Tuesday, September 8, 2009

ISU KEPETINGAN RAKYAT-PAS SANGGUP BINCANG


KUALA LUMPUR, 9 Sept -- Pas tidak akan mengadakan sebarang rundingan termasuk kerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan pada masa depan tetapi sedia berunding sekiranya ia berkaitan isu kepentingan rakyat, kata setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali.

"Dalam konteks politik dan membentuk kerajaan, Pas sudah ada polisi untuk terus bersama Pakatan Rakyat dan sudah menguasai beberapa buah negeri, (maka) kerjasama politik dengan Umno tidak perlu diadakan apa-apa perbincangan lagi," katanya kepada pemberita di ibu pejabat parti itu di sini Rabu.

Mustafa berkata Pas sedia mengadakan rundingan dengan Umno sekiranya ia berkaitan dengan isu kepentingan rakyat dan melibatkan kerajaan negeri dan Pusat seperti perbincangan Majlis Tanah Negara berkenaan pembangunan sesebuah negeri di bawah pemerintahan Pas.

"Rundingan itu boleh diadakan juga jika ada kepentingan masyarakat umum dan negara, Pas boleh dengan sesiapa untuk bincang soal negara ini seperti isu Palestin, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tapi dari sudut kerjasama Pas dan Umno dalam politik, tidak," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin lepas bahawa Umno sanggup berunding dengan Pas untuk kepentingan umat Islam negara ini tetapi tidak rela jika Umno dihina oleh sesiapa sekalipun.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment