Thursday, September 3, 2009

TAHNIAH! MUSA HASAN DARI MAT SABU

KUALA LUMPUR, 4 Sept: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu mengucapkan 'tahniah' kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan yang disambung perkhidmatannya sehingga 12 September tahun depan.

"Saya faham, (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) tentu mahu Ketua Polis Negara yang boleh berkerjasama dengan kerajaan dan parti yang menguasai kerajaan.

"Jika hanya Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sahaja yang boleh berkerjasama dengan kerajaan dan parti yang menguasai kerajaan, tentulah perkara itu menyusahkan Najib dan Barisan Nasional (BN) hendak memerintah.

"Oleh sebab itu, KPN seperti Musa amat diperlukan oleh Najib," kata beliau sambil menyatakan bahawa polis, SPRM dan Jabatan Peguam Negara sering didakwa menjadi "hulubalang-hulubalang di dalam istana pemerintahan BN".

Beliau juga faham, katanya, jika Najib dan kerajaannya hanya mengharapkan kumpulan-kumpulan seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Majlis Pemuafakatan Ummah (Pewaris) atau mereka yang memijak-mijak kepala lembu, tentulah kuasa yang ada di tangan BN sukar dipertahankan.

Di pihak Musa pula, kata Mohamad, beliau tentulah banyak urusan yang masih terbengkalai yang perlu diselesaikan.

"Saya yakin, Musa tentu kenal tokoh-tokoh perniagaan seperti BK Tan dan Tengku Goh. Malangnya, ada orang yang menuduh mereka sebagai penjenayah.

"Tentulah Musa masih ada lagi kerja yang belum diselesaikan untuk menyiasat sejauhmanakah kebenaran tuduhan itu," kata beliau yang juga menyatakan adalah perkara biasa baginya untuk "berurusan" dengan pihak polis.

Mohamad juga faham, walaupun terdapat tahanan yang mati dalam tahanan polis dan pelbagai perkara lain yang menjadi kritikan umum terhadap pihak polis ketika Musa menjadi KPN, beliau tidak perlu mengambil tanggungjawab serta meletak jawatan kerana budaya sedemikian tidak diamalkan oleh mana-mana pihak dalam negara ini.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Tan Sri KPN. Bukan senang hendak mencari tokoh sepertinya," kata beliau.

harakah.

No comments:

Post a Comment