Thursday, October 22, 2009

Sivakumar, Enam Lain Dapat Kebenaran Untuk Cabar Keputusan SPR


KUALA LUMPUR, 22 Okt -- Bekas Speaker Perak V. Sivakumar dan enam lagi diberi kebenaran oleh Mahkamah Tinggi di sini Khamis bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.

Sivakumar, ADUN pembangkang Chen Fook Chye, Tai Singh Ng dan A. Sivanesan serta tiga pengundi Ahmad Sabry Wahab (Behrang), Abdul Latif Ariffin (Changkat Jering) dan Foo Hon Wai dari Jelapang diberi kebenaran untuk mengemukakan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan SPR itu.

Sebelum ini, SPR mengambil keputusan untuk tidak mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang berikutan wakil rakyat kerusi berkenaan menjadi ADUN bebas.

Hakim Lau Bee Lan membuatkan keputusan itu dalam kamar selepas menolak bantahan awal Pejabat Peguam Negara bahawa pemohon itu tidak mempunyai 'locus standi' atau hak undang-undang untuk mencabar keputusan SPR.

Sebaliknya, hakim itu memerintahkan bahawa Sivakumar dan enam lagi mempunyai 'locus standi' untuk berbuat demkian (mencabar keputusan SPR).

Berikutan keputusan hari ini, peguam pemohon, Ranjit Singh, berkata mereka akan memfailkan permohonan semakan kehakiman di mana mahkamah akan menentukan tarikh untuk mendengar perkara itu.

Hakim Lau juga tidak menerima hujahan Pejabat Peguam Negara bahawa permohonan itu bersifat akademik semata-mata berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 April lepas bahawa SPR dan bukan Speaker mempunyai hak untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi pilihan raya.

Pemohon berkanaan mengemukakan saman terhadap SPR dan wakil rakyat, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang).
-BERNAMA

No comments:

Post a Comment