Tuesday, November 24, 2009

Dr Abu Hassan Hasbullah-pemuda Pas mesti ke hadapan.



Parit Buntar - Baru-baru ini saya hadir dalam satu program Inkues Pilihanraya anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri yang menampilkan Prof Madya Dr Abu Hasan Hasbullah sebagai tetamu khas pada pagi itu. Sebelum Pilihanraya Umum 12 tahun 2008 yang lalu saya tidak mengenali beliau secara jelas siapakah tokoh ini walaupun sebelum itu namanya ada pernah didengari sebagai pensyarah media di Universiti Malaya. (Penulis yang berbaju putih)

Saya dan isteri adalah antara peminatnya. Setiap hujah yang dihuraikan khususnya dalam Analisis Awani menarik minat saya akan setiap perkataan yang dihamburkan itu begitu menarik. Penggunaan bahasanya mencerminkan futuristik.Stail cermin mata besar yang menjadi imejnya menjadikan ia lebih menarik apatah lagi ia menguasai setiap segmen yang dianjurkan. Menutup hujah ahli akademik lain yang banyak stail primitif iaitu hanya menyokong sebelah pihak tanpa penyelidikan tetapi mengampu demi survival kerjaya mereka.

Dalam artikel ini bukan saya hendak memuji beliau, akan tetapi ada beberapa lontaran ideanya yang menjadikan saya terfikir perlunya perubahan besar dilakukan dalam Dewan Pemuda PAS agar dapat mengatasi kelemahan-kelemahan yang ada.

Semasa sesi soal jawab, saya ada bertanya kepada beliau tentang kumpulan anak-anak muda atau belia di dalam negara kita ini. Sejauhmanakah kecenderungan mereka kepada politik dan bagaimana usaha untuk menarik belia ini bersama-sama dengan PAS.

Jawapan beliau mudah. Golongan belia memerlukan sokongan untuk mereka bergerak, perlukan perhatian bila ditimpa masalah dan mencari-cari siapa yang boleh diharapkan memberi tawaran menarik kepada mereka. Justeru beliau mengatakan apakah Dewan Pemuda PAS tawarkan kepada muda-mudi ini. Apakah tawaran-tawaran menarik yang boleh menyebabkan golongan belia ini mahu bersama PAS.

Bagi saya Pemuda PAS mesti keluar dari kepompong cara lama iaitu dengan menawarkan aktiviti-aktiviti tradisi yang dilingkungi sesama kita sahaja. Kita mesti memikirkan lebih kehadapan dalam usaha menjaga kebajikan golongan belia dari pelbagai bangsa ini. Antaranya soal pendidikan, kerjaya, perniagaan, sukan, agama, politik dan sosial.


Kita perlu menguasai maklumat dan maklumat itu perlu dicurahkan kepada mereka. Golongan belia sentiasa tercari-cari dimanakah hala yang boleh mereka tuju untuk melanjutkan pendidikan serta bantuan pelajaran. Begitu juga apabila habis belajar mereka memerlukan pekerjaan dan mereka mencari haluan untuk pekerjaan. Begitu juga dengan kegiatan-kegiatan lain yang memerlukan sokongan.

Justeru kita perlu mengambil inisiatif sebagai Pusat Informatif Belia yang mana golongan belia boleh menjadikan Pemuda PAS sebagai tempat rujukan tempat permasalahan seperti tadi. Pemuda PAS perlu memiliki maklumat selengkapnya bagaimana kita boleh membantu belia dalam hal ini.

Sebagai contoh Dewan Pemuda boleh menyediakan maklumat tentang bantuan pendidikan yang disediakan oleh pihak kerajaan dan mana-mana institusi kewangan. Kalau dalam bidang kerjaya Pemuda PAS perlu mempunyai maklumat terkumpul yang boleh diketahui oleh belia dimanakah haluan mereka untuk berkerja. Sekiranya belia memerlukan maklumat tentang perniagaan serta pertanian yang mereka boleh ceburi, kitalah pemberi maklumat pada mereka. Soal nikah kahwin, kita boleh beri info tentang Jabatan Agama Islam serta tawaran kursus perkahwinan. Begitu juga dengan sukan dan aktiviti sosial. Pemuda PAS hendaklah bukan semata-mata mencari ahli,daftar pemilih dan menganjurkan program sukan atau sosial sesama kita sahaja.

Belia sebenarnya dahagakan maklumat yang boleh membantu mereka. Kini adalah zaman maklumat. Ini adalah inisiatif yang boleh diambil oleh Dewan Pemuda PAS bagi membantu belia dalam negara kita lantas apabila kita boleh memayungi mereka. Oleh itu belia akan menjadikan kita tempat rujukan atau pusat informatif yang berkesan kepada mereka. Inilah satu cara, peluang dan ruang yang boleh Pemuda PAS gunakan dalam menarik minat sokongan belia pada PAS. Wujudkan satu pusat informasi ini sama ada melalui laman web atau pusat sehenti untuk mereka dekati.

Bagi saya golongan belia mungkin tidak semua menyertai parti politik atau berminat politik tetapi sekurang-kurangnya mereka mengenali PAS dan tahu apa PAS boleh buat. Kita berharap persepsi belia pada PAS bukan sahaja sebuah parti politik semata akan tetapi sebagai rakan informatif mereka.

(Penulis merupakan Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar)

No comments:

Post a Comment