Sunday, August 2, 2009

3 ogos:Satu Kenyataan Yang Perlu Dihormati-dari Pas Selangor

"Saya yakin dasar MBSA mengenai aktiviti menjual minuman keras adalah untuk menghalang umat Islam dari membeli minuman keras dengan mudah dan berdasarkan enakmen yang sedia ada. Ia bukan untuk menghalang masyarakat bukan Islam membeli dan meminum minuman keras.

Hak masyarakat bukan Islam tidak dinafikan sama sekali. Tetapi jika tidak ada peraturan untuk menghalang umat Islam membeli dan meminum minuman keras maka hak umat Islam untuk dilindungi dari bahaya minuman keras telah dinafikan.

Gejala meminum minuman keras di kalangan belia Melayu adalah amat membimbangkan. Oleh itu, saya berasa hairan kenapa ianya dijadikan isu sensitif oleh media apabila cuba dihalang penjualan minuman keras di kawasan orang-orang Islam.

Jual minuman keras di kawasan orang Islam tidak sensitif tetapi apabila hendak dihalang menjadi sensitif seolah-olah orang Islam tidak ada perasaan, tidak ada hak atau tidak ada nilai. Oleh itu, keperluan dan kepentingan semua pihak perlu diberi perhatian. Bukan golongan peniaga sahaja.

Sekiranya kedai-kedai yang menjual minuman keras kepada orang Islam tidak diambil tindakan atau ditarik balik tindakan ke atasnya maka masyarakat Islam akan berkata kepentingan masyarakat mereka dipandang remeh.

Selain dari itu, moral kakitangan kerajaan yang telah bertindak dengan suci hati akan terjejas. Lebih malang lagi jika rakyat mula mempercayai tuduhan pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab bahawa terdapat "tangan-tangan ghaib" di dalam pentadbiran kerajaan negeri. Oleh itu, setiap tindakan perlu difikirkan implikasinya secara terperinci. Sama ada bir atau minuman keras yang lain, kesemuanya haram diminum oleh orang Islam.

Tidak kira berapa kandungan alkoholnya. Perkara ini jelas dinyatakan di dalam Al-Quran. Saya menggesa agar tidak ada pihak yang membuat kenyataan tentang hukum Islam jika tidak memahaminya dengan mendalam kerana ianya akan menimbulkan kemarahan umat Islam. Dewan Undangan Negeri Selangor telah meluluskan usul agar diadakan semula pilihanraya kerajaan tempatan.

Di antara matlamatnya adalah menjadikan ahli-ahli majlis lebih bertanggung jawab. Pilihanraya ini juga akan mengiktiraf perbezaan yang ada bagi setiap pihak berkuasa tempatan dan memerlukan pendekatan yang berlainan. Pendekatan MBSA berbeza dari pendekatan MBPJ. Pendekatan MPK berbeza dari pendekatan MPAJ.

Semua pihak perlu meraikan perbezaan ini dan meyakini keputusan-keputusan yang dibuat oleh ahli-ahli majlis jika mahu diadakan pilihanraya tersebut.
Iskandar Abdul Samad Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri Selangor 1 Ogos 2009"

No comments:

Post a Comment