Monday, September 28, 2009

Bicara Rasuah Osman dan Jamaluddin ,projek bernilai RM180 juta.

Mahkamah Sesyen di sini diberitahu projek pembangunan tanah seluas 36 hektar bernilai RM180 juta ada dicadangkan dalam mesyuarat penuh Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) tetapi ia tidak dibincangkan secara terperinci.

Pembantu Tadbir MDPT Wan Nora Hasida Ngah, 26, berkata beliau terlibat menyediakan dan mencatat minit mesyuarat penuh anggota majlis berkenaan sejak 2007 hingga September 2008 selain menjalankan tanggungjawab hakikinya yang lain.

"Cadangan untuk memajukan tanah seluas 36 hektar (90 ekar) bagi pembangunan bandar baru di Seri Iskandar ada dicadangkan, tetapi ia tidak dibincangkan secara terperinci," katanya semasa diperiksa balas oleh peguam Mohd Roni Abdul Rahman dalam perbicaraan kes rasuah berkaitan projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar membabitkan dua bekas Exco kerajaan negeri dan tiga yang lain.

Saksi itu turut membacakan kepada mahkamah minit mesyuarat anggota majlis MDPT yang dicatat olehnya pada 18 Mei 2007 bahawa mesyuarat itu sebulat suara bersetuju untuk meneruskan projek pembangunan itu secara usahasama dengan sebuah syarikat mengikut terma dan syarat tertentu tetapi ia tertakluk kepada majlis mesyuarat kerajaan (MMK) Perak (mesyuarat Exco).

Beliau juga membacakan minit mesyuarat MDPT pada 26 Dis 2007 iaitu pentadbiran tanah sedang menunggu ulasan dan pandangan Jabatan Teknikal daerah sebelum kertas cadangan projek itu disediakan untuk dibawa ke majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Seorang lagi saksi, juruteknik MDPT Mohd Sahar Arif, 48, pula memberitahu mahkamah projek yang dicadangkan itu belum dilaksanakan dan tanah berkenaan masih menjadi milik kerajaan negeri.

"Saya hadir dalam mesyuarat penuh tetapi tidak mengetahui mengenai cadangan projek itu," katanya.

Pada 25 Ogos lepas, dua Exco kerajaan negeri ketika itu Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu, 58; Jamaluddin Md Radzi, 53; dan dua lagi iaitu bekas Adun Bota daripada PKR Usaili Alias, 57; dan bekas anggota MDPT Zul Hassan, 46; didakwa melakukan kesalahan rasuah berhubung projek pembangunan tanah 36 hektar bernilai RM180 juta di Bandar Baru Seri Iskandar di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; di Restoran Kluang Station Cafe di Medan Istana, Bandar Ipoh Raya di sini; dan di Aquarias Restaurant & Bar, Tingkat 4, Summit Hotel, Bukit Mertajam, Pulau Pinang antara 14 hingga 19 Ogos tahun lepas.

Zul juga didakwa menerima rasuah seorang perempuan bagi tujuan mengadakan hubungan seks pada 8.10 malam 14 Ogos 2008 di Sri Sayang Apartment di Pulau Pinang.

Seorang ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail, 30, dituduh menerima habuan rasuah seks di Sri Sayang Apartment pada 14 Ogos 2008 lepas.

Terdahulu Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi untuk menggugurkan kesemua lapan pertuduhan terhadap tertuduh kelima, seorang juruteknik PKNP Ruslan Sahat kerana tertuduh telah meninggal dunia pada 3 Ogos lepas.

Pendakwaan dijalankan oleh Mohamad Jazamuddin dan Nafhatun Mohd Pozi manakala kesemua tertuduh diwakili Mohd Roni, Surjan Singh, S. Muthu, Yunos Ali, Mohd. Asri Osman dan Ranjit Singh.

Perbicaraan disambung hari ini 29 September.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment