Saturday, August 27, 2011

Selebriti Man Kidal,Azharina,Firdaus,Farawahida dan Nubhan dikantoi wartawan jadi-jadian.

SHAH ALAM – Pemuda didakwa menyamar sebagai pemberita akhbar Sinar Harian dengan memperdayakan beberapa selebriti, dituduh di Mahkamah Majistret di sini, semalam.





Amar Izzudin Abdul Majid, 22, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menipu Sinar Karangkraf Sdn Bhd dengan menyamar sebagai wartawan akhbar :Sinar Harian.





Dia dilihat selamba, ketika pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Hafizah Abd Rajak.





Pertuduhan menyebut, “Bahawa kamu pada 9 Ogos 2011, lebih kurang 3.30 petang di Sinar Karangkraf Sdn Bhd, Lot 2, Jalan Sepana, 15/ 3 Off Persiaran Selangor, Seksyen 15 dalam Daerah Petaling, dalam negeri Selangor Darul Ehsan telah menipu Sinar Karangkraf Sdn Bhd dengan lakukan penyamaran sebagai wartawan akhbar :Sinar Harian:. Dengan itu, kamu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama”.





“Saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan,” katanya.





Jika sabit kesalahan, pemuda yang tidak lekang daripada senyum itu, boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.





Peguamnya, Datuk Mohd Taqiyuddin Yahya, memohon ikat jamin RM5,000 ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya, R Hemavthi dikurangkan kerana penjamin Amar hanya berkemampuan menyediakan RM2,500.





“Jaminan itu dianggap tinggi kerana bapa tertuduh hanya bekerja sendiri dan memerlukan wang perbelanjaan memandangkan hendak menyambut Aildilfitri beberapa hari lagi.





“Selain tertuduh tinggal bersama keluarga di Kajang, bapanya juga menanggung perbelanjaan dua lagi anaknya masing-masing sedang belajar di kolej dan sekolah menengah,” kata Mohd Taqiyuddin.





Akhbar ini, pada 10 Ogos lalu, secara eksklusif mendedahkan penyamaran seorang lelaki dikenali Amar @ Jihan yang berjaya dibongkar setelah dia ditahan polis di restoran Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur ketika sedang mengadakan sesi fotografi palsu melibatkan sekumpulan artis, konon untuk terbitan khas Sinar Harian sempena Aildilfitri.





Antara artis yang hadir ketika sesi fotografi palsu itu, ialah Man Kidal, Azharina, Firdaus, Farawahida dan Nubhan.





Ketua Meja Hiburan akhbar :Sinar Harian,: Arney Syema Anua menerima maklumat berhubung seorang suspek dipercayai menyamar sebagai wartawan dan membuat laporan polis pada 8 Ogos 2011.





Bertindak daripada laporan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam telah menjalankan risikan dan menjejak suspek hingga tertangkap pada 9 Ogos lalu.





Ketika dibawa ke mahkamah semalam, Amar diiringi pegawai penyiasat kes, Sarjan Kahar Ngah, bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Shah Alam, Asisten Superintendan Sarjuni Maksud.



Amar tiba di mahkamah jam 8.30 pagi bersama peguamnya bagi menghadapi pertuduhan itu.



Mahkamah membenarkan dia diikat jamin, RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 27 September depan untuk dokumentasi kes.

No comments:

Post a Comment