Sunday, December 13, 2009

Penantian sembilan tahun berakhir

Semasa Allahyarham Hj Roslan Shaharum,Ahli Parlimen Bukit Gantang masih hidup kami telah pergi bertemu penduduk Taman Kamunting Bakti.Satu Dialog telah diadakan antara PKNP dan penduduk.Turut hadir pihak berkuasa MPT.Kini penduduk Taman Kamunting Bakti berasa lega.Satu lagi kerja yang dibuat PR yang berjaya diselesaikan kemudian.

TAMAN KAMUNTING BAKTI – Seramai 273 penduduk di sini menarik nafas lega apabila penantian mereka selama sembilan tahun untuk mendapat sijil kelayakan menduduki (CF) berakhir.

Majlis penyerahan kunci program khas perumahan kos rendah Taman Kamunting Bakti diadakan secara sederhana di perkarangan taman berkenaan.

Ketua Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Datuk Shamsudin Hashim berkata, majlis itu sangat dinantikan sejak sekian lama dan begitu bermakna bagi penduduk walaupun menghadapi kelewatan, namun ia dapat diselesaikan.

Menurutnya, di negeri Perak, pihak PKNP membina 9,000 unit rumah kos rendah untuk tempoh selepas kegawatan ekonomi yang berlaku. Bagi merangsang ekonomi, mereka mengambil inisiatif untuk membangunkan industri pembangunan untuk berkembang.

“Usaha ini membolehkan keluarga yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah dengan harga tidak melebihi RM35,000 seunit.

“Alhamdulillah kami dapat menyempurnakan semua unit rumah ini,” katanya.

Beliau berkata, kelewatan yang berlaku bukan disengajakan kerana ia akan membebankan pembeli dan pihaknya.

Sementara itu, seorang penerima, Siti Saalauyah Mohd Dali, 53, berkata dia sangat gembira kerana menerima kunci dan CF setelah menunggu sembilan tahun.

Menurutnya, dia ingin berterima kasih kepada pihak PKNP yang mempercepatkan pemberian kunci sebelum berakhirnya tahun ini.

“Sebelum majlis ini berlangsung, pihak PKNP mengecat semula rumah, menampung jalan yang rosak serta menggantikan pagar yang runtuh.

“Sekarang barulah kami merasai kehidupan sebenar tinggal di rumah sendiri. Walaupun kami sudah tinggal di sini tetapi tiada hitam putih bahawa kamilah pemilik yang sebenarnya. Dengan adanya majlis ini, maka rasmilah rumah ini menjadi milik kami,” katanya.

Manakala, Azman Majid, 37, berkata, dengan penyerahan kunci dan CF rumah ini masalah mereka membayar caj bekalan air yang menggunakan tarif perniagaan dapat diselesaikan.

“Saya bersyukur setelah menunggu lama akhirnya hasrat untuk mempunyai rumah sendiri tercapai.

“Walaupun sebelum ini, pelbagai halangan berlaku yang banyak menguji kesabaran. Terima kasih kepada PKNP kerana menyelesaikan masalah ini,” katanya.sinar harian 14 Disember 09

No comments:

Post a Comment