Saturday, October 24, 2009

Cadangan Tok Guru Nik Aziz ke Majlis Syura


KUALA LUMPUR - Cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengadakan Muktamar Khas bagi membincangkan kedudukan ‘dua tiga kerat pemimpin bermasalah’ akan dibawa ke Majlis Syura.

Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berkata, beliau juga akan menemui Nik Aziz itu untuk mendapatkan penjelasan dengan lebih mendalam berhubung kenyataan yang disiarkan dalam blog Menteri Besar Kelantan itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, sukar untuk menentukan sama ada kenyataan tersebut adalah pendapat peribadi Nik Aziz ataupun ditulis oleh individu lain yang mempunyai kepentingan tertentu. Justify Full
“Saya sendiri baru mengetahui perkara ini dan saya rasa biarlah kita dapatkan penjelasan secara terperinci daripada Mursyidul Am sendiri dalam mesyuarat Majlis Syura nanti yang akan diadakan pada masa terdekat," katanya.

Semalam, Nik Aziz dipetik dari blognya berkata, perlu ada perubahan dalam ‘pemain-pemain penting’ yang menduduki kerusi kepimpinan Pas di peringkat pusat melalui Muktamar Khas.

Muktamar itu juga akan membincangkan kedudukan ‘dua tiga kerat pemimpin bermasalah’ termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin yang pro-UMNO.

Ketika ditanya adakah perlu untuk Pas mengadakan Muktamar Khas itu, Nasharudin berkata, isu berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Syura terlebih dahulu bagi mendapatkan pandangan secara jelas daripada Nik Aziz.

"Ini adalah tulisan yang dikatakan dalam blog beliau (Nik Aziz) dan saya tidak boleh membuat apa-apa andaian sama ada perlu atau tidak Pas mengadakan Muktamar Khas, kita akan mendapat penjelasan sendiri daripada Tok Guru (Nik Aziz),” katanya.

Beliau berkata, parti itu sentiasa terbuka dengan cadangan atau nasihat daripada pemimpin tertinggi parti seperti Nik Aziz demi kebaikan parti.

"Pas sentiasa terbuka dengan sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin apatah lagi dari Mursyidul Am sendiri. Tetapi, ini hanyalah kenyataan peribadi dan bukan pendirian daripada parti,” katanya.

No comments:

Post a Comment