Tuesday, August 4, 2009

5 ogos:Siapa bekal termometer?Murid Diarah Periksa Suhu Badan Sebelum Masuk Kelas:HINI makin serius



JOHOR BAHARU, - Kementerian Pelajaran mengarahkan semua pelajar di semua sekolah menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum bermula waktu sekolah bagi mencegah penularan wabak Infuenza A(H1N1).

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata pemeriksaan itu akan mula dijalankan apabila semua sekolah dibekalkan dengan termometer dan topeng muka dalam tempoh terdekat ini.

Beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan RM3.6 juta untuk tujuan membeli termometer dan topeng muka.

"Setiap murid dan pelajar akan dimestikan menjalani pemeriksaan sebelum memasuki kelas dan kita akan pastikan suhu badan mereka tidak melebihi 37.5 darjah celcius," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kenanga, Tampoi, di sini Selasa.

Menurutnya pemeriksaan itu juga bertujuan meyakinkan ibu bapa supaya membenarkan anak mereka bersekolah seperti biasa.

Dua hari lepas, Mohamad Fakri Syah Rosli, murid darjah enam sekolah berkenaan meninggal dunia akibat jangkitan virus itu, yang menjadikan korban pertama di negeri ini.

Wee berkata bagi meningkatkan keyakinan ibu bapa, Jabatan Pelajaran Negeri juga diarah memantau semua sekolah dengan pihak pengurusan sekolah diminta menghubungi ibu bapa sekiranya terdapat murid yang tidak datang ke sekolah.

"Jika ada anak yang gagal hadir kerana demam maka data berkenaan akan diserahkan ke Jabatan Kesihatan negeri untuk tujuan susulan," katanya.

Beliau berkata pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) juga perlu memainkan peranan untuk memberi penerangan kepada ibu bapa sekiranya ada di kalangan mereka yang masih berasa tidak yakin untuk membenarkan anak-anak ke sekolah.

Menurutnya, dianggarkan lebih 100 sekolah terpaksa ditutup selama seminggu sejak wabak itu dilaporkan merebak, kira-kira dua minggu lepas.

Beliau turut menegaskan tindakan menutup sekolah tidak akan dilakukan sewenang-wenangnya hanya kerana ada ibu bapa yang tidak yakin mengenai kesihatan anak mereka.

Katanya, penutupan sesebuah sekolah perlu mematuhi prosedur Akta Penyakit Berjangkit 1988, iaitu dengan mendapat pengesahan daripada doktor.

--BERNAMA


.

No comments:

Post a Comment