Monday, November 30, 2009

PIJAK GAMBAR KATAK LOMPAT: SIAPA AJAR BAKAR GAMBAR?

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) cukup hairan dengan ulasan akhbar berkaitan pimpinan DAP menggunakan gambar 3 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menjadi bebas sebagai alas kaki menjadi isu yang sahaja dibesarkan untuk memburukkan Pakatan Rakyat (PR). DPPN Pk mempertikaikan tindakan Pergerakan Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang jelas menambahkan kemarahan rakyat dengan membakar gambar Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang semalam semasa himpunan haram yang di anjurkan oleh mereka.

DPPN Pk kesal dengan tindakan menggunakan gambar seorang pemimpin sebuah kerajaan negeri dan juga Ketua Menteri yang dipilih oleh rakyat menjadi bahan untuk dibakar gambarnya adalah perbuatan biadap. Jika pimpinan DAP yang dikatakan tidak pernah menyertai kursus Biro Tatanegera (BTN) hanya menggunakan gambar 3 ADUN ‘katak lompat’ tersebut sebagai alas kaki dipertikai, bagaimana pula dengan Pemuda UMNO / BN yang pernah menyertai BTN pula menggunakan gambar tersebut untuk dibakar adalah amat pelik dan menunjukkan sikap kebencian adalah jelas.

DPPN Pk meminta agar pengamal media supaya tidak mengamalkan sikap “double standard” di dalam melaporkan berita yang menyebabkan rakyat tidak akan menerima lagi maklumat atau berita yang akan dilaporkan. Rakyat yang dahagakan sumber maklumat dan berita yang telus serta benar akan mencari alternatif sebagai kebenaran yang perlu diperjuangkan.

Malaysia fell to its worst ranking!-Corruption Perception Index(CPI)

Malaysia fell to its worst ranking and score in 15 years in Transparency International's Corruption Perception Index (CPI) for 2009. Malaysia plunged nine places from last year's 47th CPI ranking to 56th position. Malaysia's CPI score plunged to the lowest in 15 years to 4.5. Its previous worst scores were 4.8 in 2000 and 4.9 in 2002.





Year

Ranking

Score

No of countries

2001

36

5.0

91

2002

33

4.9

102

2003

37

5.2

133

2004

39

5.0

146

2005

39

5.1

159

2006

44

5.0

179

2007

43

5.1

180

2008

47

5.1

180

2009

56

4.5

180



Highest scorers in the 2009 CPI were New Zealand at 9.4, Denmark at 9.3, Singapore and Sweden tied at 9.2 and Switzerland at 9.0.





A Merdeka Centre poll in September and October this year found that 74 per cent of Malaysians were dissatisfied with the government’s handling of graft and 67 per cent were also unhappy with how the administration dealt with social problems.

PAFA- Apa kata DS Nizar.-TIDAK TINGGALKAN PAFA

Sepanjang berada bersama DS Nizar Ahad lalu,kita mendapat maklumat melalui mulut DS Nizar tentang PAFA.

DS Nizar menyatakan semasa beliau mengambil-alih PAFA peruntukan atau geran FAM untuk negeri Perak tahun 2008 sudah habis digunakan oleh pentadbiran lama.Mereka mengunakan untuk melangsaikan perbelanjaan 2007.Tetapi sebaliknya apabila pentadbiran PAFA beliau untuk mengunakan peruntukan 2010 ke tahun 2009,FAM tidak benarkan dakwa DS Nizar.Namun itulah yang dilakukan oleh pentadbiran lalu.

DS Nizar juga menerangkan mereka yang ingin membantu PAFA untuk melangsaikan hutang lapuk yang dibuat pentadbiran lama,perlulah melalui saluran yang betul.Gunakanlah Bendahari PAFA,untuk berurusan dengan FAM.

DS Nizar juga tetap mempertahankan jawatan Presiden PAFA sehingga pemilihan akan datang.Apabila pemilihan sesi akan datang tidak melantik beliau,DS Nizar akan akur.DS Nizar tidak akan membiarkan PAFA tenat seperti mana pentadbiran lama.Kita tidak akan melepaskan jawatan kerana politik sempit.

DS Nizar kesal sukan rakyat bola sepak tidak dibantu agensi kerajaan,seperti Kerajaan Pakatan Rakyat.

Sidang 1 Disember- Soalan Untuk Jawapan Lisan MP PAS

4. Dr. Siti Mariah Binti Mahmud [ Kota Raja ] minta MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan apakah tindakan Kementerian seterusnya kepada pihak CELCOM (M) Sdn. Bhd. yang sehingga hari ini gagal mematuhi arahan Majlis Bandaraya Shah Alam untuk merobohkan menara telekomunikasi yang terletak di Lot 2778, Taman Jati Indah, Seksyen 32, 40460 Shah Alam, Selangor.

10. Tuan Haji Taib Azamudden bin Md Taib [ Baling ] minta MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI menyatakan apakah bentuk kerjasama dan usaha yang diberikan oleh Kerajaan Pusat terhadap Projek Mega Kerajaan Negeri Kedah iaitu projek penapisan minyak 'Hub Hidrokarbon (SULIHH)' di Sungai Limau Yan, Kedah untuk menarik pelabur luar sebanyak mungkin.


Soalan No. 21. Dato' Haji Mahfuz bin Omar [ Pokok Sena ] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan sejauh manakah cadangan pembentukan Majlis Pembangunan Pertanian kawasan Parlimen dilaksanakan dan berapakah jumlah kawasan Parlimen yang telah ditubuhkan majlis tersebut.

Soalan No. 24. Tuan Salahuddin Bin Haji Ayub [ Kubang Kerian ] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk mempertingkatkan hubungan dua hala khususnya dalam usaha memperkukuhkan hubungan di antara negara-negara ASEAN.

Soalan No. 35. Dr. Lo' Lo' binti Mohamad Ghazali [ Titiwangsa ] minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KESEJAHTERAAN BANDAR menyatakan apakah polisi DBKL dalam penjualan rumah-rumah PPR kepada penduduk yang sedia ada dan juga pihak lain yang mungkin layak serta bagaimana dengan PPR Jelatek yang merupakan pemindahan dari Kampung Bumiputera dan lain-lain adakah mereka akan diberi hak untuk membeli unit-unit tersebut, begitu juga bagaimana dengan kedudukan PPR Sri Perlis 1 dan 2.

Soalan No. 37. Tuan Mohd. Abdul Wahid bin Endut [ Kuala Terengganu ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah rasional melanjutkan kontrak Ketua Setiausaha Negara setelah tempoh lanjutan kontraknya selama dua tahun berakhir pada Jun ini. Tidakkah langkah perlanjutan seperti ini menghalang peluang pegawai-pegawai lain dalam sektor awam sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan mereka yang boleh menjejaskan produktiviti.

Soalan No. 42. Tuan Khalid bin Abdul Samad [ Shah Alam ] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan apakah tindakan Kerajaan untuk menyelamatkan wang rakyat setelah mendapati projek Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) tidak berdaya maju setelah dilaksanakan dan kos projek telah meningkat kepada RM4,632,000,00 berbanding kos asal projek sebanyak RM1,088 bilion.

Luahan Hati Seorang Isteri-Nik Amalina Nik Abdul Aziz

Salam Ukhuwah,

Hampir empat hari berlalu...ujian yang cukup mencabar bagi kami...InsyaAllah kami tanamkan semangat bahawa ujian ini ada hikmahnya buat kami. Sehinggalah ke saat ini kami masih mampu menjalani kehidupan sepertimana biasa, masih boleh bergelak ketawa bersama anak-anak dan juga tetap bersembang bersama Tok Guru dan Bonda tersayang, serta berborak mesra bersama adik-beradik yang lain daripada kedua-dua belah pihak, yang tentunya tidak pernah keputusan memberi kata-kata semangat juang buat kami serta doa yang berpanjangan buat kesejahteraan kehidupan kami sekeluarga. Terima kasih untuk kalian!

Isu ini sedikit sebanyak mengundang kesedihan dikalangan kami sekeluarga. Ia mampu menjadi satu isu yang membuatkan kami semua membincangkannya dari pelbagai sudut. Walaupun kami sedih, kami tetap tenang. Kami tidak perlu berduka berlama-lama, kami harus bangun! Kami ingin bangun membuktikan kebenaran! Langkah kami belum mati, kami akan sentiasa maju ke hadapan! Datangnya kami dari keluarga yang dimuliakan, dan sesungguhnya kami tidak sesekali rela keluarga kami dihina.

Alhamdulillah, saya mempunyai sebuah keluarga yang matang. Semuanya tenang dalam mengharungi suasana laluan yang sukar ini. Kami dididik, selain ditarbiah baik bahawa jangan sesekali berbuat jahat, malah berusahalah untuk sentiasa berbuat kebaikan. Ia adalah sesuatu yang konsisten antara kehidupan di dunia menuju ke akhirat. Ayahanda sentiasa berdoa dan mengajar kami supaya mendoakan agar ‘jadikanlah kami semua imam kepada orang-orang yang bertaqwa’. InsyaAllah...

Apabila saya menjengah dunia, ditakdirkan saya berada dalam sebuah keluarga yang dikenali ramai. Saya memang bertuah kerana hampir memiliki segala-galanya di dalam kehidupan dunia ini, tapi semuanya adalah secara bersederhana. Saya seorang yang cintakan kedamaian, dan sesungguhnya onar yang berlaku dalam isu ini sungguh menjerut rasa di hati saya. Jiwa saya sentiasa menuntut untuk berbuat kebaikan, mungkin kerana ia hasil dari didikan kedua ibubapa saya, malah dengan akal yang sudah cukup sifatnya di usia saya sekarang, saya sentiasa cuba untuk tidak mencalit arang kepada kedua ibubapa saya yang masyhur itu. Kadangkala datang juga rasa ketidakadilan berlaku dalam kehidupan ini, namun belajarlah menerima hakikat bahawa, dalam kebertuahan itu masih ada kecacatannya.

Saya hidup didalam sebuah keluarga yang sering sahaja diuji. Dari sekecil-kecil ujian sehinggalah ke sebesar-besar ujian. Ia bergerak seiring dengan waktu saya membesar. Hari ini giliran saya pula menerima ujian yang hebat ini. Ia begitu mengasak fikiran kerana kelihatan mampu menguasai dunia realiti dan maya.

Saya tahu saya bukan bersendirian menghadapi ujian ini. Saya dan suami punya ‘pasukan’ yang kuat untuk menyokong kami dari mana-mana sisi sekalipun. Apa yang penting, kami tahu Allah swt hanya memberikan ujian ke atas hamba-hambaNya mengikut kemampuan hambaNya itu. Barangkali ia suatu ‘alarm’ kepada kami agar kami kembali muhasabah diri dalam meniti hari-hari yang berlalu dan juga yang mendatang. Mungkin ini saat terbaik dalam kehidupan kami, untuk kami terus merendahkan jiwa kami kepada Maha Pencipta kami, untuk kami menginsafi diri, lantas menitis air mata yang kadang-kala kami lupa untuk menghulurkan keikhlasan kami kepada Mu ya Allah...Pinta kami semoga Tuhan tidak pernah memandang enteng kepada kami walau dalam keadaan bagaimana pun keadaan kami ini. InsyaAllah...

Tatkala kita semua menghampiri saat-saat bahagia menghampiri Hari Raya Korban, jiwa saya turut tersentuh mengenangkan ada situasi yang perlu dikorbankan. Ia bukanlah situasi yang mudah, tapi bukanlah sukar untuk saya menerima pengunduran suami saya, Ir Abdul Ariffahmi Ab Rahman dari jawatan CEO PMBK beberapa hari yang lalu. Saya menerimanya dengan hati yang tenang walaupun sedikit kecewa dengan situasi yang tidak memihak kepadanya.

Saya tetap optimis mengharapkan bahawa masih ada sinar yang akan menyelubungi kami sekeluarga. Walaupun ia sebuah memori yang pahit, saya tetap menerimanya dengan lapang hati. Namun terselit di jiwa saya rasa terkilan bahawa masih ada manusia di dalam kelambu PAS yang begitu rakus membaham sesama sendiri sehingga sanggup melukakan hati seorang tua yang juga Mursyidul Am PAS, merangkap Menteri Besar Kelantan, merangkap Tok Guru yang disayangi segenap lapisan masyarakat, yang tentu-tentunya beliau adalah Ayahanda saya yang tercinta. Jauh di sudut hati saya, sesungguhnya saya tidak rela ia terjadi begitu namun saya tetapkan pendirian bahawa yang terjadi itu ada hikmahnya dan barang tentu kita hanya merancang, sesungguhnya perancangan Allah itulah yang terbaik!

Dalam menghadapi kemelut ini, ramai sahabat-sahabat yang telah menghubungi saya bertanyakan khabar berita. Ada yang sekadar menghantar sms, ada pula yang sanggup melambungkan bil handphone mereka dengan bersoal-jawab bersama saya, tidak kurang yang sanggup datang ke rumah untuk mendengar saya ‘berceramah’. Paling saya hargai ada sepasang suami isteri dari Terengganu yang sanggup langsung ke rumah saya demi untuk mencari kebenaran. Pada waktu itu mereka semua menyatakan sokongan padu bahawa kami berada di pihak yang benar!

Hati saya tetap lapang meniti hari-hari yang penuh cabaran. Dalam menyusuri kemelut ini, saya dan suami sering berbincang kemungkinan-kemungkinan yang mungkin kami akan hadapi nanti. Walaupun begitu, kami tidak merancang apa-apa dan kami tiada perancangan ke atas kemungkinan-kemungkinan itu kerana kami masih optimis kami sentiasa di pihak yang benar. Namun siapa tahu kebenaran itu boleh tertimbus oleh kebatilan yang terancang!

Bukan sedikit kesan negatif yang terpaksa kami terima dari kemelut yang terancang ini. Perancangan kejahatan ini telah menemui titik noktahnya yang pertama! Namun saya tahu perancangan jahat ini masih belum menemui titik noktah penyudahnya!

Saya sentiasa bersedia menjadi sayap kanan kepada suami tercinta. Selagi saya yakin dia berada di pihak yang benar saya tetap akan padu menyokongnya. Bukan hanya dia yang membina keyakinan saya, namun saya masih ada keluarga yang jitu memperteguhkan kebenaran yang tercipta.

Saya sentiasa ada untuk menyokong segala gerak kerja suami saya dalam membangunkan negeri Kelantan yang tercinta ini. Saya sentiasa mahu menyuntik semangat kepada dirinya untuk bergerak maju menongkah arus membina kekuatan baru bagi negeri Kelantan ini. Saya sentiasa di sisinya untuk memberi idea yang terbaik dalam segala aspek kehidupan kami.

CEO

Hari ini suami saya masih CEO PMBK. Bagi saya pencapaiannya sungguh memberansangkan. Ia sebuah pencapaian yang boleh dibanggakan kepada keluarga kami. Kami semua mengalu-alukan pencapaiannya itu. Namun siapa tahu akhirnya dia mampu dijatuhkan oleh satu fitnah yang terancang hebat.

Pada suatu hari dia memaklumkan kepada saya bahawa ayahanda telah melantiknya ke jawatan CEO. Saya mengucapkan tahniah. Apabila ada luang masa untuk berbicara dengannya saya mengingatkannya bahawa ini adalah suatu amanah yang besar. Bukan hari itu saja saya mengingatkanya, tapi sering! Saya sendiri mahu dia menjadi seorang CEO yang berjaya. Saya mahu dia sentiasa di landasan yang betul dan benar. Saya mahu dia dihormati kawan mahupun lawan. Bukan niat saya untuk menyibuk perihal kerjayanya, tapi saya tahu kemungkinan-kemungkinan yang mungkin berlaku kerana saya tahu apa itu politik!

Pelantikan suami saya ke ‘kerusi panas’ PMBK adalah daripada sokongan ayahanda tercinta. Saya bersetuju untuk suami memberi persetujuan kepada ayahanda menerima jawatan itu selepas hampir empat kali ayahanda menyuarakannya dalam tempoh setahun yang berlalu. Pada saat itu, saya pasti kelayakan dan kewibawaan suami saya adalah menjadi titik penentu ayahanda memilih dia untuk menerajui takhta PMBK.

Siri perlantikan ke ‘kerusi panas’ ini bukan berlangsung sebulan dua, namun ia memakan masa selama setahun dua. Apabila namanya dicadangkan oleh ayahanda, saya memberi nasihat untuk dia memikirkan semasak-masaknya. Saya meyakininya bahawa, terima jika berkemampuan, dan tolaklah jika ia suatu amanah yang tidak mampu digalas. Perasaanya ketika itu bersimpang-siur. Saya sentiasa disisinya untuk sebarang pandangan yang sihat, menerima amanah bukan seperti mendapat habuan yang indah, itulah ingatan saya kepadanya. Akhirnya dia memilih untuk menjawab ‘YA!’. Saya meyakini diri bahawa dia adalah calonnya untuk jawatan panas itu. Keluarga turut menyatakan sokongan. Dalam tempoh mendokong amanah besar itu saya akur kepada kehebatannya dan saya tahu dia boleh menjangkau impian besar ayahanda dalam menerajui bumi Kelantan ini.

Kami menjalani kehidupan seperti biasa walaupun selepas suami saya digelar CEO. Saya tetap berfungsi sebagai seorang suri kepada sebuah rumahtangga dengan menjalankan tugas-tugas rutin saya. Kadangkala kami berkunjung ke rumah ayahbonda. Ada masanya kami berbincang, apa saja isu yang terluah di meja makan yang kami panggil ‘persidangan meja bulat’. Tiada apa yang pelik selepas perlantikan itu, sekadar isu yang telah kami jangkakan, ada yang tidak bersetuju dengan perlantikan itu! Kami tetap juga bersabar menghadapi hari-hari mendatang.

Segala kemungkinan yang mungkin berlaku hasil dari perlantikannya itu telah cuba kami hadap bersama. Apa yang pasti kami sedar bahawa fitnah akan sentiasa mengekori kami setiap masa. Kami cuba untuk membuat yang terbaik. Saya yang sentiasa optimis tidak pernah memikirkan bahawa suatu hari nanti dia akan kecundang. Saya sentiasa berkeyakinan bahawa apa yang baik akan dibalas baik. Saya sentiasa menyokongnya untuk berbuat segala jenis perkara kebaikan, bukan setakat kerana kebaikan itu adalah baik, tetapi beringat-ingatlah bahawa kita sentiasa diperhatikan, baik dari kacamata kawan mahupun lawan kerana kita adalah ‘public figure’.

Saya sendiri tidak mendambakan kesenangan apabila suami saya dilantik menjadi CEO. Namun lumrah kehidupan, setiap kejayaan itu dirai dengan sebuah kegembiraan. Suami saya juga dikenali sebagai KJ Kelantan. Mana samanya? Tentunya suami saya lebih cerah, jika adapun sebenarnya dia bukan berkulit cerah. Bagi saya suami saya seorang yang terbuka, walaupun agak sukar untuk menerima kritikan, tapi dia bersedia untuk berhadapan mendengar sebarang kritikan.

Saya sentiasa memberi ingatan kepadanya. Saya kenal suami saya. Dia seorang yang maju ke hadapan. Dengan ilmunya sebagai seorang Jurutera menjadikan dia seorang yang kritis dan kreatif. Dia seorang yang sukakan cabaran. Kerana sukakan cabaran itulah dia sanggup menggalas jawatan penting yang disuakan kepadanya. Saya yakin dengan jawatan yang disandangnya itu mampu memberi ‘kuasa’ baru kepada daya saing negeri Kelantan.

Selain membawa watak sebagai isteri penyeri sebuah rumahtangga, saya juga sentiasa bersedia untuk memberi idea yang terbaik buat suami. Sebagai isteri, saya mahu dia menjadi suami terbaik didalam rumahtangga saya. Saya juga berusaha untuk memberi yang terbaik kepada kerjayanya. Saya sentiasa memberi idea yang segar kepadanya. Saya juga cuba membawa watak seorang sahabat yang dinamis selain daripada saya mencuba untuk menjadi seorang isteri solehah kepadanya.

Selain dari sokongan yang diberikan oleh ayahanda, saya tahu suami saya punya semangat yang tinggi dalam kemahirannya. Dia seorang yang berkeyakinan tinggi di atas apa yang dia mahukan. Dia sentiasa yakin dengan setiap keputusan yang dibuatnya. Tidak semua saya boleh bersetuju dengan segala tindakannya, namun saya berani memberi kerelaan kerana saya tahu rasional dia berbuat demikian. Saya iring dengan teguran-teguran yang membina agar dia tidak tersasar haluan. Saya mahu saya sendiri berfungsi adil kepada rakyat Kelantan kerana suami saya mensasarkan sesuatu yang lebih baik kepada mereka. Saya bangga kerana setiap apa yang dia lakukan adalah untuk kesejahteraan masa depan rakyat Kelantan. Saat itu, saya membina keyakinan yang lebih baik bahawa ini adalah keputusan terbaik ayahanda kerana dengan pengetahuan politik yang lumat, beliau tahu apa sebenarnya yang beliau mahukan. Bukan sahaja kecemerlangan akademik menantunya itu, bahkan lebih dari itu, iaitu sebuah keikhlasan untuk patuh dan taat pada setiap kemahuannya.

Tidak perlu untuk saya menutur kata bahawa saya menyokong segala gerak kerjanya, cukup sekadar saya menghargai kehidupannya yang sibuk. Saya tahu dia seorang yang kuat semangat dan saya juga tahu dia bekerja sehingga lewat pagi kerana sebuah kerelaan.

Namun sebuah impian yang tinggi tidak mudah kesampaian. Ia hampir karam di tengah jalan. Suami saya diserang fitnah bertalu-talu, tempiasnya memercik kepada ayahanda tercinta. Tidak berhenti di situ saja, ia terus menjalar menjengah nama bonda, saya sendiri, anak-anak, dan sesungguhnya saya sungguh bersimpati kepada nasib kakitangan PMBK yang turut dicerca sedemikian rupa. Saya merakam simpati kepada situasi yang tidak terduga ini.

Nasib masih menyebelahi kami kerana masih ada sokongan yang kuat buat kami. Terima kasih kepada ayahbonda kerana mempusakakan kepada saya semangat yang kental. Ayahanda tegar bertahan dengan keputusan, bonda meraih kekuasaan tuhan. Saya bertahan dengan sebuah pengharapan. Namun masih samar kelihatan jalan keluar dari kemelut ini. Suami saya tetap bertahan melawan arus yang kian mencengkam.

Ada saatnya ketika itu saya sekeluarga bersedih. Sebuah kerumitan buat kami semua. Namun kami sentiasa optimis masih ada sinar di penghujung cerita ini. Kami diuji, dan kami cuba menerima ujian ini dengan redha. Datangnya kami daripada sebuah keluarga yang berilmu dan beriman. Kami tahu benar untuk membezakan yang mana kawan dan yang mana lawan. Namun ia sukar, kerana kami terpaksa melawan musuh yang bergelar kawan. Kawan yang makan kawan. Kawan yang menggigit dalam diam, antara sedar dengan tidak, dia terus menghadam, sehingga terjadilah seperti hari ini...

KEMELUT

Pada hemat saya, isu PMBK tercetus hasil dari perselisihan peribadi. Ada seorang kakitangan yang tidak berpuas hati dengan gaji yang ditagihnya untuk menjadi seorang bos di anak syarikat PMBK. Ia bukan masalah luaran yang besar tapi masalah dalaman yang hanya membabitkan seorang kakitangan sahaja. Seorang sahaja! Jawapannya mudah, gaji yang ditagihnya adalah terlalu tinggi, lebih tinggi dari gaji bos PMBK.

Makin hari dia membuat onar demi onar. Dia mula membuat rancangan demi rancangan. Serangannya sering menjadi kerana ia kejahatan yang dirancang rapi. Lebih-lebih lagi dia mempunyai back-up yang kukuh dari seorang ‘bos lain’. Makan gaji dengan orang lain, bekerja untuk orang lain. Inilah masalahnya!

Tidak perlu diperkenalkan lagi, namanya sudah masyhur satu alam, semasyhur nama suami saya sendiri. Dia sendiri yang mencipta kemasyhuran itu. Dia sendiri yang membuat publisiti murahan itu. Tanpa sebarang iklan. Tanpa sebarang bayaran. Percaya saja jika anda mahu. Tapi, jika anda seorang yang WARAS, AWAS! ada perangkap di hujung pena itu. Seorang yang digelar Kickdefella berjaya membawa semua watak yang diarahkannya sendiri. Mahu jadi apa? Seorang gila? Kurang siuman? Tiga suku? Katakan saja. Semestinya anda tidak kempunan untuk menjiwai peranannya itu. Namun saya masih reserve, kerana saya tahu dia seorang yang kreatif.

Apa yang saya tahu dia seorang umno. Kalangan rakan siber saya tidak menyebut umno, tapi lebih glam katanya jika disebut umngok! Saya tidaklah berminat untuk mengetahui detail tentang dirinya, tapi saya tahu dia bekerja untuk seorang Exco Kerajaan Kelantan. Pada awal kemunculannya di Kelantan, saya begitu tertarik dengan buah tangannya menghasilkan sebuah buku – yang saya lupa tajuknya – yang memaparkan pelbagai gaya ayahanda saya dalam pelbagai acara yang dihadirinya. Itu dulu. Sekarang lain. Kreatifnya itu sudah tersasar. Kali ini dia bukan lagi menghasilkan sebuah buku, tapi sebuah...filem barangkali...yang terlalu banyak dongengnya yang langsung tidak berpijak di bumi realiti.

Saya sendiri mengagumi hasil seninya terlebih dahulu sebelum mengenali empunya diri. Pertama kali saya mengenalinya ketika saya menemani suami yang mahu mencari samping untuk di pakai pada hari raya, kebetulan dia dan isterinya juga begitu. Tanggapan pertama saya, dia seorang yang baik walaupun saya agak terkejut melihat kepada isterinya, sungguh daring bagi rakyat Kelantan. Tapi jika ia boleh dikatakan satu fesyen, masih lagi boleh dimaafkan. Namun jika dilihat dari sudut agama, ia tidak menurut perintah tuhan. Dengan kata lain, berdosa.

Saya pernah diberitahu dia peminum arak tegar. Hearsay...so, jangan percaya sehingga saya dan anda melihatnya sendiri, ok...? Tapi mabuknya dalam penulisan sungguh menjadi-jadi. Semuanya bagaikan sel-sel otaknya telah rosak teruk jika dia benar-benar seorang peminum. Kesian...Hanya orang yang mabuk juga yang boleh percaya apa yang ditulisnya.

Jangan cuba membuka aib orang jika aib sendiri sudah tidak tertanggung badan. Semua orang ada aibnya, maka berpada-padalah! Kami yang dididik secara Islam tidak betah untuk bercakaran bagi membuka aib masing-masing, tapi adakalanya syaitan itu terlalu kreatif. Kami takut digoda sehingga melebih-lebih membuka aib saudara seIslam. Jangan sehingga perlu disaman, nanti anda pula diisytihar bankrupt. Tapi tunggulah masanya, kebenaran itu akan bersinar jua. Kami masih boleh bersabar walaupun sabar kami kian menipis. Hidup ini ada maruahnya! Tunggulah harinya! Kami yakin Allah itu Maha Adil. Jika kami tidak mampu membalasnya, kami berkeyakinan penuh bahawa balasan Allah itu adalah sebaik-baik pembalasan.

Jangan kerana satu isu picisan, anda menjadi kurang siuman. Jadilah seorang manusia yang adanya dikagumi, hilangnya ditangisi. Datanglah Kickdefella mengadap suami saya. Suami saya sudah menjemputnya terlebih dahulu di suatu ketika yang harinya masih mampu dibilang perginya. Tapi tiada pula datangnya. Dayuskah anda? Pengecutkah anda sehingga seringkali bertukar ID dalam blog sendiri?

Anda mampu menjadi seorang yang bertuah kerana anda mudah untuk menjenguk Tok Guru. Alangkah beruntungnya jika anda tahu merebut peluang keemasan ini. Tapi sebaliknya, anda sendiri memilih untuk rugi di dunia, jika dunia itu konsisten ke akhirat, maka rugilah juga anda di sana. Tidak terdetikkah di hati anda rasa sedikit bersalah? Jangan pula menyalahkan orang yang sudah tentu salahnya itu sudah terang kelihatan, tapi di mana letaknya akal waras anda? Fikir-fikirkanlah jika masih ada sel otak anda yang masih baik berfungsi.

Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang menyokong perjuangan kami. Terima kasih kepada ayahbonda yang banyak mendoakan kesejahteraan kami.

Tahniah kepada suami saya yang sentiasa taat dan patuh kepada setiap butir bicara ayahanda. Saya sentiasa disisinya untuk sentiasa menyokong kebenaran yang dipertahankannya. Hidup ini ada maruahnya. Berdiam diri bukan bermakna kalah. Berbuat bising bukan satu kemenangan. Diamlah untuk berbicara kepada tuhan yang Maha Mendengar.

Takziah kepada manusia hebat pembentang kejahatan. Usah berselindung disebalik wartawan-wartawan yang berbayar. Walaupun bunga tahi ayam itu cantik, ia tetap busuk!

Buat suami saya, lapangkan hati, tenangkan fikiran. Saya percaya masanya tidak lama untuk sebuah kebenaran tercipta. Berundurlah setapak dengan bermaruah untuk menjangkau terjahan yang lebih jauh. Saya kagum! Tidak sia-sia membiarkan kosong kerusi panas di Darul Digital, kerana jika diisi, skripnya mungkin lebih parah. Sedarlah sahabat semua bahawa Kickdefella itu penipu besar di abad ini.

Saya mungkin tidak terlepas dari sebarang kutukan, tapi saya sudah bersedia demi sebuah kebenaran yang perlu dinyatakan. Demi untuk kami sekeluarga. Ini adalah jihad saya. Saya punya kuasa jemari untuk meluahkannya.

Suami saya adalah pemimpin saya. Dia ketua keluarga bagi rumahtangga saya dan saya punya hak untuk mempertahankannya. Andai dia didapati bersalah, ada hukuman menantinya. Tapi untuk berserah kalah, itu bukan jantannya.

Fitnah ini melingkari kami sudah hampir tiga minggu. Saya mengharapkan ia beransur pergi sebagaimana perginya banjir dari bumi Kelantan ini. Suami saya masih muda, masih bersemangat dalam mencapai impiannya. Saya optimis masih ada peluang untuknya melangkah jauh ke hadapan, meninggalkan hari ini dengan sebuah kejayaan. Saya tetap teguh di sisinya hingga ke akhir hayat kami. InsyaAllah terbentang luas rezeki untuk kami.

Ini luahan hati seorang isteri...

Untuk ayahanda tercinta, terima kasih kerana memberikan kepercayaan kepada kami. Menantu ayah ini adalah pilihan terbaik sebenarnya. Tapi apakan daya...Terima kasih ayah kerana menerajui bumi Kelantan yang mana keberkatannya terserak kepada zuriat kami. Kepada bonda, terima kasih atas segala-galanya. Anakanda tahu bonda banyak menitis air mata mendoakan kesejahteraan kami...
dari blog Dr Siti Mariah Mahmud

Itulah Blogger al -banjari -tak kenal maka tak cinta.

Al-banjari di tengah-tengah bergambar bersama MB Besar Ikon Masyarakat,DS Nizar Jamaluddin.Turut kelihatan YDP PAS Bukit Gantang,Ustaz Nordin Jaafar berbaju putih.


Kita tak kenal pun Wak Albanjari.Tetapi apabila melihat begitu mesra team Perak Express bersama beliau.Kita pun bertanya kepada Sya-Reformasi."Itulah albanjari"kata Sya-Reformasi.

Albanjari berada di majlis walimahtul urus rumah saudaranya di Kg Tebuk.Kami bersama DS Nizar turut berada pada waktu agak lewat,kelmarin.

Maka kita pun memperkenalkan,YDP Bukit Gantang Ustaz Nordin Jaafar kepada beliau."Ini pula Sisibukit"kata Anaz Perak Express.


Sunday, November 29, 2009

Tidak termampu rasanya nak ikut DS Nizar!

Kelmarin 29 November mengikuti DS bertemu rakyat.Rombongan kami termasuklah YDP Bukit Gantang,Ustaz Nordin Jaafar,Setiausaha Kawasan Fadhil Idris,Sdr Basher Ahmad dan Sdr Zainuddin Hamzah . Rombongan DS Nizar turut disertai Team Perak Express,Sya-Reformasi dan Sdr Anaz.

Bermula DS Nizar sembelih lembu pada pukul 8.45 pagi di Kurnia Jaya,Dun Kuala Sapetang.Pada 9.30 pagi sembelih lembu ibadah korban di Taman Kuning Sari,Dun Changkat Jering.Berterusan ke majlis kenduri perkahwinan dari ChangkatJering sehingga Batu Hampar,Dun Trong.

Pergi ziarah pengundi sakit di Hospital Taiping dan ke majlis jamuan makan malam masyarakat Cina di Kuala Sapetang ,kita sudah terasa letih dan tiada tenaga.Tetapi DS Nizar masih segar dan bertenaga.

DS Nizar masih mampu untuk pergi berceramah di Kg Sg Che Rahmat,Trong.Kita sudah menyerah kalah untuk tidak turut pergi ke Trong, pada malamnya.

Nampaknya YDP kita Ustaz Nordin Jaafar masih bertenaga untuk bersama DS Nizar sehingga akhir program.Cuba bayangkan DS Nizar bermula 27 November sehingga 29 November program penuh dari pagi hingga malam.Esoknya 30 November berada di Kuala Lumpur untuk mengikuti sidang parlimen.

Kita setakat pukul 8.00 malam sudah keletihan dan sudah kehabisan tenaga .Namun kita yakin DS Nizar mahu bertemu rakyat sebanyak mana yang boleh.Amat rugi jikalau kita tidak membenarkan DS Nizar bertemu rakyat kerana kita yang letih bukan DS Nizar.

DS Nizar menjadi ikon rakyat.

DS Nizar bersama penggantin baru di rumah Hj Khairudin ,Batu HamparAlbanjari penulis blog bersama DS Nizar dan YDP Bukit Gantang Ustaz Nordin di majlis kenduri kahwin di Kg Tebuk Trong.Harap-harap Albanjari menulis cerita Bukit Gantang pula.
Bentara Kuala Trong bergambar bersama DS Nizar.Kami tunggu DS Nizar dah lama untuk bergambar kenangan.Ustaz Nordin YDP dan Ustaz Abdullah di rumah Sdr Ismail Husein.

DS Nizar bersama pengundi Bukit Gantang

DS Nizar menyembelih lembu ibadah korban beliau di Taman Kuning Sari,untuk DUN Changkat Jering.
DS menanam pokok manggis tanda pembukaan Markaz Pas Taman Kuning Sari
DS Nizar mendoakan Muhammad Firas anak saudara Cikgu Din,di Assam Kumbang.Maaf DS di sini terdapat pengundi DS .Mereka mengundi di DUN Changkat Jering.
DS berdoa untuk kesejahteraan kita semua. Semoga Muhammad Firas menjadi seperti DS Nizar yang berani berjuang menegakkan keadilan.
DS Nizar berucap di rumah Sdr Ismail Husein,teruskan menyokong Pakatan Rakyat.Kelihatan TYDP Bukit Gantang,Ustaz Abdullah Husein

DS Nizar bersama rakyat.

DS Nizar,Ustaz Nordin ,Sdr Fadhil dan Sdr Zainudin di Tokkong Cina di Kg Saberang.Ini Kepecayaan nenek moyang kami kata Ahsang,Ketua DAP.YB Tai Sing Ng,turut kelihatan jangan lupa sama pengundi Melayu.!DUN Kuala Sapetang undi sokongan Melayu masih kuat.
DS Nizar bersama Ketua DAP Ahsang untuk ke jeti,pergi Kg Saberang ,Kuala Sapetang.
Ziarah Pesakit Pak Din Changkat Jering.
Mendoakan kesejahteraan jenazah,supaya ditempatkan bersama roh orang muslimin,bertempat di Masjid Temelok

Saturday, November 28, 2009

Keikhlasan dalam amalan:Pesuruhjaya Pas Perak

Assalamualaikum wbt

Saya mewakili saf kepimpinan PAS Perak, ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya penduduk negeri Perak Darul Ridzuan.

Marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari semangat pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S beserta anaknya Nabi Ismail A.S dalam meneruskan perjuangan menegakkan perintah ALLAH SWT. Hari Raya Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban yang mengingatkan kita kenangan ribuan tahun sebelum ini, bagaimana Nabi Ibrahim A.S, menunjukkan kepatuhan,ketaatan, pengorbanan dan kesabaran dalam menerima perintah ALLAH SWT.

Atas nama sunah ini maka seluruh umat Islam di pelusuk dunia bagi yang berkemampuan telah menyembelih binatang ternakan sebagai tanda mengikut jejak langkah Nabi Ibrahim A.S. Kisah Nabi Ibrahim A.S baik ketika meninggalkan anak kecil dan isteri yang lelah di tengah padang pasir juga ketika menerima perintah ALLAH SWT menyembelih anak kesayangannya.

Kesemua kisah itu dapat kita simpulkan kepada tiga;Pertama, asasnya adalah ketaatan yang kental kepada ALLAH SWT, Kedua, ‘Millah’ Nabi Ibrahim A.S ialah ALLAH SWT akan memberi hidayah kepadanya kerana semata-mata mentaati ALLAH SWT, Ketiga ialah keikhlasan dalam amalan. ALLAH SWT tidak menerima sesuatu amalan melainkan yang dikerjakan dengan penuh ikhlas dan semata-mata ditujukan kepada-Nya. Oleh sebab itu, penghayatan yang mendalam atas pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S wajar dicerna dalam segenap ruang hidup kita.

Justeru, saya menyeru kepada seluruh umat Islam agar sentiasa membiasakan diri untuk mengamalkan sikap suka berkorban sepanjang masa dari segi wang, tenaga, masa, dan buah fikiran untuk kepentingan Islam itu sendiri.

Semoga kita semua diberi kerahmatan dari ALLAH SWT, dalam mengharungi cabaran dan dugaan ketika hidup diatas muka bumi ini, gunakan lah kesempatan yang ada untuk kita berkorban untuk ALLAH SWT.



Allahu akbar ! Allahu akbar ! Allahu akbar !


Ustaz Abu Bakar Husein.

Friday, November 27, 2009

Ustaz Nordin Jaafar Penuhi Permintaan Penduduk Sembelih Lembu

Lembu pertama yang disembelih YDP Bukit Gantang,Ustaz Nordin Jaafar,Surau Tupai Mas Taiping
Lembu kedua yang disembelih Ustaz Nordin Jaafar

Ustaz Nordin Jaafar mulai kelmarin dan hari ini menerima jemputan untuk membantu menyembelih lembu ibadah korban penduduk tempatan.

Kita sempat untuk mengikuti Ustaz Nordin Jaafar membantu penduduk menyembelih lembu ibadah korban penduduk di Surau Tupai Mas,Taiping sebentar tadi.

Hj Nizar korban tiga ekor lembu dalam Bukit Gantang

Bukit Gantang-28 November-

Sebagaimana biasa, AJK PAS Pusat DS Nizar akan menyembelih haiwan korban sempena Hari Raya Iduladha,29 November ini.

Pada tahun ini, beliau selaku Ahli Parlimen Bukit Gantang akan mengorbankan tiga ekor lembu yang dilakukan di kawasan parlimen beliau.

DS Nizar dijadual melakukan korban dengan menyembelih sendiri lembu bermula pada pukul 8 pagi di Kg Kurnia Jaya ,Dun Kuala Sapetang ,9 pagi di Taman Kuning Sari ,Dun Changkat Jering dan 4 petang di Sg Baru Dun Trong.

Mereka yang berhampiran boleh bertemu DS Nizar di lokasi tersebut.

Bukit Gantang bersedia menerima pandangan orang lain.

Kelmarin Setiausaha Lajnah Penerangan Pas Kawasan Bukit Gantang Sdr Edy Desar memberi satu email yang menarik .

Satu email yang mencadangkan program penerangan kawasan.Antara lain mencadangkan pemimpin-pemimpin yang perlu dipanggil untuk berceramah dan kawasan yang perlu diberi ceramah.

Bukan semua pemimpin sesuai berceramah dalam Parlimen Bukit Gantang.Bukan semua pemimpin sesuai untuk setiap Dun dalam parlimen.

Bagi kita sasaran ceramah penting.Kita tidak menggalakkan orang luar datang ke tempat ceramah.Kita mementingkan penduduk tempatan untuk mendengar isu yang di ketengahkan.Lantas kita akan bertanya sebanyak mana penduduk tempatan hadir untuk mendengar dan mendapat maklumat.

Kita juga tidak mementingkan jumlah kutipan derma yang dipungut.Apa yang penting isu yang dikemukakan mampu mengubah minda masyarakat.

DS Nizar merupakan aset kita dalam Negeri Perak dan Bukit Gantang.Pandangan dan isu yang disampaikan beliau dapat menarik perhatian rakyat.Justeru itu DS Nizar mesti menyampaikan pandangan untuk kepentingan rakyat.

Walaupun dalam email tersebut mencadangkan DS Nizar yang sudah terlalu kerap berceramah tidak perlu berceramah.Mereka meminta dipanggil tokoh-tokoh lain,kita akan memanggil pemimpin yang sesuai dengan suasana persekitaran Bukit Gantang.PRK Bukit Gantang mengajar kita kesesuaian penceramah dengan Bukit Gantang.

Pemimpin yang menjauhkan masyarakat dengan kita,kita tidak akan panggil.Setakat ini Pas Kawasan memberi kepercayaan untuk kita menguruskan penerangan kawasan.

Kita mengharapkan Pas Cawangan tidak meninggalkan surau dan masjid dalam menyampaikan mesej dakwah.PAS mesti menjuarai isu masyarakat dan rakyat.Kita bukan parti pilihanraya semata-mata.Kita milik rakyat dan kita mendepani isu rakyat.Kita mesti bersedia menerima pandangan orang lain.

Tahniah Selangor BTN memang UMNO

Rasanya tidak terlalu lambat kerajaan Selangor mengharamkan agensi mereka untuk menyertai kursus atau program anjuran BTN.

Penulis pernah mengikuti program BTN ,yang hanya menanam kebencian kita ke atas orang bukan Melayu.

Dalam kursus dimomok lagu anti Bukan Melayu.Semua mereka orang asing,mereka dituduh oleh Fasilatator sebagai perampas tanah orang Melayu.

Raja-raja Melayu hanya untuk orang Melayu.Mereka menerangkan hanya UMNO sahaja yang membela Islam,PAS pemecah belah masyarakat.Untuk DAP dituduh komunis,perkauman dan anti Islam.

Apa yang mereka tidak kata dengan Tok Guru Nik Aziz,Menteri Besar Kelantan.Negeri yang masih miskin,negeri yang tidak membangun,apa seorang Tok Guru boleh buat untuk negeri.

Itulah BTN,semasa Dato'Hassan Ali memegang jawatan Timbalan Pengarah Biro Tatanengara,kita pernah bertanya soalan dengannya.Jawapan beliau terhadap Islam pada masa itu agak berlapik.Namun kini beliau telah menjadi ahli Pas.Dato'Hassan Ali sudah tentu tahu apa itu BTN.Kita juga boleh bertanya dengan YB Saifuddin Nasution,yang juga arif dengan BTN.

BTN itu UMNO,membazir wang kerajaan.Oleh sebab PTK dalam perkhidmatan awam.BTN terbuka untuk semua rakyat.Dulu jika mereka MCA dan MIC mereka tidak terlibat dengan program BTN.Alasan BTN untuk mencuci orang Melayu yang mempunyai semangat Islam.

Jadi kita mengharapkan kerajaan Kedah,Pulau Pinang dan Kelantan jangan bersama BTN menghasut penduduk untuk bermusuh sesama kita.

Thursday, November 26, 2009

Selamat Menyambut Hari Eidul Adha- YDP Pas Bukit Gantang

Yang Dipertua Pas Kawasan Bukit Gantang Ustaz Nordin Jaafar mengucapkan ribuan terima kasih atas pengorbanan rakyat Parlimen Bukit Gantang yang terus menyokong Pakatan Rakyat.

Beliau berharap masyarakat Islam Bukit Gantang menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim a.s,anakanda beliau Nabi Ismail a.s dan isteri baginda Siti Sarah.

Pengorbanan tiga beranak itu mempertahan dasar Islam,dan mereka terus taat dan bersedia untuk mempertahankan kesucian Islam.

Justeru Ustaz Nordin Jaafar berharap masyarakat Islam Bukit Gantang akan tetap bersama PAS dalam Pakatan Rakyat.

"Selamat menyambut Hari Raya Eidul Adha,teruskan perjuangan untuk menegakkan Islam di Bumi Perak.Maaf zahir batin."ucap Ustaz Nordin Jaafar

Wednesday, November 25, 2009

Jadual DS Nizar 29 November 2009

Pergerakan DS Nizar bermula pada pukul 8 pagi sehingga 12 malam.DS Nizar telah menyumbang tiga ekor lembu untuk ibadah qurban ,bagi disumbangkan kepada masyarakat Parlimen Bukit Gantang.

Jadual jangkaan:

8.00 pagi- sembelih lembu Qurban di Kg Kurnia Jaya.
9.00 pagi- sembelih lembu Qurban di Taman Kuning Sari
10.00 pagi- bertemu orang kampung,Bilik Mesyuarat,Markaz Pas Air Kuning.
11-3.00 petang-ke Majlis Perkahwinan Rakyat.
4.00 petang-sembelih lembu Qurban di Sg Baru,Trong
7.00 petang- ke Jamuan Makan Masyarakat Cina,Kuala Sapetang.
9.30 petang-Ceramah Penerangan di Sg Che Rahmat,Jln Pantai Remis,Dun Trong.

Masyarakat setempat boleh bertemu DS Nizar di tempat yang berkenaan.Jumpa DS Nizar di sana!

DS Nizar,jumpa rakyat!

DS Nizar bertemu para peniaga di Tapak Ceramah malam kelmarin,di Kg Kurnia Jaya.
YB Ustaz Ramli Tusin, sedang menyampaikan ceramah.
DS Nizar sedang berceramah di Kg Kurnia Jaya pada 25 November menyatakan kekesalannya kerana Mahkamah Persekutuan belum membuat keputusan siapa yang sah menjadi Menteri Besar Perak.

Bajet Perak Bajet Penyamun Tarbus:Dato'Mahfuz Omar


Dato Mahfuz Omar menyindir Adun BN Perak kerana membahaskan bajet negeri Perak dalam masa 20 minit.Beliau berasa hairan bajet negeri bernilai 800 juta hanya dibentang dalam tempoh 20 minit tanpa membahaskannya.

YB Dato Mahfuz Omar menyatakan demikian semasa berucap dalam ceramah penerangan anjuran PAS Kawasan Bukit Gantang.

''Mesyuarat Persatuan Pinggan Mangkuk peringkat kampung pun memakan masa paling
kurang 1 jam"sindir YB Dato' Mahfuz Omar.

Beliau percaya wakil rakyat UMNO pun tidak mengetahui isi belanjawan negeri Perak. YB Mahfuz Omar juga menyatakan bajet kerajaan pusat pun sehingga kini masih belum selesai dibahaskan.Tetapi kerajaan haram Zambry langsung tidak membahaskannya.

Dato' Mahfuz mengibaratkan bajet Perak seperti bajet Penyamun Tarbus.Sambil menyindir beliau menyatakan pembentangan bajet Perak seperti orang bermain judi di tepi pokok buluh.

"Main judi pok,tepi pokok buluh,takut dengan polis"kata Mahfuz Omar."Bila polis sampai semua cabut lari" bidas YB Mahfuz lagi.

Begitu juga Zambry,membentangkan bajet ringkas,mereka takut dengan DS Nizar terpaksa membentangkan bajet dalam tergesa-gesa.

YB Mahfuz juga meminta masyarakat menolak UMNO/BN yang kini tidak lagi menjaga kebajikan rakyat.

DS Mahfuz Omar menjelaskan bahawa Kerajaan UMNO Kedah telah menyalahgunakan peruntukan Tabung Kebajikan Orang Miskin,Ibu Tunggal,OKU untuk membuat program untuk orang kenamaan.Contohnya semasa pemerintahan Pak Lah, Papan Tanda Besar dibuat untuk mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri mengunakan duit orang miskin.

"Apabila sambut orang kenamaan,mereka bagi VIP Pin Klip"jelas Dato Mahfuz Omar."Duit siapa,duit orang miskin"tambah YB Mahfuz.

Beliau juga menyentuh laporan Ketua Audit Negara yang menjelaskan ketirisan duit kerajaan sebanyak lebih kurang 20 ribu bilion.

Contohnya Dato Mahfuz menyatakan sebuah komputer riba/laptop bernilai lebih 40 ribu ringgit ,sedangkan harga sebenar hanya sekitar RM4,500.oo

Begitulah UMNO yang kini perlu ditolak rakyat Perak dalam pilihanraya kecil atau PRU umum.























Tuesday, November 24, 2009

KEMPEN SERINGGIT (RM1)- Selamatkan Bolasepak Perak


23 November 2009 / 6 Zulhijjah 1430


Kepada :
Semua Penyokong setia, Peminat, seluruh Rakyat yang bersempati dengan Pasukan Bolasepak Negeri Perak – Skuad Seladang


Y.Bhg; Tan Sri / Puan Sri / Datuk Seri / Datin Seri / Datuk / Datin / Tuan / Puan / Saudara / Saudari ;

KEMPEN SERINGGIT (RM1) – SELAMATKAN BOLASEPAK PERAK

Perkara di atas adalah dirujuk.

Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa, kami Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) dengan rendah diri demi pembangunan sukan bolasepak Negeri Perak merayu kepada semua penyokong setia, peminat dan seluruh rakyat yang bersempati dengan nasib yang bakal di hadapi oleh Pasukan Bolasepak Negeri Perak – Skuad Seladang yang mungkin terlepas peluang untuk memasuki Liga Super 2010 musim baru tahun depan.

Kami sedar sebagai sebuah parti politik berharap dengan usaha kerdil ini dapat membantu Persatuan Bolasepak Negeri Perak untuk membantu pembayaran hutang lapok kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kerana syarat baru daripada Persatuan Bolasepak Malaysia mewajibkan pembayaran tersebut bagi kelayakan untuk menyertai musim baru Liga Super 2010 ini nanti.

Kami juga telah berusaha mewujudkan satu tabung bantuan sempena kempen ini dan kepada yang ingin menyumbang bolehlah disalurkan kepada kami di atas nama “Pemuda PAS Perak – RM1 Selamatkan Bolasepak Perak” No. Akaun – 0 8 0 1 3 0 1 0 0 7 4 2 7 4 (Bank Islam Malaysia Berhad).

Insya Allah, semua sumbangan tersebut akan disalurkan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Perak secepat mungkin.

‘PAS UNTUK SEMUA’

Sekian, terima kasih.


Saya yang benar,
Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Perak


DR. RAJA AHMAD AL-HISSSetiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Dr Abu Hassan Hasbullah-pemuda Pas mesti ke hadapan.



Parit Buntar - Baru-baru ini saya hadir dalam satu program Inkues Pilihanraya anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri yang menampilkan Prof Madya Dr Abu Hasan Hasbullah sebagai tetamu khas pada pagi itu. Sebelum Pilihanraya Umum 12 tahun 2008 yang lalu saya tidak mengenali beliau secara jelas siapakah tokoh ini walaupun sebelum itu namanya ada pernah didengari sebagai pensyarah media di Universiti Malaya. (Penulis yang berbaju putih)

Saya dan isteri adalah antara peminatnya. Setiap hujah yang dihuraikan khususnya dalam Analisis Awani menarik minat saya akan setiap perkataan yang dihamburkan itu begitu menarik. Penggunaan bahasanya mencerminkan futuristik.Stail cermin mata besar yang menjadi imejnya menjadikan ia lebih menarik apatah lagi ia menguasai setiap segmen yang dianjurkan. Menutup hujah ahli akademik lain yang banyak stail primitif iaitu hanya menyokong sebelah pihak tanpa penyelidikan tetapi mengampu demi survival kerjaya mereka.

Dalam artikel ini bukan saya hendak memuji beliau, akan tetapi ada beberapa lontaran ideanya yang menjadikan saya terfikir perlunya perubahan besar dilakukan dalam Dewan Pemuda PAS agar dapat mengatasi kelemahan-kelemahan yang ada.

Semasa sesi soal jawab, saya ada bertanya kepada beliau tentang kumpulan anak-anak muda atau belia di dalam negara kita ini. Sejauhmanakah kecenderungan mereka kepada politik dan bagaimana usaha untuk menarik belia ini bersama-sama dengan PAS.

Jawapan beliau mudah. Golongan belia memerlukan sokongan untuk mereka bergerak, perlukan perhatian bila ditimpa masalah dan mencari-cari siapa yang boleh diharapkan memberi tawaran menarik kepada mereka. Justeru beliau mengatakan apakah Dewan Pemuda PAS tawarkan kepada muda-mudi ini. Apakah tawaran-tawaran menarik yang boleh menyebabkan golongan belia ini mahu bersama PAS.

Bagi saya Pemuda PAS mesti keluar dari kepompong cara lama iaitu dengan menawarkan aktiviti-aktiviti tradisi yang dilingkungi sesama kita sahaja. Kita mesti memikirkan lebih kehadapan dalam usaha menjaga kebajikan golongan belia dari pelbagai bangsa ini. Antaranya soal pendidikan, kerjaya, perniagaan, sukan, agama, politik dan sosial.


Kita perlu menguasai maklumat dan maklumat itu perlu dicurahkan kepada mereka. Golongan belia sentiasa tercari-cari dimanakah hala yang boleh mereka tuju untuk melanjutkan pendidikan serta bantuan pelajaran. Begitu juga apabila habis belajar mereka memerlukan pekerjaan dan mereka mencari haluan untuk pekerjaan. Begitu juga dengan kegiatan-kegiatan lain yang memerlukan sokongan.

Justeru kita perlu mengambil inisiatif sebagai Pusat Informatif Belia yang mana golongan belia boleh menjadikan Pemuda PAS sebagai tempat rujukan tempat permasalahan seperti tadi. Pemuda PAS perlu memiliki maklumat selengkapnya bagaimana kita boleh membantu belia dalam hal ini.

Sebagai contoh Dewan Pemuda boleh menyediakan maklumat tentang bantuan pendidikan yang disediakan oleh pihak kerajaan dan mana-mana institusi kewangan. Kalau dalam bidang kerjaya Pemuda PAS perlu mempunyai maklumat terkumpul yang boleh diketahui oleh belia dimanakah haluan mereka untuk berkerja. Sekiranya belia memerlukan maklumat tentang perniagaan serta pertanian yang mereka boleh ceburi, kitalah pemberi maklumat pada mereka. Soal nikah kahwin, kita boleh beri info tentang Jabatan Agama Islam serta tawaran kursus perkahwinan. Begitu juga dengan sukan dan aktiviti sosial. Pemuda PAS hendaklah bukan semata-mata mencari ahli,daftar pemilih dan menganjurkan program sukan atau sosial sesama kita sahaja.

Belia sebenarnya dahagakan maklumat yang boleh membantu mereka. Kini adalah zaman maklumat. Ini adalah inisiatif yang boleh diambil oleh Dewan Pemuda PAS bagi membantu belia dalam negara kita lantas apabila kita boleh memayungi mereka. Oleh itu belia akan menjadikan kita tempat rujukan atau pusat informatif yang berkesan kepada mereka. Inilah satu cara, peluang dan ruang yang boleh Pemuda PAS gunakan dalam menarik minat sokongan belia pada PAS. Wujudkan satu pusat informasi ini sama ada melalui laman web atau pusat sehenti untuk mereka dekati.

Bagi saya golongan belia mungkin tidak semua menyertai parti politik atau berminat politik tetapi sekurang-kurangnya mereka mengenali PAS dan tahu apa PAS boleh buat. Kita berharap persepsi belia pada PAS bukan sahaja sebuah parti politik semata akan tetapi sebagai rakan informatif mereka.

(Penulis merupakan Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar)