Thursday, October 8, 2009

Tindakan SIS hina hukum Islam -Pemuda Pas

TAIPING - Tindakan segelintir pihak meminta kerajaan mengkaji semula hukuman enam sebatan ke atas Kartika Dewi Shukarno, 32, yang kononnya kejam dan mencabul hak asasi manusia disifatkan seperti menghina hukum Islam.

Hukuman yang dikenakan ke atas model sambilan dari Sungai Siput itu adalah wajar berikutan kesalahannya meminum arak sudah disabitkan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan1987).

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas (DPP) Kawasan Taiping, Mohd Yaakub Abdullah Puad berkata, dia mewakili Dewan Pemuda Pas Kawasan Taiping membuat laporan polis terhadap Sister In Islam (SIS) kerana kenyataan dan memorandum mereka yang dibuat tempoh hari adalah penghinaan kepada agama Islam.

Menurutnya, tindakan SIS dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat menyuruh mengkaji semula hukuman berkenaan disifatkan biadab kerana menceroboh kedaulatan agama Islam sebagai agama rasmi negara serta perundangan syariah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan diwarisi sejak zaman kesultanan Melayu (sebagaimana termaktub dalam Undang-undang Negeri-negeri Melayu)

“Kenyataan mereka (SIS) menyentuh dan menjejaskan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam bagi negeri-negeri bercanggah dengan prinsip dalam Perkara 3 (2) Persekutuan iaitu menghina hukum syarak yang berkuat kuasa melalui enakmen negeri dan mengguris sensitiviti orang Islam,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas membuat laporan di Balai Polis Taiping, di sini.

Mohd Yaakub berkata, semua pihak yang terlibat dalam tuntutan memorandum bersifat menghasut itu patut didakwa.

Katanya, pihak berkuasa juga perlu menyiasat siapa atau organisasi mana yang membiayai NGO berkenaan untuk menjalankan kegiatan mereka itu dan seterusnya mengharamkan pertubuhan berkenaan.

“Pendapat mereka sudah terpesong jauh, daripada isu kecil mereka sudah menyentuh isu lain sehingga melarat meminta supaya hukuman itu dihapuskan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendesak supaya membatalkan penerbitan akhbar dan media yang menyuarakan pandangan bersifat menghasut untuk menghapuskan penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah negeri atau menghina ajaran Islam.

Menurutnya, semua pihak di negara ini sepatutnya menghormati kebebasan Mahkamah Syariah dan tidak mencampuri urusan keadilan mahkamah berkenaan.

Beliau berharap hukuman yang dikenakan ke atas model tersebut wajar dijadikan teladan kepada masyarakat Islam di Malaysia khususnya supaya tidak melakukan perkara yang dilarang oleh agama.

“Itu baru hukuman di dunia atas kesalahan yang dilakukan. Pihak lain tidak perlu mencampuri urusan berkenaan.

“Kartika telah insaf dan menerima keputusan mahkamah dengan rela, mengapa orang lain pula ingin campur tangan,” katanya.
sinar harian

No comments:

Post a Comment