Wednesday, November 11, 2009

JPN dan PPD lepas:Guru sertai perkhemahan trauma, diugut ibu bapa

KUALA LUMPUR: Lebih 20 guru yang menyertai perkhemahan 1Malaysia di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan yang mengorbankan tiga nyawa selepas jambatan gantung yang menghubungkan pusat itu dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang, di Kampar, Perak, runtuh, kini bukan saja trauma malah ada yang menerima ugutan daripada ibu bapa pelajar ekoran insiden itu.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, sehubungan itu menggesa Kementerian Pelajaran menghantar kaunselor bagi menangani trauma di kalangan guru berkenaan, selain membantu murid dan ibu bapa yang terbabit dalam insiden itu yang juga mengalami masalah sama.

"Hasil pertemuan NUTP dengan guru berkenaan baru-baru ini mendapati, mereka masih lagi berada dalam keadaan trauma dan berasa diri mereka bersalah dan dipandang serong masyarakat setempat seolah-olah guru mengakibatkan kejadian itu," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Dalam kejadian jam 10.30 malam 26 Oktober lalu, 30 hingga 50 murid dan seorang guru pengiring yang menyertai perkhemahan itu terjatuh ke dalam Sungai Kampar selepas jambatan gantung yang digunakan mereka runtuh secara tiba-tiba.

Hashim berkata, dua guru yang ditumbuk bapa pelajar juga berhasrat berpindah dari sekolah di mana mereka mengajar ekoran trauma dan gangguan yang dihadapinya.

Guru berkenaan juga sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan NUTP berharap kementerian memberi kerjasama bagi mengelakkan daripada mereka terus tertekan kerana ia akan menjejaskan prestasi mereka.

Katanya, NUTP juga mencadangkan agar sebarang kegiatan ko-kurikulum yang membabitkan pelajar sekolah rendah tidak diadakan di kawasan mempunyai sungai dan air terjun.-berita harian online.

No comments:

Post a Comment