Monday, December 14, 2009

Perkara ini tidak boleh disimpan bawah karpet-DS Nizar

IPOH – Tumpuan pembangunan ekonomi dengan mengetepikan soal politik dinyatakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir disifatkan sebagai satu kenyataan retorik.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Zambry tidak bertapak di bumi yang nyata apabila menolak isu berpolitik tetapi mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan ekonomi semata-mata.

Menurutnya, kenyataan itu bersifat hipokritisis kerana sudah terbukti apa sahaja aktiviti ekonomi sama ada dari dalam dan luar negara yang datang untuk melabur dalam negeri perlu ada satu jaminan.

“Apa dia jaminan dia? Kestabilan politik, dia tidak akan meletakkan keyakinan para pelabur mengenai isu ini.

“Sengaja membuat kenyataan untuk tumpukan kepada pembangunan ekonomi tetapi menafikan ada masalah besar krisis politik yang belum selesai, bukan cara terbaik.

“Selesaikan dahulu, perkara ini tak boleh disimpan di bawah karpet dan ini adalah sindrom penafian yang dibuat oleh pimpinan BN,” katanya dalam satu sidang media di sini semalam.

Nizar turut mempersoalkan sepanjang 10 bulan di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) belum ada kemasukan pelabur ke negeri ini.

“Semua ini berkait dengan politik, kalau mereka tidak percaya dan tidak yakin bagaimana untuk mereka melabur di negeri ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment