Wednesday, December 9, 2009

Banjir lagi-Projek landasan punca rumah banjir!


KAMUNTING BARU TAMBAHAN – Seorang penduduk di sini kecewa apabila projek landasan kereta api di belakang rumahnya mengakibatkan kediaman itu sering dinaiki air.

Penduduk berkenaan, Ahmad Rahmat, 66 berkata, sebelum ini tidak pernah berlaku banjir di kawasan kediamannya memandangkan air akan surut dengan cepat dan mengalir ke paya di belakang rumah.

Menurutnya, sejak pihak MMC-Gamuda menjalankan kerja membina landasan kereta api dua tahun lalu ia memberikan banyak masalah kepada mereka sekeluarga.

“Apabila banjir habis perabot dan barangan dalam rumah ini akan rosak akibat terendam dalam air dengan tempoh yang agak lama.

“Mesin basuh juga berkarat tidak ditambah dengan kerusi dan almari yang bahagian bawahnya kembang,” katanya.

Dia berkata, jika diikutkan kerugian, banyak kerugian yang dihadapinya namun, walaupun beberapa kali mengadukan hal ini kepada pihak berkenaan tiada sebarang tindakan dilakukan.

:Katanya, setiap kali hujan dia akan mengambil gambar sebagai bukti kepada pihak berkenaan dan tahun ini, sudah tiga kali banjir yang teruk berlaku di rumahnya.

“Sistem perparitan yang tidak sempurna dibina mereka menyebabkan air sukar untuk mengalir kerana saiznya yang kecil tidak dapat menampung kuantiti air yang banyak iaitu dari kawasan sekitar kampung berkenaan dan Pekan Kamunting,” katanya.

Menurutnya, mereka seakan lepas tangan dengan masalah ini, jika perkara ini tidak diselesaikan, keadaan ini akan bertambah teruk.

Bukan hanya banjir, semasa mereka membuat landasan dan menanam besi landasan, hentakan yang kuat menyebabkan rumah mereka retak.

“Sepatutnya mereka memberi pampasan kepada kami kerana kerosakan barangan dalam rumah dan kawasan rumah.

“Jika diikutkan banyak lagi kerugian yang akan kami tanggung sepanjang projek ini berjalan,” katanya.

Katanya, pihak berkenaan perlu bertanggungjawab kerana penduduk di sini berpendapatan rendah dan berharap mereka dapat mengambil perhatian terhadap masalah tersebut.
sinar

No comments:

Post a Comment