Friday, September 25, 2009

Jenazah Allahyarham Noordin Mohd Top Dibawa Ke Malaysia 1 Okt

Jenazah Noordin Mohd Top, yang ditembak mati oleh polis Indonesia dalam serbuan di Solo, Jawa Tengah pada 17 Sept akan dibawa ke Malaysia pada 1 Okt.

Ketua Polis Indonesia Jen Bambang Hendarso Danuri berkata jenazah Noordin akan dituntut pada Khamis depan dan polis Indonesia sudah pun menerima wakil daripada Polis Diraja Malaysia berkaitan urusan mengambil jenazah itu.

"Khamis nanti baru diambil (jenazah itu)," katanya seperti dipetik media massa online tempatan di sini, Jumaat.

Beliau berkata jenazah yang diburu oleh polis Indonesia selama sembilan tahun itu, yang kini ditempatkan di Hospital Polis Kramat Jati di sini tidak diberikan sebarang kawalan keselamatan yang luar biasa dan ketika dibawa keluar juga nanti tidak akan dikawal secara khusus.

Semalam tiga anggota polis Malaysia dilaporkan telah pergi ke Hospital Polri dengan diiringi para pegawai polis Indonesia, namun mereka tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media massa.

Menurut berita Bernama difahamkan tiada anggota keluarga Noordin dari Johor yang akan datang ke sini untuk menuntut mayat lelaki itu walaupun media massa tempatan melaporkan bahawa isteri dan abang Noordin akan ke sini pada 27 Sept.

Noordin dan tiga rakannya rakyat tempatan mati dalam serbuan polis itu yang melibatkan berbalas tembakan di sebuah rumah di mana polis kemudiannya menjumpai 200 kilogram bahan letupan, beberapa senjata lain, komputer riba dan dokumen.

Pengebumian seorang rakan Nordin dilaporkan menimbulkan masalah apabila sebilangan besar penduduk di kampung keluarganya menolak jika mayat itu mahu disemadikan di situ kerana tidak mahu nama kampung mereka dicemarkan dan dikaitkan dengan pengganas oleh masyarakat.

No comments:

Post a Comment