Sunday, October 25, 2009

Majlis Syura dan Jawatankuasa Pusat bincang keperluan muktamar khas

KUALA LUMPUR, 25 Okt: PAS mengambil pendirian untuk membincangkan cadangan Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang keperluan mengadakan muktamar khas "dalam tempoh terdekat ini."

Pendirian ini dinyatakan melalui satu kenyataan ringkas lima perenggan dikeluarkan Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad.

Kenyataan itu memberitahu cadangan Mursyidul Am itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Syura dan Jawatankuasa Pusat.

PAS juga akan menuntut penjelasan daripada Mursyidul Am berhubung pandangannya tentang keperluan mengadakan muktamar khas.

"Sama ada muktamar khas luar biasa itu perlu diadakan atau tidak, kita perlu dengar dahulu penjelasan daripada Mursyidul Am," kata Idris ketika dihubungi Harakahdaily.

Idris juga menggesa pemimpin-pemimpin PAS agar tidak membincangkannya secara terbuka untuk mengelakkan isu ini dimanipulasi.

"Adalah menjadi satu kewajipan untuk setiap pimpinan dan ahli bertenang dalam menghadapi isu ini serta tidak melatah hingga memberikan peluang kepada pihak luar melontarkan lebih banyak peluru atau prasangka yang boleh memburukan imej parti," tegas kenyataan itu lagi.

harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment