Sunday, October 4, 2009

Bagan Pinang:'Projek terbengkalai' lebih besar daripada isu calon tempatan

BAGAN PINANG, 4 Okt - PAS menjawab tohmahan yang dilemparkan Umno-BN terhadap calon PAS yang merupakan bukan calon tempatan dengan mendedahkan projek-projek yang terbengkalai semasa calon BN, Tan Sri Isa Abdul Samad menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan sejak 1984 sehingga 2004.

Pengarah Jentera Operasi PAS Pilihanraya Kecil Dun Bagan Pinang, Salahuddin Ayub berkata isu calon PAS bukan anak tempatan adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan isu-isu yang timbul semasa Isa menjadi Menteri Besar dan Adun Linggi.

"Apalah sangat isu anak tempatan jika dibandingkan dengan isu-isu projek terbengkalai semasa Isa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 20 tahun," katanya pada sidang media harian Pakatan Rakyat di Markaz Induk PAS, Jalan Pantai baru-baru ini.

Tambahnya, Isa juga ditolak menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 lalu kerana didapati bersalah terlibat dengan amalan rasuah.

Salahudin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian turut mendedahkan mengenai satu projek pembinaan jalan raya yang menghubungkan antara Jalan Pasir Panjang ke Linggi iaitu sepanjang 10km yang terbengkalai sejak tahun 1978.

"Apa dia buat selama 20 tahun jadi Menteri Besar sehingga jalan yang sepanjang 10km ini boleh terbengkalai dalam tempoh yang begitu lama?" ujarnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan pengundi Bagan Pinang menolak calon BN dan menerima calon PAS pada pilihan raya kali ini.

Sebaliknya, beliau menyatakan calon PAS, Zulkefly Mohd Omar pernah terlibat dengan projek Nur Incenarator di Broga sebagai bukti penglibatan beliau membantu membela nasib rakyat sebelum menjadi calon,"

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pertemuan susulan yang akan diadakan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pengundian pos yang akan dijalankan pada 8 dan 9 Oktober akan datang.

"Kami akan bertemu dengan Tan Sri Abdul Aziz dan SPR esok(5 Oktober) bagi membincangkan secara lanjut mengenai pengundian pos serta persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat sebelum ini.

"Ini bukan untuk kepentingan kami sebaliknya bagi memastikan hak rakyat khususnya para tentera pada masa akan datang," tegasnya.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman dan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefli Ahmad.

No comments:

Post a Comment