Tuesday, July 28, 2009

CUEPACS Pohon Kerajaan Timbang Bonus Untuk Penjawat Awam





JOHOR BAHARU, 28 Julai (Bernama) -- Cuepacs akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam dalam pengumuman Bajet, Oktober ini.

Presidennya Omar Osman berkata perbincangan mengenai bonus itu akan diadakan menerusi mesyuarat tertinggi kongres itu minggu depan sebelum dikemukakan kepada kerajaan.

"Pemberian bonus ini sudah dibincangkan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Khamis lepas. Kita setuju kalau pemberian Elaun Sara Hidup (Cola) tidak dapat dinaikkan dalam keadaan ekonomi ketika ini, tetapi kita harap biarlah dalam musim perayaan nanti kira-kira 1.2 juta penjawat awam di negara ini dapat menikmati 'duit raya'," katanya.

Omar berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat agung dwi tahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa Tempatan (Anulae) Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB), di sini Selasa.

Beliau berkata pihaknya menerima banyak panggilan telefon dan SMS daripada penjawat awam yang ingin mendapatkan perkembangan mengenai pemberian bonus selain perkara-perkara lain yang dibangkitkan Cuepacs.

Mengenai kadar pemberian bonus itu, beliau berkata ia terserah kepada kebijaksanaan dan kemampuan kerajaan kerana Cupecas memahami keadaan kerajaan yang sedang berhadapan dengan situasi ekonomi tidak menentu.

Pada masa ini, bonus penjawat awam diberi mengikut budi bicara kerajaan berdasarkan kemampuannya dan pada waktu yang baik penjawat awam menikmati bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000.

Sementara itu, Omar berkata pihaknya menyambut baik enam teras Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) bagi mencapai matlamat indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam, terutama usaha memperkasa prasarana di luar bandar.

Beliau berkata Cuepacs mendapati banyak kemudahan awam di seluruh daerah seperti jalan raya dan pondok polis perlu dibaikpulih dan ditingkatkan.

-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment