Tuesday, September 29, 2009

Beginilah kisahnya bicara V.Sivakumar Speaker Sah Perak tangguh lagi!

KUALA LUMPUR -- Mahkamah Tinggi di sini akan membuat keputusan pada 22 Okt sama ada akan memberikan kebenaran atau tidak kepada bekas Speaker Perak V.Sivakumar dan enam lain untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.

Hakim Lau Bee Lan membuat keputusan itu di dalam kamar Selasa selepas mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak-pihak yang berkenaan mengenai kuasa speaker, mengenai sama ada speaker mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan jawatan atau beliau hanya bertindak sebagai "posmen" untuk menyerahkan surat peletakan jawatan wakil rakyat kepada SPR untuk diputuskan.

Sivakumar diwakili peguam Edmund Bon dan Razlan Hadri Zulkifli manakala SPR diwakili Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaludin Md Said, Suzana Atan dan Andi Razalijaya.

Sivakumar, tiga wakil rakyat pembangkang Chen Fook Chye, Tai Sing Ng dan A. Sivanesan dan tiga pengundi -- Ahmad Sabry Wahab (Behrang), Abdul Latif Ariffin (Changkat Jering) dan Foo Hon Wai (Jelapang)-- memohon kebenaran untuk semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan SPR yang tidak mengisytiharkan ketiga-tiga kerusi itu kosong peletakan jawatan wakil rakyat masing-masing, yang mengumumkan menjadi wakil rakyat Bebas.

Mereka mengemukakan saman terhadap SPR dan tiga wakil rakyat berkenaan -- Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang).

Jamaluddin dan Osman menang di kerusi masing-masing atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala Hee, atas tiket DAP pada pilihan raya umum tahun lepas.

Mereka keluar dari parti masing-masing dan menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional, membawa kepada kejatuhan kerajaan pakatan PAS-PKR-DAP di Perak, yang ketika itu diketuai Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Pada 3 Feb, Sivakumar memaklumkan SPR bahawa tiga kerusi itu kosong selepas menerima surat yang kononnya surat peletakan jawatan tiga wakil rakyat itu.

SPR bagaimanapun meragui peletakan jawatan itu dan enggan mengadakan pilihan raya kecil di kawasan berkenaan.

Sivakumar dan keenam-enam mereka memohon diisytiharkan bahawa kerusi DUN Behrang, DUN Changkat Jering dan DUN Jelapang menjadi kosong berikutan peletakan jawatan Jamaluddin, Osman dan Hee, dan injunksi untuk menghalang mereka daripada bertindak dan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Mereka juga memohon writ "quo warranto" untuk memerintahkan ketiga-tiga wakil rakyat itu untuk memberikan alasan kenapa mereka masih menjadi wakil rakyat di kawasan masing-masing dan menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai wakil rakyat.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment