah,dipanggil Dataran Tok Guru Nik Aziz,Jln Simpang Kuala Kangsar.Tapak ceramah disewa atas nama Ahmad Nizam.Permit diuruskan oleh pihak Jentera Operasi Pilihanraya Negeri,berpusat di Markaz Negeri,Air Kuning,Taiping.

Ahmad Nizam dipanggil polis untuk mendapat maklumat pada hari Sabtu 2 Ogos.Sepatutnya yang dipanggil Hj Asmuni Awi,Pengarah Pilihanraya Negeri Perak atau YB Ustaz Nasharudin Mat Isa,Pengarah Operasi Induk.Tetapi hairan kenapa sekarang,sedangkan Ahmad Nizam mewakili Pas Kawasan. Kita juga hairan kenapa nombor telefon isteri pun hendak ditanya.Apa kaitan isteri dengan ceramah tanpa permit.

Bertambah hairan,PRK permit diurus setiap hari,kebenaran surat permit pun ,salinannya selalu tidak ada pada kita.Jadi kenapa baru sekarang baru hendak siasat.?

Tuesday, August 4, 2009

5 ogos:Siapa bekal termometer?Murid Diarah Periksa Suhu Badan Sebelum Masuk Kelas:HINI makin serius



JOHOR BAHARU, - Kementerian Pelajaran mengarahkan semua pelajar di semua sekolah menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum bermula waktu sekolah bagi mencegah penularan wabak Infuenza A(H1N1).

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata pemeriksaan itu akan mula dijalankan apabila semua sekolah dibekalkan dengan termometer dan topeng muka dalam tempoh terdekat ini.

Beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan RM3.6 juta untuk tujuan membeli termometer dan topeng muka.

"Setiap murid dan pelajar akan dimestikan menjalani pemeriksaan sebelum memasuki kelas dan kita akan pastikan suhu badan mereka tidak melebihi 37.5 darjah celcius," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kenanga, Tampoi, di sini Selasa.

Menurutnya pemeriksaan itu juga bertujuan meyakinkan ibu bapa supaya membenarkan anak mereka bersekolah seperti biasa.

Dua hari lepas, Mohamad Fakri Syah Rosli, murid darjah enam sekolah berkenaan meninggal dunia akibat jangkitan virus itu, yang menjadikan korban pertama di negeri ini.

Wee berkata bagi meningkatkan keyakinan ibu bapa, Jabatan Pelajaran Negeri juga diarah memantau semua sekolah dengan pihak pengurusan sekolah diminta menghubungi ibu bapa sekiranya terdapat murid yang tidak datang ke sekolah.

"Jika ada anak yang gagal hadir kerana demam maka data berkenaan akan diserahkan ke Jabatan Kesihatan negeri untuk tujuan susulan," katanya.

Beliau berkata pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) juga perlu memainkan peranan untuk memberi penerangan kepada ibu bapa sekiranya ada di kalangan mereka yang masih berasa tidak yakin untuk membenarkan anak-anak ke sekolah.

Menurutnya, dianggarkan lebih 100 sekolah terpaksa ditutup selama seminggu sejak wabak itu dilaporkan merebak, kira-kira dua minggu lepas.

Beliau turut menegaskan tindakan menutup sekolah tidak akan dilakukan sewenang-wenangnya hanya kerana ada ibu bapa yang tidak yakin mengenai kesihatan anak mereka.

Katanya, penutupan sesebuah sekolah perlu mematuhi prosedur Akta Penyakit Berjangkit 1988, iaitu dengan mendapat pengesahan daripada doktor.

--BERNAMA


.