Thursday, December 3, 2009

KPPK -STANDARD GURU MALAYSIA (SGM) DIALUKAN

KUALA LUMPUR, -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), pertubuhan guru terbesar di negara ini dengan 120,000 ahli, akan memastikan Standard Guru Malaysia (SGM) yang dilancarkan semalam, dilaksanakan dengan jayanya, kata setiausaha agungnya Lok Yim Pheng.

Beliau memberitahu Bernama bahawa SGM amat ditunggu-tunggu oleh kesatuan itu sejak beberapa tahun lepas kerana ia sejajar dengan polisi kesatuan itu untuk menyediakan pendidikan berkualiti kepada kanak-kanak Malaysia melalui guru-guru yang berkelayakan dan berdedikasi.

"Ahli kami sudah pasti akan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran, sekolah, kolej dan institut latihan perguruan untuk mengekalkan dan memperbaiki standard yang ditetapkan," katanya ketika diminta mengulas SGM yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, di Tawau Rabu.

Dokumen itu akan dijadikan penanda aras untuk 300,000 guru mengajar secara lebih efektif dalam kelas dan mereka juga perlu memiliki tiga aspek amalan nilai iaitu profesionalisme keguruan, pengetahuan serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi.

Lok berkata sebaik standard ditetapkan dan garis panduan jelas diperkenalkan adalah mudah kepada guru mengikuti dan melaksanakannya.

Pada masa ini, terdapat kekurangan dan kadang-kadang sukar untuk guru memberi perkhidmatan terbaik seperti mana yang diharapkan oleh kerajaan dan masyarakat.

Beliau berharap garis panduan itu akan menggalakkan warga pendidik agar lebih inovatif dan berusaha meningkatkan kemahiran pengajaran dan pengetahuan mereka.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment