Thursday, July 2, 2009

SEBENARNYA BERUPA UJIAN ALLAH SWT

Gambar hadapan sekali YDP Kawasan Bukit Gantang Ustaz Mohd Nordin bersama YB Hj Nizar melawat kawasan banjir di Kg Simpang Halt,pada musim piliharaya kecil P059.


77. Tidakkah Engkau (hairan) melihat (Wahai Muhammad), akan orang-orang Yang (pernah) dikatakan kepada mereka: "Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang Yang belum diizinkan), dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat". (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak antara mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun lagi. lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan Kami berperang (pada saat ini)? mengapa Engkau tidak biarkan Kami hingga ke tempoh Yang singkat (iaitu akhir hayat kami)?" Katakanlah (Wahai Muhammad): "Harta benda Yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang Yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun".


Assalamulaikum warahmatullahi wabarokatuh dan salam sejahtera

Yang dihormati tuan pengacara majlis,
YB Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bachok
YAB Dato’ Seri Ir Hj Mohamad Nizar Jamaluddin, Timbalan Persuruhjaya PAS Negeri Perak merangkap Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan, Ahli Parlimen Bukit Gantang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang
Yang Berusaha Us. Zulkefli Ahmad, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang
Yang Berbahagia Tn. Hj. Ismail Yusof, Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat Bukit Gantang dan ahli Jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat Bahagian Bukit Gantang
Saudara Ah Sang, Pengerusi DAP Bukit Gantang dan ahli Jawatankuasa DAP Bukit Gantang
Saudara Thanarajah, pengerusi Kelab penyokong PAS Bukit Gantang dan seluruh ahli jawatankuasa Kelab Penyokong PAS Bukit Gantang
YB Encik Tai Seng Ng, ADUN Kuala Sapetang
Tuan Pengerusi Tetap,
Seluruh ahli jawatankuasa Parti Islam Se-Malaysia, Kawasan Bukit Gantang
Seluruh ahli jawatankuasa Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat Parti Islam Se-Malaysia, Kawasan Bukit Gantang
Para tetamu
Para perwakilan dan pemerhati
Seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian


Alhamdulillah kita menyusun jari sepuluh menadah tangan bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izin dan inayah-Nya dapat kita berkumpul pada pagi yang hening ini bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pendukung jemaah Islam dalam satu pertemuan persaudaraan untuk membentuk dan membina kekuatan serta jati diri bagi memartabatkan daulah Islamiah di bumi Malaysia khususnya di Kawasan Bukit Gantang. Saya mengambil kesempatan ini mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan para perwakilan dan tetamu yang berkesanggupan untuk berada dalam majlis ini khususnya kepada YB Timbalan Presiden yang sudi hadir memenuhi jemputan sebagai perasmi walaupun beliau begitu sibuk dengan hambatan kerja dan tanggungjawab lain yang perlu dilaksanakan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Hari ini kita di negeri Perak di bawah pimpinan Dato’ Seri Ir Hj Mohamad Nizar Jamaluddin berhadapan dengan suasana getir dan penuh kecelaruan disebabkan oleh keangkuhan dan ketamakan pihak musuh yang ingin berkuasa tanpa mempedulikan peraturan dan undang-undang yang mereka sendiri amat agung-agungkan. Mereka sanggup membutakan mata dan memekakkan telinga dengan kritikan dan sindiran sinis daripada pelbagai pihak demi menjayakan hasrat membina kerajaan kudeta di negeri ini. Mereka berasa megah berjalan mendabik dada melaungkan kejayaan dan kekuasaan sedangkan dalam masa yang sama maruah dan kehormatan diri mereka dirongkai dan ditelanjangi satu persatu. Hal inilah yang membezakan antara kita dengan mereka. Kita diajar dan dilatih dalam jemaah dengan tertib dan akhlak yang berteraskan prinsip Islam yang meletakkan kebenaran dan keadilan di puncak walaupun dihimpit dengan pelbagai ancaman dan cabaran. Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana pimpinan kita yang dikemudi oleh Dato’ Seri Hj Mohamad Nizar Jamaluddin sehingga kini masih teguh bertahan untuk menegakkan kebenaran. Marilah kita terus berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT agar diberikan kekuatan kepada pimpinan kita untuk berhadapan dengan musuh laknat ini di samping dipancarkan akal dan helah untuk mengelak dan menjahanamkan perancangan musuh. Marilah juga kita bertekad menanam keazaman untuk sentiasa memberi sokongan padu tanpa bergerak walau sejengkal berada bersama-sama dengan barisan pimpinan yang ketika ini dihimpit dengan ancaman musuh. Kemusnahan dan kehancuran kerajaan pimpinan Dato, Seri Nizar bererti kemusnahan dan kehancuran kepada PAS dan kehancuran dan kemusnahan ini berupa mala petaka yang amat dasyat kepada sinar Islam di negara ini.


Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Segala cabaran dan rintangan yang berlaku kini sebenarnya berupa ujian Allah SWT untuk menguji kita sebagai hamba-Nya. Allah sentiasa menguji manusia di atas muka bumi ini sebagaimana firman-Nya :


Maha suci Tuhan yang berada dalam tangan-Nya kerajaan, Dia Maha Berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu. Dialah Tuhan yang menjadi hidup dan mati bagi kamu untuk menguji dan mencuba kamu dalam kehidupan dunia ini siapakah dalam kalangan kamu yang baik amalannya, Dia ialah Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (Al-Mulk: 1-2)

Di sebalik kepayahan dan keperitan yang kita alami sebenarnya terkandung banyak rahsia yang memberi hikmah dan keuntungan kepada kita. Kemungkinan dalam kekalutan kita berhadapan dengan ancaman musuh sehingga menyebabkan jatuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di negeri ini secara kudeta terdapat satu peringatan daripada Allah SWT kepada kita, sekiranya ketika berada di puncak kekuasaan, kita agak terleka atau alpa sehingga boleh merencatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat andaikata dibiarkan berpanjangan. Dalam masa kita berada dalam tampuk kekuasaan, kemungkinan golongan yang ingin mengambil peluang dan kesempatan untuk kepentingan diri telah berjaya menyusup masuk tanpa disedari, yang tentu sahaja jika dibiarkan berterusan akan turut membawa kebinasaan dan kehancuran sebagaimana yang berlaku kepada UMNO kini. Kemungkinan Allah SWT ingin memelihara kita daripada pelbagai kelemahan tersebut dan jika kita bersabar, Insya-Allah akan dianugerahkan kejayaan yang lebih besar lagi pada masa akan datang. Pimpinan perlu sentiasa berwaspada daripada dihimpit dan di kelilingi oleh golongan yang boleh membawa kebinasaan dan sebagai golongan yang dipimpin , kita perlu sentiasa berwaspada untuk mengelak daripada menjadi golongan pemusnah kepada kemenangan.


Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Pada tanggal 9 Februari 2009, kita kehilangan pemimpin yang amat berjasa kepada pejuangan Islam iaitu Allahyarham Tn. Hj Roslan Shaharum, apabila beliau terlebih dahulu dipanggil mengadap Allah SWT dalam keadaan kita amat memerlukan tenaga dan keringat beliau. Pengorbanan yang dicurahkan oleh beliau untuk perjuangan Islam cukup banyak dan amat membanggakan kita. Allahyarham sanggup mengorbankan jawatan yang disandang apabila diminta bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1999. Selepas tewas, beliau terpaksa berhempas pulas mencari nafkah hidup membesarkan anak-anaknya seramai 11 orang tanpa mengabaikan tugas sebagai pejuang. Kesabaran beliau di samping doa-doa para mujahid sekalian akhirnya dimakbulkan oleh Allah SWT dengan memberi kemenangan buat julung kalinya di Parlimen Bukit Gantang. Apabila diamanahkan sebagai Ahli Parlimen, Allahyarham telah memberikan komitmen yang begitu tinggi untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Walau sesibuk manapun tugasan di luar, Allahyarham pasti akan meluangkan masa untuk bertemu dengan rakyat di Bukit Gantang. Lantaran itu, pengundi yang dahulunya membenci dan mengeji beliau semakin berubah hati disebabkan kemesraan dan kerahmahan Allahyarham. Apatah lagi para penyokong yang semakin kasih dan akhrab dengan beliau. Allahyarham mudah didekati dan mudah mendekati. Sama-samalah kita berdoa memohon Allah SWT menempatkan Allahyarham bersama-sama dengan para syuhada’ yang lain.

Pemergian Tn. Hj. Roslan Shaharum kerahmatullah menyebabkan kekosongan kerusi di Parlimen Bukit Gantang. Dalam kesedihan akibat kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Perak yang drampas rakus oleh Barisan Nasional, kita kehilangan pemimpin yang di sayangi dan terpaksa pula berhadapan dengan pilihan raya kecil. Allah SWT menguji kita dengan keperitan tersebut dan Allah SWT juga menganugerahkan kemenangan dan kejayaan kepada kita walaupun diasak dengan begitu dasyat daripada parti pemerintah. YAB Dato’ Seri Hj.Mohamad Nizar Jamaluddin akhirnya dinobatkan sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang hasil daripada kesepaduan tenaga pelbagai pihak termasuk rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, ahli-ahli Kelab Penyokong PAS dan pasukan pembantu daripada negeri dan kawasan luar. Kejayaan di Parlimen Bukit Gantang amat bererti kepada kita dan Pakatan Rakyat dan berupa mala petaka kepada Barian Nasional. Namun sebagai pejuang Islam, kita diajar supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat kemenangan yang diberikan tanpa rasa bongkak dan angkuh serta menpersendakan orang lain. Kemenangan yang diperoleh bukan suatu anugerah untuk kita berbangga dan bermegah-megah. Kemenangan adalah suatu amanah yang perlu dipikul oleh semua dan sewajarnya, kita akan sentiasa berasa gentar dan bimbang sekiranya amanah tersebut tidak dapat dilaksanakan. Dalam kegembiraan menyambut kemenangan, kita jangan lupa untuk merancang dan mengatur strategi untuk menunaikan segala janji yang ditaburkan dalam pilihan raya lalu. Kita tidak boleh berlepas tangan, berpeluk tubuh memerhati dari jauh membiarkan wakil rakyat yang kita pilih untuk melunaskan janji-janji tersebut. Kita perlu sentiaa sedar bahawa kita berupa rantaian yang saling berkait memegang amanah daripada nikmat kemenangan tersebut. Insya-Allah segala keringat yang kita curahkan akan dinilai oleh Allah SWT.


Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Kini kita berhadapan pula dengan situasi yang lebih runcing apabila keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Dato’ Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah cuba disanggah oleh Barisan Nasional dengan memanipulasikan Mahkamah Rayuan. Dalam keadaan tersepit, kemungkinan mereka terpaksa menerima jalan pembubaran DUN walaupun sebelum ini cuba dinafikan oleh mereka. Apa-apapun, kita semesti sentiasa siap siaga bersedia berhadapan dengan kemungkinan pilihan raya tersebut. Strategi perlu diatur, gerak kerja perlu dipacu, tenaga dan keringat perlu dipalu dengan semaksima mungkin. Kemenangan pada kali amat bererti bagi menentukan masa depan Pakatan Rakyat dan rakyat sendiri. Rakyat amat tagihkan pembelaan setelah sekian lama dikhianati. Kemenangan Pakatan Rakyat bererti kesenangan kepada rakyat. Oleh itu, sebagai pejuang-pejuang dalam PAS, kita perlu memastikan peluang untuk mencapai kemenangan ini perlu diraih. Kemenangan dan kejayaan tidak akan datang bergolek tetapi memerlukan pengorbanan. Korbankanlah apa sahaja untuk perjuangan ini walaupun berhadapan dengan keletihan dan kepayahan. Anggaplah kita akan menjadi golongan yang amat malang sekiranya tidak bersama-sama menyumbang kepada pejuangan suci ini.


Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

PAS kini tidak lagi bersendirian. Kita kini telah menerima dan diterima oleh rakan-rakan parti dalam Pakatan Rakyat. Suatu ketika dahulu, kita dianggap serong oleh mereka dan begitu juga dengan persepsi kita terhadap mereka. Setelah berdamping, kini kita dan mereka sedar, bahawa segala persepsi yang wujud selama ini terlalu menyimpang daripada realiti yang sebenar. Perkara ini semua wujud hasil perancangan yang dibuat oleh Barisan Nasional yang mewarisi kaedah perpecahan yang dilakukan pada zaman kolonial dahulu. Mungkin antara kita dan mereka terdapat perbezaan tetapi di dalamnya masih banyak terkandung persamaan.


Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

PAS kini juga menerima rakan-rakan daripada golongan bukan Muslim yang bersedia memberi sokongan dan bergerak bersama-sama dengan kita sehingga tercetusnya Kelab Penyokong PAS. Di Bukit Gantang, kita amat berterima kasih kepada Saudara Thanarajah dan rakan-rakan dalam Kelab Penyokong PAS yang bertungkus-lumus bekerja untuk kemenangan Pakatan Rakyat. Inilah wajah-wajah pejuang yang tidak pernah mengharapkan habuan dan kesenangan dunia. Jalinan kerjasama antara ahli-ahli PAS dengan ahli-ahli Kelab Penyokong PAS kini begitu utuh dan akhrab dan sewajarnya keakhraban ini perlu dipelihara dan dibajai agar jalinan tersebut akan sentiasa subur mekar dan seterusnya akan mampu menjahanamkan Barisan Nasional di bumi Malaysia.


Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Sebelum saya mengundur diri, saya ingin menyeru kepada kita semua supaya bersedia untuk menghadapi segala cabaran dan menghayati ciri-ciri kemenangan bagi menempah janji Allah serta berwawasan panjang dari dunia sehingga akhirat. Saya ingin memetik beberapa pesanan yang disampaikan oleh Tuan Guru Presiden ketika merasmikan Muktamar PAS Pusat kali ke-53 lalu untuk renungan dan panduan kita bersama iaitu:


1. Menunaikan Amanah yang wajib bagi kesinambungan mesej Islam yang tidak mati dengan wafatnya Rasulullah S.A.W. iaitu amanah memimpin umat dalam segala urusannya dengan Islam. Mengkhianatinya adalah bencana besar yang menjadi tanda kehancuran dunia. Pimpinan Umno yang mengkhianati amanah ini wajib ditentang kemungkarannya terhadap Allah dan negara. Kita pula wajib melengkapkan diri dengan sifat-sifat dan ciri-ciri Parti Allah yang dijanjikan kemenangan dunia dan akhirat dengan Iman dan Taqwa
2. Mentarbiah diri masing-masing dengan kesabaran ketika menghadapi cabaran dengan mengeratkan hubungan kita dengan Allah untuk meningkatkan Iman dan Taqwa , serta meningkatkan ukhuwwah dalam kalangan ahli, bersatulah laksana satu jasad. Wajib bersatu atas perkara prinsip dan beradab dalam perbezaan pendapat dan pendekatan.
3. Beristiqamah di medan perjuangan dengan teguh atas prinsip perjuangan, wajib melaksanakan tugas dan memikul amanah di mana sahaja kedudukannya dalam parti, dan menerima cabaran yang dihadapi, tanpa mengira penat-lelah, dan bersedia menyumbangkan segala pengorbanan yang diperlukan agar janji Syurga Allah SWT sama-sama menjadi buruan dan tekad kita bersama

Akhirnya, saya sekali lagi bagi pihak PAS Kawasan Bukit Gantang mengambil kesempatan merakamkan jutaan terima kasih kepada para dermawan yang sudi menyumbangkan derma bagi menjayakan aktiviti kita sepanjang tahun ini. Kepada tetamu yang hadir pada pagi ini dan para perwakilan serta pemerhati, saya merakamkan ucapan terima kasih.

Sekian, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.

MOHD NORDIN B. JAAFAR
Yang Dipertua
PAS Kawasan Bukit Gantang

No comments:

Post a Comment